Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, February 25, 2014

Setiap Ujian Ada Hikmahnya

Assalam

Hari ini pun saya masih belum ada mood untuk mulakan cerpen baru. Mungkin esok kot. Ramai yang bagi tahu saya, "Kak Aina... buatlah yang saspen2, seronok baca... tertunggu-tunggu." Iyalah, sebagai penulis, itulah yang saya nak lakukan, supaya bila pembaca membaca, mereka ternanti-nanti akan episod berikutnya. Insyaa-Allah.

Sebenarnya untuk cerpen ni, saya tak sukalah nak buat kisah cintan-cintan sebab saya rasa tak sesuai. Apa yang saya nak lakukan, sekadar melihatkan kisah-kisah yang mungkin terjadi di sekeliling kita. Kita pernah dengar, ada yang pernah rasa, atau kita tahu ada kisah seperti itu. Walhasil, hidup kita di dunia ini adalah seperti drama, ada turun naiknya, ada racun dan ada madu. Biarlah kita jadi 'bee' atau tebuan/penyengat yang pandai mencari madu, jangan jadi lalat yang hanya tahu mengutip yang kotor sahaja atau nyamuk yang memberi penyakit pada manusia.

Selagi ada nyawa di kandung badan, selagi itulah kita perlu menuntut ilmu. Biarlah kita belajar hingga akhir usia kerana pelajaran dan ilmu itulah yang menjadikan kita manusia berguna. Kalau kita melalui apa-apa yang tidak enak, kita carilah jalan untuk buang yang tidak enak itu. Setiap ujian pasti ada hikmahnya kerana Allah tidak mensia-siakan ujian yang diberi kepada insan di dunia. Semoga kita sama-sama belajar dan jadi manusia yang berguna untuk agama kita. Jangan sekali-kali menyesatkan diri. Nauzubillah min zalik.

Wassalam.


Monday, February 24, 2014

Lepak-Lepak di Sunway

Assalam semua

Dah lama tak beri salam saya di sini. Okeylah... baru habis dengan cerpen berjudul HILANG dari siri Dia, Dia dan Dia. Baru satu 'dia'... ada lagi dua 'dia' yang akan saya kisahkan di blog ini. Hari ini, saya nak 'take five' sekejap, nak bersembang dengan anda semua pula. Apa khabar ya? Alhamdulillah, saya okey sahaja, masih ada kesihatan yang baik, ada tenaga, ada semangat... semuanya nikmat anugerah Ilahi. Yang penting, insyaa-Allah teguh iman, tak kira apa sekali ujian yang datang.

Sejak kebelakangan ini, saya kesibukan dengan urusan keluarga dan juga teman-teman. Kawan baik saya, baru sahaja pulang dari luar negara. Insyaa-Allah ada perancangan untuk lepak-lepak dengannya. Mungkin akan ke Perak buat seketika, untuk ke kampungnya. Saya juga sibuk dengan kawan-kawan di sini dan baru-baru ini, kerana cuaca yang tidak berapa elok, ibu saya juga tidak berapa sihat. Alhamdulillah bonda saya dah okey. Bila ibu saya tak sihat, sayalah yang jadi 'chef in the house'... maka keluarlah menu-menu yang dah lama terperap. Yang bestnya, anak-anak dan suami asyik bertanya aje, "Hari ini nak masak apa?"... Huhu macamlah sedap sangat apa yang saya masak tu. Tapi... memang seronok juga bila kita fokus dengan masak-memasak ni. Saya ni memang tak rajin masak (sebab emak saya suka masak), tapi kalau saya masak, saya akan masak dengan hati... hehe...

Hujung minggu yang lepas, sempat juga kami keluar beramai-ramai melayan si kenit-kenit bermain di Sunway Pyramid. Kami tak pergi ke lagoon sebab terlalu panas, main-main di dalam theme park mall sahaja... memang sesuai pun untuk si kenit-kenit ni.

Apa pun, insyaa-Allah sebelum pertengahan bulan depan, kami akan ke luar negara sekali lagi. Nanti saya akan beritahu destinasinya. Buat masa ini, saya akan relaks seketika, nanti saya akan sambung lagi bercerita dalam cerpen-cerpen saya.

Wassalam.

                         Ali, Firas dan Yusufia
                             Firas dan Yusufia
                             Firas... dia ingat dia bawa lori
    Makan-makan... tengoklah muka Faiz. Nabil, Firas dan adik perempuan saya.
 Yusufia naik kuda... siap nak korek hidung kot
                              Firas and Yusufia... naik kereta api.

Wednesday, February 12, 2014

Mohon Maaflah...

