Assalam
Allah berfirman di surah 64 At-Tagabun ayat 11 yang membawa maksud, "Tidak ada suatu musibah yang menimpa, kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, niscaya Allah akan beri petunjuk pada hatinya. Allah maha mengetahui segala sesuatu." Maka bertawakallah kita, kerana Allah juga berkata pada setiap kesempitan itu akan ada kelapangannya, in syaa Allah. Semoga kita sama-sama teguhkan iman dan binakan kekuatan untuk berdepan dengan apa jua ujian Allah.
Saya tabik Sultan Kelantan kerana menegur para rakyat untuk menerima musibah sebagai sesuatu yang datang daripada Ilahi, jangan sampai kita manusia memandai-mandai, teringin nak jadi Tuhan pula. Nauzubillah. Kita hormat juga pada semua insan yang bertungkus lumus untuk membantu, jangan pula kita asyik merungut tidak bersyukur. Tak usahlah komplen kalau terpaksa makan nasi dengan sardin, setidak-tidaknya kita dapat makan juga. Subhanallah, semoga kesabaran itu ada pada kita semua.
Dalam pada itu, saya tersenyum membaca sesuatu yang dikirimkan seorang teman. Sekadar tips untuk kehidupan kita. Katanya, kalau mendidik anak-anak, jangan taksubkan dengan idea untuk mencari kekayaan, tetapi ajarlah anak-anak untuk menghargai kebahagiaan. Bila anak-anak besar, mereka akan tahu untuk menilai kebaikan apa-apa sahaja bukan mencari harganya. Katanya juga, orang yang mencintai kita sedalam-dalamnya dan seikhlasnya, akan mencari satu sebab sahaja untuk tidak berpisah dengan kita, malah untuk terus berada di sisi selagi ada umur dan selagi diizin Allah swt, sekalipun mungkin ada seratus sebab lain untuk berputus asa. Masya-Allah. Itulah yang dinamakan kasih dan cinta yang murni. Bukan sesuatu yang 'palsu'.
Malah, kita manusia ini walaupun merupakan manusia, namun tak ramai yang mempunyai sifat kemanusiaan. Huhu... satu kebenaran. Satu lagi yang menarik, katanya, "Kalau nak berjalan pantas, jalanlah sorang-sorang. Tapi kalau nak berjalan jauh, jalanlah berdua atau dalam kumpulan." Hahaha... harap-harap anda faham. Maknanya kita jangan fikir diri kita sahaja kerana bahagia itu tidak ada kalau kita fikirkan diri kita tanpa orang lain!
Benda-benda yang baik untuk kita termasuklah matahari, rehat, bersukan, jaga makan, keyakinan dan punyai teman yang ikhlas berkawan, bukan jenis ambil kesempatan.
Alhamdulillah, satu ilmu buat kita yang selalu terlupa bahawa Allah itu maha besar yang sentiasa memberi kita cahaya kehidupan. Semoga kita belajar untuk bersyukur di atas segala nikmat-Nya, tetapi tidak merungut dan bersangka buruk di atas dugaan dan ujian yang Allah berikan.
Wassalam.
Selagi di izin Allah swt