Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, December 10, 2015

Terperangkap Selama 14 Tahun!

Assalam

Bagi mereka yang bekerja di Selangor, esok cuti umum kerana menyambut ulangtahun hari jadi Baginda Sultan Selangor. Dapatlah kita relaks-relaks. Walaupun saya tinggal di Negeri Sembilan, semua ahli keluarga jalankan bisnes di Selangor. Jadi... esok cutilah.

Okeylah, mungkin anda tertanya-tanya, apa cerita Kak Aina pagi ni. Siapa yang terperangkap selama 14 tahun tu? Haha... mungkin anda pun tak percaya kot dengan cerita yang akan saya khabarkan ini, tetapi ini adalah sebuah cerita benar yang terjadi pada salah seorang kawan saya. Kalau dia bohong, bohonglah saya... tapi insyaa-Allah tidak. Saya dah lama kenal dengan kawan saya ni. Malah masa dia kahwin dulu pun saya pergi menghadiri majlis perkahwinannya.

Kawan saya ni dah lama berkahwin, anak-anak semuanya dah besar-besar. Tak pasti sangat berapa orang, rasanya tak kurang dari empat orang. Beberapa tahun yang lepas, saya dengarlah kisah yang kawan saya yang bergelar M ni ditinggalkan suaminya begitu sahaja. Cerai tidak, balik rumah pun tidak. Tiba-tiba dengar cerita yang dia berkahwin lagi. Kawan saya terpinga-pinga, terpaksalah hidup seperti seorang ibu tunggal, padahal suaminya masih ada lagi dah masih menikah dengannya.

Selama 14 tahun suaminya itu menyepi. Tak mahu pulang-pulang ke rumah kepada isteri dan anak-anak. Suaminya itu (saya namakan S) merupakan seorang pegawai kerajaan yang berpangkat agak tinggi, telah dikatakan berkahwin dengan seorang wanita yang sentiasa mengawal pergerakannya, hinggakan di tempat kerja pun dia dikawal.

Kawan saya M terpaksa bersabar dan tak mahu buat kecoh kerana tak mahu suaminya diaibkan, kerana kalau dia buat laporan kepada pihak atasan, pasti suaminya akan disoal. Kebetulan, S menikah dengan perempuan lagi satu tu di sebuah pekan di Utara, yang berjiran dengan negara jiran dan pernikahannya itu dijalankan oleh jurunikah negara jiran itu dan S tidak mendaftarkannya kerana bimbang dengan tindakannya yang mungkin akan menjejaskan kerjayanya.

M terpaksa mencari S kerana anak perempuan mereka mahu berkahwin. Tanpa kehadiran S, pasti anak mereka tidak boleh dinikahkan. Terpaksalah M mencari di tempat kerjanya. Bila isteri S tahu, isterinya itu mula mengawal S hinggakan tak boleh ke tempat kerja. Bayangkanlah selama 14 tahun S terperangkap dengan seorang perempuan yang mengawal hidupnya hinggakan S menjadi seperti seorang lelaki bendul. Akhirnya, M mengajak ibu mertuanya dan adik-beradik yang lain, lalu pergi ke rumah S dengan isterinya itu, lalu mereka memaksa isterinya membuka pintu rumah dan terus mereka larikan S.

Barulah terbongkar cerita bagaimana S sebenarnya diperangkap oleh isterinya itu dan bagaimana selama ini hidup S berubah seolah-olah dah jadi orang bodoh hinggakan takut untuk pulang ke rumah isteri pertamanya. Dengan pantas ibu S membawanya untuk berubat dan sebaik sahaja habis berubat, S mengambil keputusan untuk menceraikan isteri keduanya walaupun mereka sudah pun ada dua orang anak. Kata S, dia tidak pernah sayang pada perempuan yang dijadikan isteri kedua itu, hanya sedar yang dirinya seolah-olah terperangkap dan jadi lemah. Subhanallah.

Bayangkanlah... selama 14 tahun, S hidup macam orang bodoh lagi bingung, seolah-olah berada di dalam penjara. Tiba-tiba tersedar bahawa dirinya tertipu oleh seorang perempuan yang mungkin mahukannya kerana dia adalah seorang mata duitan!

Cerita ini bukannya sebuah rekaan, tetapi adalah kisah benar yang terjadi pada kawan. Semoga kita umat Islam berjaga-jaga dengan manusia yang berlindung di balik syaitan yang sanggup lakukan apa sahaja untuk kepentingan diri. Semoga Allah swt lindungi kita daripada segala kejahatan. Aamiin.

Wassalam.


                                               Empat belas tahun dalam penjara