Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, June 29, 2015

Semuanya Ada Harga

Assalam

Selamat pagi, semoga kita mampu untuk bekerja seperti biasa, tidak berangan-angan hari raya. Fokuslah pada kerja, itu adalah amalan ibadah yang mulia kerana kita melakukan tanggungjawab dan amanah! Allahuakbar!

Seperti yang saya katakan, hujung minggu, kami sentiasa banyak kerja. Banyak tugasan yang perlu dilakukan. Alhamdulillah, kami tidak buang masa, buat semua yang perlu dilakukan. Saya ke PJ, termasuk di kawasan The Curve... mujur jumpa apa yang saya cari. Syukur. Sempat pulang ke rumah, solat Asar dan juga masak untuk buka puasa. Kalau boleh, saya tak mahu berbuka di luar, lebih selesa di rumah sahaja.

Di bulan yang baik ini, biarlah kita belajar untuk menghargai dan bersyukur di atas apa yang kita ada dan apa yang mampu kita nikmati. Mungkin ada perkara dan sesuatu yang kita lalui itu, memeritkan rasa, anggaplah itu ujian untuk membuat kita faham dan mengerti tentang segala nikmat dan hikmat anugerah Allah swt buat kita. Kalau kecil kita dapat, bersyukur, kalau besar pun kita bersyukur. Kalau tak dapat pun kita sepatutnya bersyukur juga kerana kita tak tahu apa hikmah-Nya buat kita. Jangan pula bila kita dapat, kita pun mula lupa daratan. Kita rasa hebat dan rasa yang apa kita dapat itu adalah kerana kebijaksanaan kita, kerana kalau tiada Allah swt yang memberinya, kita pasti tiada apa-apa. Subhanallah!

Syukur itu adalah ubat untuk tingkatkan iman kita, ubat untuk buat kita jadi rendah diri, ubat untuk kita belajar bersabar. Malah, syukur itu adalah satu nikmat untuk kita dekatkan diri dengan Allah swt. Kalau kita bersyukur, kita tak akan lupa diri, kita tak akan cakap besar, kita tak akan tikam kawan, kita tak akan menipu diri sendiri atau orang lain, kita tak akan berlaku kejam dan zalim, kita hargai kasih sayang, kita akan berasa aman di luar dan dalam, insyaa-Allah.

Hargailah apa sahaja yang kita ada. Sedikit atau banyak, terbaik, baik atau kurang baik, belajarlah untuk bersyukur di atas apa sahaja pemberian Ilahi buat kita. Dalam pada itu, berdoalah agar kita menjadi insan yang sentiasa bersyukur. Aamiin ya Rabbal alamin.

Wassalam