Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, December 27, 2017

Boring Betul

Assalam

Memang semenjak dua menjak ini saya jarang ke luar negara. Kalau keluar pun adalah kerana hal-hal tertentu. Jadi... kami teringin nak bawak cucu-cucu yang besar berjalan-jalan. Tanpa ibu dan ayah mereka, kami memang tak larat nak bawa semua. Al maklumlah... budak-budak ni boleh jadi nakal sangat. Jadi hujung minggu yang lepas, kami bercadanglah nak bawak budak-budak pergi ke Berjaya Bukit Tinggi. Konon-konon kami pakat nak naik Flying Fox atau Zip Line. Katanya di Bukit Tinggi tu yang terpanjang di Asia Tenggara. Kadar bayaran pun agak mahal juga. Sekepala RM85. Tapi sebabkan nak ada aktiviti lasak, kami pun pergi jugalah.

Malangnya, apa yang kami inginkan itu, tak kecapaian. Saya anggarkan yang Flying Fox di situ tidak diruskan dengan baik. Katanya conditionnya tak berapa baik dan si penjaganya ada seorang sahaja. Penjaga itu kena pergi uruskan aktiviti 'Paint Ball' dan katanya tak ada orang lain nak jaga 'Zip Line' itu. Memang boring! Dahlah masuk ke kawasan rekreasi Bukit Tinggi itu kena bayar agak mahal. Lepas tu Zip Line dan pelbagai aktiviti lain, tak dapat dijalankan! Aduh!

Kami masuk ke taman botani dan Japanese Garden, semuanya macam 'neglected'. Dulu-dulu, kami pernah ke sana. Taklah teruk sangat keadaannya. Tapi sekarang ini, bagi kami memang tak berbaloilah. Foot path nya sangat berlumut dan pokok-pokok bunga dan lain-lain macam tak diurus.

Bila kami ke Colmar pula, kami dapat lihat ada bahagian bangunannya yang seperti dalam keadaan yang agak uzur. Mungkin sebab cuti sekolah, maka ramailah orang. Nak makan pun kami kena tunggu. Last-last kami pergi tonton 6D cinema. Adalah aktiviti untuk budak-budak ni. Kesian. Overall, sangatlah mendukacitakan. Memang kesianlah orang KL, tak ada tempat nak berekreasi.
Selepas lunch, kami pergi ke Factory Outlet di bukit Genting pula. Tempat itu juga punyai berlambak manusia. Maklumlah, kaki shopping memang ramai. Factory Outlet ni oklah... saya suka dengan open concept nya. Dapatlah kita menghidu udara dingin.

Memang sedihlah duduk Malaysia ni bila nak makan angin. Kalau ada tempat best sikit, dah berlambak orang yang datang atau mahal pula harganya. Kalau rasa nak adventerous sikit, kebanyakan tempat kita tak berjaga dengan baik. Sungguh malang.

Oklah, semoga kita tak berlemah semangat dengan keadaan tempat-tempat berehat di Malaysia. Semoga orang kita lebih prihatin dan berusaha untuk menjaga fasiliti yang ada. Aamiin.

                                                              Di taman Botani
             Di Japanese Garden. Firas, Ali, Yusufia bersama Tunaris yang datang dari Uzbekistan.
                                                                          Di Colmar
                                                   Di Factory Outlet, Genting Highlands
                                                             Di Factory Outlet juga


Wednesday, December 20, 2017

Tunjuk Jangan Tak Tunjuk

Assalam

Masalah besar dengan orang hari ini ialah kerana kuat betul sifat menunjuk masing-masing. Tambah pula sekarang ini senang nak menunjuk dalam FB, dalam Instagram, dalam Whatsapp dan macam-macam lagi. Kalau dapat tayang, aduh memang seronoknya.

Mereka yang ada suami dan anak-anak dan rasa bahagia, tak habis-habis bercerita dan menayang kebahagiaan mereka itu! Suami akulah yang 'the best'! Anak-anak akulah yang bijak. Akulah ibu yang terbaik. Semuanya fantastic. Namun mereka semua lupa bahawa kita semua hanyalah manusia kerdil. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Macam-macam boleh berubah. Suami kita yang baik hati, yang macho dan handsome tu boleh buat hal. Tahu-tahu dah mula berkepit dengan minah lain. Lagi teruk sebab kita yang duk kat rumah ni tak tahu apa-apa. Hari-hari kena kelentong tapi hari-hari kita duk percaya dan rasa bertuah!

