Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, September 10, 2012

Susahnya Nak Bersabar


Salam

Semoga semangat kita tinggi hari ini dan janganlah kata 'Monday blues'... huhuhu...

Alhamdulillah kita masih di sini, semoga hari-hari kita lebih baik daripada hari-hari yang terdahulu, insya-Allah.

Di Nilai, pagi ini hujan lebat, penuh rahmat, insya-Allah.

Ya sungguh ni, kadang-kadang memang susah nak jadi orang yang bersabar. Bukan mudah walaupun kita cuba sebaik mungkin. Bila kita marahkan sesuatu, rasa sakit hati tu payah nak berundur, puas berdoa masih tak mahu pergi juga. Kita pun tanyalah sana sini macam mana nak kawal diri supaya jadi orang yang sabar, yang tak marah-marah tapi masih susah juga. Asyik orang beritahu kita, "Tak apa, bersabar ajelah," tapi yang cakap tu pun kadang-kadang susah nak sabar. Sebenarnya tak tahu macam mana nak uruskan kesabaran itu.

Banyak cara untuk kita belajar bersabar dan semuanya datang dari dalam diri kita juga dan tentunya kita kena usaha kalau kita betul-betul mahukan kesabaran. Selain dari duduk berdoa, kita kena lakukan macam-macam supaya dijadikan amalan yang akan membawa diri kita untuk bersabar. Saya pernah dengan cerita daripada mereka yang alim, bahawa guru-guru mereka (kisah ini terjadi di Al Azhar, Mesir) selalu ke luar ke jalanan untuk memberi makanan kepada anjing-anjing liar yang berkeliaran dan kelaparan. Perbuatan itu membersihkan banyak kotoran dalam jiwa dan mudah mengawal diri untuk bersabar. Wallahua'lam

Begitu juga satu lagi kisah yang saya dengar tentang orang alim di Timur Tengah. Kisahnya begini. Suatu hari ulama' ini pulang dari kejauhan dan dia telah disambut oleh orang-orang yang menghormati dan menyayanginya. Sebaik sahaja tiba di suatu kawasan itu, kerana mereka terlalu sayangkannya, mereka bertolak-tolak lalu mengangkat kenderaan yang dinaikinya. Tentu sekali ulama' itu berbesar hati kerana tahu ramai yang menghormatinya. Seketika kemudian, anaknya telah datang ke tempat berkenaan (kalau tak silap ialah masjid), tetapi dia tiada di situ. Bila mencarinya akhirnya anaknya menemui ayahnya (ulama' berkenaan) sedang mencuci tandas di masjid itu. Rupa-rupanya ulama' itu sebaik sahaja tiba di pekarangan masjid terus sahaja ke kawasan tandas dan menaikkan jubahnya untuk membersihkan tandas. Kata ulama' itu kepada anaknya, dia takut perasaan 'tinggi diri' melekat padanya ketika orang ramai menunjukkan hormat dan sayang mereka. Dengan mencuci tandas, dirinya kembali menjadi rendah. Subhanallah.

Begitulah caranya para ulama' dan orang alim menjaga jiwa mereka agar mudah dikawal. Wallahua'lam. Mungkin kita juga mampu lakukan begitu. Misalnya mengunjungi rumah anak-anak yatim atau rumah orang-orang tua dan menghulurkan bantuan tenaga kepada mereka. Melayan kerenah kanak-kanak dan orang tua mampu mengajar kita untuk bersabar. Atau mungkin juga pergi ke rumah-rumah ibu tunggal yang kesusahan dan membantu mereka lakukan apa-apa yang boleh membantunya.

Sebenarnya, banyak yang boleh kita lakukan untuk membersihkan jiwa kita, insya-Allah selepas itu nanti kita mudah mengawal diri untuk menjadi orang yang sabar. Insya-Allah.

PS: Saya juga sedang usahakan agar selalu bersabar dan jauhkan perasaan marah-marah. Memang tak mudah. Tetapi insya-Allah, saya akan terus usahakan.

Wassalam.