Assalam

Semalam saya meraikan Rozie, salah seorang pembaca setia, yang kini merupakan seorang teman. Dia datang ke rumah saya kerana kebetulan Rozie bercuti. Dapatlah kami bersembang-sembang di kediaman saya. Kemudiannya, kami makan tengah hari di Restoran Aunty Aini's (restoran ini selalu dijemput dalam program pelancongan dan masakan televisyen negara Barat) yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Restoran Aunty Aini's memang glamor dan dikelilingi sebuah taman indah (saya memang suka). Sangat cooling walaupun cuaca panas. Memang restoran ini merupakan salah satu restoran feveret keluarga saya. Saya juga pernah jadikan restoran ini untuk latar cerita dalam novel 'Pukul 3.00 Pagi'.





Alhamdulillah, banyak yang kami bualkan, maklumlah lama tak jumpa. Kami juga turut bertukar-tukar hadiah. Dengan Rozie, memang selalu begitu. Terima kasih, Rozie di atas hadiah-hadiah yang istimewa. Rozie juga beri saya dua botol acar ikan masin buatan seorang penulis yang tinggal di Kuantan. Memang sedap betul acar ikan masinnya dan sangat sesuai untuk dijadikan hadiah, untuk bulan puasa, juga untuk dibawa keluar negara. Saya terus 'order' lagi, kebetulan kawan baik saya akan pulang ke Malaysia dalam sedikit masa lagi. Bolehlah saya bekalkan dia acar yang sedap ni!

                       Ini dia acar yang saya maksudkan!

Okeylah... hari ini nak cerita sedikit tentang 'rasa bersalah' yang mungkin ada pada kita. Kadang-kadang, kita telah lakukan sesuatu yang mungkin berat atau juga kurang berat. Tapi masalahnya, bila ada hati yang terasa, tercalar dan terluka, kita mungkin turut rasa bersalah sangat-sangat. Paling malang, kalau dek kesalahan itu, kita payah nak tidur malam. Asyik teringat-ingat, mungkin mampu menjejaskan kerja dan kehidupan seharian kita. Apa yang boleh kita buat?

Banyak orang akan minta ampun pada Tuhan. Ada yang serik dan berjanji tak akan lakukan lagi. Tapi malangnya, rasa bersalah itu tak mahu pergi-pergi. Mungkinkah sebaik-baiknya pergi minta maaf pada orang yang telah kita sakitkan itu? Kalau dapat kemaafannya, mungkin hati dan jiwa kita akan jadi tenang. Tidaklah rasa terlalu bersalah lagi. Mungkin dapat juga lena dan tidak terganggu aktiviti seharian kita.

Mudah aje, kan? Pergilah mohon maaf...
Takut atau segan nak jumpa, apa salahnya kalau hantar e-mel!

Wallahuaklam. Wassalam.

Tuesday, February 11, 2014

Berhati-Hati Dengan Air Mata


Assalam

Sekadar mengingatkan diri dan anda sekelian, supaya sentiasa menjaga, agar tidak tersasar lalu dengan sedar atau tidak, kita melukai hati orang lain. Kita perlu berhati-hati dengan doa orang yang dizalimi dan air mata orang yang kita aniayai. Kadang-kadang kita rasa apa yang kita lakukan itu mungkin tidak salah kerana perkara itu dikatakan benar, namun dalam melakukannya, kita ‘break the rules’ dengan melakukan perkara-perkara lain yang tidak disukai Allah SWT, maka apa yang kita lakukan menjadi sesuatu yang salah. Bertambah salah, bila ada hati dan jiwa yang telah kita sakiti dan lukai. Jiwa dan hati yang sakit itu akan sentiasa terasa dan itulah yang kita perlu hati-hatikan. Takut ada balasan yang datang pada kita tanpa kita sedar, pada kesalahan yang telah kita lakukan. Nauzubillah.

Dalam pada itu, saya juga ambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya dan teman-teman yang saya sayangi, agar rajin-rajin berbuat amal ibadah. Utamakan yang wajib seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat, mengerjakan haji bila ada rezeki… kemudian, kita cuba lakukan segala amalan-amalan murni, termasuk tunaikan solat-solat sunnah, solat tahajud, taubat, hajat, dhuha dan lain-lain, mengaji kitab suci Al Quran, bersedekah, menolong mereka yang betul-betul susah dengan apa jua cara, jangan lupa untuk sentiasa buat baik pada ibu bapa, lakukan semua perkara yang baik, dan sebaik-baiknya, kita rajin amalkan semua ini setiap masa, bukan buat secara hangat-hangat tahi ayam. Bila rasa rajin kita pun buat bersungguh-sungguh, bila malas, kita tak buat langsung.

