Assalam
Hari ini hari Ahad dan alhamdulillah, kami sekeluarga banyak berehat dan buat gardening. Sudah lama tak urus rumah kami ni, jadi dah sampai masa untuk beri tumpuan. Mujurlah Nabil yang tak ikut sama untuk tunaikan ibadah umrah, berjaya untuk uruskan rumah kami dengan baik. Syukur. Hari ini, sibuklah saya dan suami, juga anak-anak menguruskan kebersihan keliling rumah. Saya ni pantang tengok kalau taman saya tak terurus.
Okeylah... saya nak bercerita tentang apa yang saya sentuh pada entri terakhir sebelum entri ini. "What goes around comes around," peribahasa Inggeris yang merungkai tentang balasan di atas apa sahaja yang kita buat tak baik dalam hidup kita. Mungkin serupa dengan hukum 'Karma' atau 'Kaffarah', bermakna balasan yang terjadi masa di dunia. Kita tak tahu lagi balasan di Akhirat, nauzubillah. Apa-apa pun, jom kita bercerita tentang kisah benar yang terjadi di kalangan teman-teman saya, semoga ia menjadi pedoman untuk kita lakukan yang baik-baik di dunia ini, insyaa-Allah.
Baru-baru ini, saya sempat berbual dengan seorang teman lelaki yang junior saya (kami memang baik sejak berpuluh tahun lalu), dia seperti adik saya. Saya bertanya padanya (kebetulan dia juga baik dengan seorang teman veteran yang baru-baru ini menikah lagi satu), "DH tak encourage you untuk buat macam dia ke? Maksud saya... cari lagi satu isteri? Sekarang ini kan dah jadi trend?" Sebenarnya saya sengaja mahu menguji dia kerana teman saya ini orangnya agak berupa, berpangkat tinggi juga dan isterinya pula tak pernah melahirkan zuriat, mereka sekadar membela anak angkat sahaja.
Katanya pada saya, "Kak... saya tak ingin fikirkan hal-hal ini. Sebenarnya saya tahu DH sedang berdepan dengan masalah besar. Hidupnya sangat tertekan. Jadi... apa guna nak kahwin dua, kalau tak bahagia? Biarlah saya hidup begini. Banyak aktiviti yang boleh saya lakukan yang akan membawa pahala dan anak-anak saya (anak-anak angkatnya) semuanya bagus-bagus belaka. Mereka menghiburkan hidup saya. Akak tak ingat ke pada MB? Kawan kita yang pernah kahwin satu lagi tu?"
sekadar hiasan
Semestinya saya ingat, sebab MB memilih seorang teman saya untuk jadikan isteri keduanya. YG adalah seorang janda anak tiga. Suami pertama YG sangat good looking dan tinggalkannya untuk berkahwin dengan perempuan lain. Mungkin sakit hati, YG mula berbaik dengan MB (suami orang yang berusia matang). Mula-mula sekadar bercerita, lama-lama dia mula menggoda MB. Tanpa persetujuan isteri pertamanya, MB kahwin dengan YG. Walaupun MB tidak menceraikan isteri pertamanya, MB pilih untuk tinggal dengan YG. Kiranya lama juga mereka berkahwin dan isteri pertama MB hidup menderita bertahun-tahun lamanya.
Baru-baru ini kami semua dapat cerita bahawa MB sedang sakit (mungkin kena strok agaknya) dan isterinya YG tak mahu lagi hidup dengan MB (kerana menyusahkannya), lalu meminta cerai. Setelah berpisah dengan YG (yang dikatakan sebuah perkahwinan yang tidak membahagiakan), MB balik kampung (Parit, Perak), terpaksa meminta belas kasihan adik-beradiknya yang masih hidup lagi, untuk menjaganya. Sangat menyedihkan, kerana keluarga MB yang masih ada di Bangi, buat tak ambil kisah pun. Isteri pertamanya sudah lama lali dan sedang hidup aman damai bersama anak-anak yang dah besar panjang dan punyai keluarga sendiri.
"Kak... saya tahu kalau kita buat tak baik pada orang lain, terutama isteri sendiri, pasti kita akan menderita satu hari nanti. Balasan tetap ada di dunia ini. Saya dah tengok banyak kali dah. Saya juga percaya DH akan merasakannya tak lama lagi. Inilah hukum Allah swt kalau kita tidak belajar untuk bersyukur atas segala nikmat yang dianugerahkan-Nya dan tidak menghargai nikmat Tuhan, Allah akan ambil pergi. What goes around comes around, kak... percayalah. Sebab tu saya mengelak daripada buat benda-benda yang menyakitkan hati ini. Bagi lelaki, memanglah seronok kalau dapat berfoya-foya atau kahwin dua, tapi bagi isteri yang kena tu, pasti sakit hati. Macam mana kita nak mengelak daripada balasan Tuhan nanti? Kak... saya tak mahu rasa seronok yang sekejap tapi menderita yang panjang nanti. Nauzubillah. Tak guna kalau menyesal kemudian nanti."
Semestinya saya teringat pada MB. Sekarang ini semua kawan-kawan bercakap tentangnya. Begitu juga tentang DH. Masing-masing nak tunggu apa yang akan terjadi nanti. Wallahuaklam.
Semoga anda relaks-relaks di hujung minggu ini.
Wassalam.
