Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, January 22, 2010

Live My Life



Oh sungguh ni, ramai yang sangka saya tentunya dah puas hati kerana dah jadi seorang penulis. Ini merupakan impian saya semasa saya remaja dulu. Pernah saya bayangkan, saya akan duduk di atas buaian di sebuah taman, sambil meminta seorang pembantu mengambil catatan, mengikut arahan saya. Barbara Cartland pernah begitu dengan memakai sepasang baju berwarna merah jambu!

Tetapi, buat sekian lamanya, impian itu berkubur sahaja, kerana memang saya tak berpeluang untuk meneruskan sesuatu yang dekat dengan hati. Mungkin suatu ketika dulu, menjadi penulis bukan merupakan suatu prospek yang cemerlang, atau mungkin ketika itu, tiada sesiapa yang menggalakkan saya untuk mencapai cita-cita saya itu. Kerana itu juga, saya telah menjadi seorang pegawai latihan... selama 17 tahun di sebuah universiti.

Apa-apa pun, saya percaya, banyak hikmahnya. Semua yang saya lalui selama ini, itulah pengalaman, pengetahuan dan pengajaran buat saya. Tanpa itu semua, mungkin tak mampu untuk saya menulis... mungkin tak jadilah saya seorang penulis. Tuhan yang mengaturkan segala-galanya. Alhamdulillah.

Namun hari ini, masih banyak yang ingin saya lakukan, dalam hal penulisan. Saya tak mahu begini sahaja buat selama-lamanya. Selagi ada masa, ada umur dan ada kudrat yang Tuhan berikan kepada saya, insya-Allah akan saya cuba lakukan sesuatu yang berbeza pula, mungkin lebih mencabar dan mungkin juga yang akan memberi semangat buat saya.

Saya ingin 'Live My Life'... buat sesuatu yang bermakna buat diri ini, hidup saya, tentunya agama saya. Masih banyak yang ingin saya lakukan dan saya sentiasa berdoa agar Tuhan akan memberi peluang itu buat saya. Dunia ini luas... semuanya anugerah Ilahi dan selagi saya bernafas, insya-Allah... itulah yang akan saya cuba lakukan, 'Live My life'.