Kalau kita mampu beli barang-barang branded pun, tak payahlah kita duk 'show off' kat instagram tu. Tahulah orang yang kita ni banyak duit. Tapi mungkin orang tak tahu yang kita juga mungkin banyak hutang! Nauzubillah minzalik. Kalau ada kereta mewah, tak payahlah nak ambik gambar depan atau belakang kereta kita tu! Kalau ada handbag mahal, tak payahlah bila bergambar tu tayang bag tu kat tangan kita. Cukup-cukuplah, sebab kalau kita mati esok pagi, tak ada satu benda pun yang akan ikut kita pergi. Jadi, sementara hidup ni, tak payahlah suka sakitkan hati-hati!

Mungkin kita terlupa kot... tapi tak payahlah tunjuk sangat. Allah tak suka. Yang tu kita kena selalu ingat.

Wallahuaklam.



Tuesday, December 19, 2017

Kalau Hati Tak Bersih, Jiwa Pun Tak Tenang.

Assalam.

Dah hampir ke penghujung tahun sekali lagi. Macam-macam yang dah berlaku tahun ini dan tak tahu lagi tahun depan macam mana. Yang pasti, umur kita meningkat, masa terus berjalan dan semakin hampirlah kita kepada kematian. Tak perlulah kita bimbang kerana ini adalah kemestian dan ketentuan Ilahi. Apa yang penting kita sewajibnya sentiasa bersedia. Buat yang baik-baik dan elakkan yang buruk-buruk.

Semalam, sekali lagi saya dan kawan-kawan sekolah bergathering. Kali ini kami bergathering di Bukit Jelutung, iaitu di rumah salah seorang teman kami dan kebetulan, merupakan kawan baik saya di sekolah dulu. Alhamdulillah, kami berjumpa, berbual, makan-makan, bersantai dan berjanji untuk berjumpa lagi kalau panjang umur, insyaa-Allah.

Apa-apa pun, inilah kehidupan. Selagi ada umur dan bernafas, pasti ada aktiviti kita, kalau tak itu, mesti ada ini kecualilah dah tak boleh buat apa-apa lagi.

Sepanjang hidup kita, yang pastinya kita melalui pelbagai episod dan bab seperti sebuah buku atau novel. Ada yang manis dan tentu juga ada yang pahit. Namun kalau niat kita baik, pasti Allah bagikan yang terbaik juga, insyaa-Allah. Sekalipun mungkin kita berdepan dengan pelbagai dugaan dan ujian, namun kalau kita anggap itu sebagai ilmu dan pengajaran, semua yang rumit akan dapat kita atasi dengan jiwa yang tenang. Tetapi kalau kita tidak belajar untuk menjaga hati agar ia tidak berkarat dan menjadi racun, tentunya kita akan terus hidup merana. Mungkin semuanya tak kena, mungkin juga hati sakit tak mahu reda-reda. Perlulah kita ingat orang lain mungkin tak tahu apa yang tersirat, namun Allah tetap tahu jua. Jadi... pastikanlah hati kita sentiasa bersih.

Wallahuaklam.





Thursday, December 14, 2017

Buat Apa Beli Rumah Mahal?

Assalam

Ramai orang rasa tertekan kerana harga rumah sekarang ini sangatlah tinggi. Rumah teres satu tingkat pun mahal, apatah lagi rumah banglo atau rumah mewah... sampai berjuta-juta harganya. Kalau dulu-dulu, bila dah bekerja beberapa tahun, memang dah mampu untuk mula beli rumah. Dalam lingkungan umur 20an, dah mampu beli rumah sekalipun rumah semi-D atau banglo. Tapi sekarang ini, dah masuk 30an pun belum tahu mampu atau tidak kecualilah memegang jawatan 'up' dan bekerja di tempat yang 'up' jugak.

Pun begitu, mungkin kerana tertekan dengan kehendak masyarakat, ramai yang terjerat dengan hutang yang tinggi kerana nak beli rumah! Macam segan kalau masih tinggal di rumah sewa sebab orang akan selalu bertanya, "Rumah yang awak duduk ni rumah sewa ke rumah sendiri?" Hah apa nak jawab? Masalah besarnya, ramai yang hidup berbelanja lebih dari gaji! Kalau gaji sekadar RM3K sebulan, berbelanja mungkin RM4.5K sebulan. Memang parahlah.

