Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, July 17, 2013

Jangan Jadi Bunga Plastik



                             Sekadar Hiasan


Assalam.

Alhamdulillah kita masih di sini untuk kerjakan ibadah puasa dan amalan baik yang lain, in syaa Allah.

Hari ini, saja saya nak bersembang tentang pandangan kita tentang wanita yang bertudung. Mungkin kalau kita tak kenal kepada wanita berkenaan, kita mempunyai andaian sendiri bila melihatnya tidak bertudung atau bertudung. Mungkin juga andaian kita mereka yang bertudung itu jauh lebih baik akhlaknya daripada yang tidak bertudung.

Pun begitu, sebagai manusia kerdil di dunia ini, mungkin kita juga perlu berjaga-jaga kerana tidak semestinya mereka yang bertudung litup itu lebih baik akhlaknya atau budi bahasanya daripada mereka yang tidak bertudung.

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, saya sekadar ingin mengingatkan diri saya sendiri dan juga anda yang berada di luar sana. Kadang-kadang, ada orang mahu berhijrah daripada tidak bertudung untuk bertudung bukan kerana Allah SWT, tetapi lebih untuk meningkatkan imejnya di mata masyarakat, terutama kalau masyarakat mempunyai persepsi yang melambangkan wanita berhijab itu sangat mulia. Alhamdulillah, kalau kita mahu berubah daripada tidak berhijab lalu kita pilih untuk berhijab. Tetapi biarlah kita lakukan itu kerana kita ikhlas sayangkan Allah SWT. Janganlah kita lakukan transformasi kerana kita rasa dengan berhijab kita dapat menarik perhatian masyarakat lalu kita akan jadi lebih popular. Tetapi, sebenarnya niat kita untuk berhijab itu hanyalah untuk keuntungan peribadi dari segi pandangan masyarakat dan populariti.

Ada juga yang pilih untuk berhijab kerana melalui peristiwa kecewa dengan kekasih, lalu bila bertudung, konon-konon dia menunjukkan sikap 'baik' lalu mendapat simpati masyarakat. Dalam hal ini, kalau kita hanya berpura-pura baik, Allah tetap tahu. Janganlah kita terus mendusta diri kita dan juga masyarakat yang melihat. Janganlah berhijab untuk meraih simpati, sedangkan hati kita mungkin belum rela lagi. Janganlah jadi bunga plastik, yang nampak segar dan cantik, tetapi hati sangat 'tiruan'. Paling malang, kalau kita merupakan selebriti yang menjadi idola para remaja di luar sana. Di kaca TV, di majalah dan di surat khabar, kita berlakon seperti terlalu baik, tetapi pada realiti kita hanyalah plastik sahaja, yang berpura-pura suka dan gembira hanya di depan kamera!

Bila kita berpakaian seperti seorang Islam yang baik akhlaknya, maka kita wajib melihatkan akhlak yang baik itu dalam semua keadaan. Kalau kita tipu, Tuhan tetap tahu. Wallahuaklam.