Orang kata, elok kalau kita amalkan semuanya secara konsisten, biar sedikit-sedikit. Maknanya, mungkin kita bersolat sunat dua tiga kali sehari, bersedekah dari masa ke masa, mengaji Al Quran sehelai dua setiap hari, jauh lagi baik daripada terus tak buat apa-apa. Bila ditegur atau terasa banyak dosa, kita pun kelam kabut melakukannya. Lepas itu, lupa semula.

Sebenarnya, semua kerja-kerja sunnah ini kita lakukan untuk tampal segala perkara wajib yang sepatutnya kita lakukan tetapi tidak sempurna. Misalnya bila kita solat lima waktu, kemungkinan besar kita tidak kusyuk. Atau ada perkara-perkara yang kita tersilap buat.

Tapi jangan pula kita beratkan perkara sunnah daripada wajib. Misalnya, kita sibuk berpuasa sunat sedangkan kita abaikan solat lima waktu. Ada orang sengaja puasa sunat kerana senang untuk menunjuk-nunjuk. Suka hebahkan pada orang lain, “Hari ini aku puasa.” Rugi benar kalau itulah niat kita.

Semoga semua amalan sunnah dapat membantu kita, semoga kita mendapat ganjaran daripada Allah swt, semoga kita menjadi ahli syurga-Nya. Ameen. Wallahua’klam.


Wassalam.

Monday, February 10, 2014

Batu Permata Tanzanite

Assalam

Okeylah... kita take five okey. Relaks dulu sebelum saya masuk ke siri cerpen yang berikutnya. Hari ini, jom kita sembang tentang batu permata. Mungkin anda tak pernah dengar tentang batu permata yang ini. Namanya ialah 'Tanzanite' dan warnanya pula sangat menarik, biru ungu. Bukan macam batu nilam. Batu permata tanzanite ini telah ditemui dalam tahun 1960-an di negara Tanzania, Afrika dan dikatakan hanya di kaki Gunung Kilimanjaro sahaja yang terdapat batu permata yang eksklusif ini. Dikatakan juga bahawa orang Amerika tergila-gila membelinya kerana dikuathiri batu permata ini akan tiada lagi untuk digali dan kerana itu juga, ia menjadi rebutan dan harganya sekian hari sekian meninggi. Sebenarnya, saya juga turut jatuh cinta padanya dan tak tahulah mampu atau tidak untuk mendapatkan sebentuk cincin batu tanzanite ini suatu hari nanti. Saya ni bukanlah jenis gila pakai barang kemas, tapi saya memang suka pada sesuatu yang eksklusif dan cantik. Biar satu sahaja tak apa, janji 'the best'! Saya suka emas putih dan kalau dapat batu ini, mesti kena ikat dengan emas putih. Lagi menarik bila ia dikelilingi batu berlian. Wow... seronoknya berangan-angan!

Jom tengok batu permata yang saya maksudkan ini.






Tuesday, February 04, 2014

Sakinah, Mawaddah dan Rahmah

Assalam

Lama saya tidak berkomunikasi dengan anda semua kerana memberi laluan kepada cerpen siri Aku dan Aku Aku. Masih ada satu lagi cerpen dalam siri ini. Siri Aku dan Aku Aku, mengisahkan luahan hati 'Aku' dan ada tiga orang 'Aku' yang akan meluahkan hati mereka. Maknanya dalam siri ini, masih ada lagi satu cerpen selain daripada 'Mama Oh Mamaku' dan 'Berdosakah Aku?'. Selepas selesai siri Aku dan Aku Aku, saya akan bentangkan cerpen siri Dia, Dia dan Dia. Mengisahkan cerita 'Dia' pula. Semoga anda sekelian 'enjoy' membaca cerpen-cerpen ini. Semua yang baik itu datangnya daripada Allah swt, yang kurang itu adalah daripada penulisnya.

Apa-apa pun, buat masa ini, saya lebih banyak ber relaks-relaks. Alhamdulillah, syukur di atas rahmat-Nya, di atas Izin-Nya untuk saya berada di bumi ini, semoga Allah berikan yang terbaik hingga ke pintu syurga, tiada apa-apa yang lebih baik daripada itu. Jauhkan segala hasad dengki manusia, jauhkan godaan syaitan, jauhkan semua kejahatan. Malah, semoga Allah swt jauhkan juga kenalan-kenalan yang tidak ikhlas berkawan.

Tiada wang ringgit yang mampu memberikan kita hidup bahagia, kecuali hati yang tenang dan jiwa yang tenteram. Semoga hidupku berada di ruang Sakinah, Mawaddah dan Rahmah, semoga kita sama-sama usahakan yang baik-baik di dunia dan akhirat ini.

Wassalam.