Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, April 16, 2012

Patah Tumbuh Hilang Berganti


Salam

Semoga anda bersemangat tinggi untuk teruskan tugas di awal minggu ini. Bateri dah charge, jadi okey kot. Saya pun agak busy juga pada hujung minggu yang lepas, tak banyak berehat.

Semalam, saya ada function dengan teman-teman di Mid Valley dan suami saya yang menghantar saya ke sana (malas nak drive sebab susah parking). Selesai function, saya ajak suami saya pergi melawat 'somebody' yang dah lama kami tak jumpa. Alhamdulillah, dia dah sihat daripada dulu. Kini dah boleh cakap sikit-sikit, dulu terus terbaring dan tak boleh buat apa-apa (dia kena stroke). Sekarang ni, walaupun duduk di atas kerusi roda, dia dah boleh bergerak sikit-sikit, cuma selalu lupa-lupa. Alhamdulillah, dia dapat suami yang baik, yang sanggup menjaganya dalam keadaan yang begitu. Masih bersamanya dan masih setia. Dah tiga tahun dah pun. Itu menunjukkan memang masih ramai lelaki budiman di dunia ini. Wallahua'lam.

Kebetulan juga, anak perempuan mereka yang kematian suaminya dua setengah tahun yang lalu (kahwin selama setahun aje), dah ada pun orang yang merisik. Alhamdulillah. Insya-Allah akan ada seseorang yang menjaganya nanti. Kebetulan juga, saya selalu teringat pada anak perempuan ini, seorang wanita muda yang lembut dan baik hati.

Banyak yang saya fikirkan tentang kehidupan. Bila kita ada, mungkin kita akan 'take things for granted', cuma bila kita hilang, barulah kita terasa kehilangannya. Hidup ini sebenarnya perlu untuk kita sentiasa bersyukur. Walaupun sedikit yang kita ada, namun ia tetap berharga. Bila kita dah tak ada apa-apa, maka kita barulah sedar bahawa yang sikit itu tetap istimewa.

Kadang-kadang sebagai manusia, kita mudah terlupa dan mudah juga bangga diri, terasa hebat dan terlupa juga bahawa kita hanya menumpang. Namun... apa sekalipun, kita tetap ada Tuhan dan pada-Nya lah kita bermohon agar kita dipeliharai-Nya. Walaupun kita hilang, mungkin akan jumpa yang lain yang lagi baik dari dulu, insya-Allah. Yang patah, akan tumbuh lagi. Yang hilang, mungkin berganti. Walaupun kita sakit, tetap ada nikmatnya. Kadang-kadang dalam serba kekurangan itu, kita akan lebih dekat pada Tuhan dan ketika itulah datang rahmat dan nikmat, insya-Allah.

Semoga kita sama-sama menghargai kehidupan kita ini dan semoga kita selamat dunia dan akhirat. Amin.

Wassalam.