Kalau membeli rumah yang harga tak tinggi pun, mungkin menelan belanja lebih seribu sebulan untuk membayar ansurannya. Beli kereta pun tak mahu yang kokak, mesti nak cari yang ada standard. Akhirnya bila terima gaji, awak pun gigit jari. Nak beli minyak, nak makan and nak beli pakaian, awak mulalah meminjam sana-sini. Memanglah cari mati namanya!

Mungkin kalau kita belajar berjimat cermat dan buat tak tahu tentang kehendak masyarakat, kita akan hidup lebih tenteram. Ada duit sikit-sikit, kita kumpul. Tak usah beli rumah dulu tapi mungkin kita beli tanah dulu. Tak payahlah nak cari tanah dalam bandar, jauh sikit pun tak apa. Bila ada duit nanti, kita buatlah rumah atas tanah yang kita beli tu. Buat macam itu jauh lagi menjimatkan. Bila dah tua, kita akan rasa lebih selesa dan seronok. Yang utamanya, kita tak banyak hutang, selebihnya mungkin kita dapat tinggal dalam suasana yang lebih selesa dan sesuai dengan kita dan punyai kawasan yang jauh lebih luas. Udara juga jauh lebih baik daripada tinggal di bandar besar.

Memang tak salah pun kalau kita duduk di rumah sewa. Janji kita tidak terbeban. Janganlah pula menyewa rumah mahal yang kita tak mampu. Itu namanya memang bahlul lah! Cari yang patut-patut. Hidup hari ini memerlukan hati yang kental dan jangan suka ambil peduli dengan apa orang lain akan kata! Kerana kalau kita ambil pot pasal tu, kitalah yang akan kecundang nanti dengan hutang sekeliling pinggang. Akhirnya kita tak boleh tidur malam. Baik tak baik, kita akan selalu berkelahi dengan pasangan dan mungkin juga rumah tangga mampu roboh! Nauzubillah min zalik.

Fikir-fikirkanlah. Hidup mestilah sederhana dan hidup dengan apa yang kita mampu sahaja.

Wassalam.
                                   Kalau ada tanah, bolehlah buat rumah comel macam ni.


Tuesday, December 12, 2017

Berita HAMPEH Pun Kita Edar Juga!

Assalam

Sejak saya kecil hinggalah ke dewasa, tak pernah lagi dengar negara kecil yang dipanggil Palestine itu aman damai. Sentiasa berentap dengan pihak Zionis yang jahat hati! Memang kita sentiasa bersimpati pada rakyat Palestine. Bayangkanlah kalau kita juga hidup begitu, tunggang langgang tak pernah aman. Rumah tak tentu tempat tinggalnya, makan pakai pun tak tahu cukup ke tidak, apatah lagi nak bersekolah. Tapi kalau kita tak berjaga-jaga, tak mustahil apa yang dialami pihak Palestine juga mampu kena pada kita juga. Walaupun duduk di negara sendiri, tahu-tahu suatu hari nanti kita diusir atau dipinggirkan! Nauzubillah min zalik. Semoga  Allah swt melindungi kita. Aamiin.

Yang tentunya, mereka yang menjual senjata akan bertambah jadi kaya raya. Bila negara tak banyak berperang, lanun-lanun senjata susah hati. Jadi mereka akan cari cara terbaik untuk porak perandakan dunia agar ada yang berperang lagi. Ada negara tu kita lihat memang tak pernah ada apa-apa yang buruk berlaku, tapi hanya Allah swt yang tahu sama ada mereka tetap terlibat dengan peperangan di negara lain. Mungkin nampak aman, rupa-rupanya merekalah dajjal yang menjual senjata!

Apa-apa pun, sebagai orang biasa yang tak terlibat dengan peperangan di mana-mana, kita sentiasa bersimpati pada mereka seperti rakyat Palestine dan Rohinggya juga rakyat Syria, yang sentiasa hidup dalam kecemasan.

