Alhamdulillah, sekiranya kita diberikan kesihatan yang baik dan sihat sentiasa. Bersyukurlah, kerana dalam hidup kita ini, sekalipun kita mempunyai banyak wang atau mempunyai kuasa, tetapi kalau tidak diberikan kesihatan, hidup kita bagaikan tak berpedoman. Pun begitu, kita patut usahakan kerana setiap penyakit itu sudah disediakan ubatnya. Carilah!
Dalam membincangkan hal sakit ini, yang paling kita takut kalau kita menghidapi penyakit sakit hati atau punyai hasrat dengki. Penyakit ini memang payah nak diubati. Kalau kita iri hati tetapi menerimanya secara positif, kita akan mampu memperbaiki kekurangan pada diri. Tetapi, kalau perasaan itu lebih kepada 'geram' atau 'benci', maka timbullah perasaan untuk mengkhianati atau untuk menabur fitnah.
Penyakit yang seperti ini, kalau tak pandai dikawal, akan memusnahkan diri! Malah, mungkin akan mengganggu emosi dan akhirnya nanti mungkin menghadapi penyakit 'mental' atau gila! Oleh sebab itu, elakkanlah diri daripada mempunyai perasaan 'dengki'. Sekiranya kita melihat orang lain lebih elok daripada kita, terimalah itu sebagai kenyataan dan cubalah untuk memperbaiki diri. Dalam begitu, carilah apa kelebihan yang kita ada, agar perasaan sakit hati tidak terus bertapak di jiwa.
Yang pasti, setiap diri kita ini memang dianugerahkan Tuhan dengan kelebihan dan kelebihan itu tidak sama dengan orang lain. Carilah dan gunalah kelebihan itu untuk meningkatkan prestasi. Insya-Allah, kalau hati kita berniat baik, akan ada jalannya. Tuhan Maha Pengasih lagi Penyayang.