Namun begitu, kadang-kadang saya rasa macam manusia hari ini seronok betul buat cerita dan forward apa sahaja, konon-konon sangat prihatin hinggakan mereka tak sedar yang mereka sekadar menghantar bahan-bahan HAMPEH! Mana tak saya kata hampeh, sebab bahan yang diforward tu sekadar 'RECYCLED MESSAGE' yang pernah melular di sana sini. Misalnya tentang bakar al-Quran oleh Trump, tentang produk Yahudi di pasaran, tentang masjidil Al Aqsa dikepong dan sebagainya. Letih kita membaca benda-benda yang sekadar berita lama yang direcycled! Rasa macam diperbodohkan. Masalah besar ialah rata-rata orang kita ni suka main forward-forward apa sahaja yang diterima tanpa usul periksa. Kalau tentang perkataan 'Insyaa-Allah' atau 'In Shaa Allah' konon-konon diberitahu oleh Dr.Zakir Naik pun dah penat saya membaca. Tak ada siapa pun nak ambil kisah bahawa ejaan itu tak ada kena-mengena dengan makna yang tersonsang! Ejalah macam mana pun asal sebutannya serupa! Lagipun Dr. Zakir Naik sendiri mengaku yang dia tak pernah pun suruh orang eja 'Insyaa-Allah' macam lain, sebab perkara itu memang tak benar pun!

Malah apa-apa sahajalah... banyak sangat perkara-perkara tak benar yang kita edar di merata-rata tempat. Patutlah syarikat-syarikat digital jadi kaya-raya! Sebab manusia terlalu tak mahu berfikir!

Kalau malas nak periksa, rajin-rajinlah dengar berita misalnya menonton channel Al Jazeera! Semuanya ada di situ. Tak payahlah nak baca bahan-bahan hampeh!

Wallahuaklam.

Friday, December 08, 2017

Yeop dan Yong... Tak Usahlah Berdengki dan Sakit Hati

Assalam

Adik beradik. Masa kecil biasanya sangat baik. Buat apapun semua nak buat sama-sama. Beli baju pun ada yang serupa. Kalau adik jatuh, kakak atau abang akan tolong. Kalau kakak menangis adik pasti bersimpati.

Tapi bila besar dan jadi orang dewasa, adik beradik kerap bersaing dan berlumba-lumba. Masing-masing nak tunjuk siapa yang lebih pandai atau lebih kaya. Kalau abang ada kereta besar, adik pun sibuk nak beli yang lebih besar dari abang. Apatah lagi bila masing-masing dah ada pasangan. Bertambahlah kuat datang hasad dengki dan sakit hati. Bukan sekadar berlumba, ada yang sanggup berperang! Astaghfirullah alazim. Semoga Allah swt ampunkan kita.

Ada tu sampai sanggup berhutang sana sini hanya sekadar kerana nak tunjuk hebat sesama sendiri!

Kenapa kita tak belajar untuk jadi rendah diri? Rugi ke?

Ada tu, dulu tak menonjol kerana terasa kurang daripada orang lain, tapi bila Allah dah anugerahkan kesenangan, mulalah nak menunjuk-nunjuk. Rajin buat makan kat rumah, bukan kerana baik hati sangat, tapi hendakkan semua orang datang tengok rumah dia yang kini gah dan bergaya. Kalau tak ajak datang nanti orang lain tak tahu pulak!

Adoii... sampai bila agaknya kita nak belajar supaya terima diri seadanya? Bila mati nanti bukan nak bawak apa-apa pun! Buat apa masa hidup ni suka sangat nak berlumba? Buat apa nak berdengki dan sakit hati terutama dengan adik-beradik sendiri?

Kenapa perasaan sayang tu kita hilangkan dari diri? Mana pergi rasa sayang dan simpati yang ada masa kita budak-budak dulu? Hilang begitu sahaja ke? Kesian kan?

Sepatutnya kita janganlah ambil pot kalau ada adik-beradik kita yang lebih dari kita. Biarkanlah. Kita tumpang bangga tanpa perlu rasa sakit di hati. Kalau kita pula yang jauh lagi senang dari yang lain, janganlah kita nak menunjuk-nunjuk pulak. Relakslah. Tak payah nak sakitkan hati orang lain.

Kalau kita pandai bawa diri, insyaa-Allah kita akan selamat dunia dan akhirat. Semua itu Allah swt ambil kira. Ingatlah untuk berpijak di bumi nyata. Tak usahlah perasan seperti tinggal di atas awan. Kadang-kadang kita mampu jatuh tersungkur dan semasa itu mungkin tak ada yang nak menolong. Tukang gelakkan memang ramai.

Wallahuaklam.


Kalau rumah adik-beradik kita besar macam ni... biarkanlah. Nak menguruskannya pun bukannya senang. Biar kita duduk dalam rumah kecil, tak penat badan!