Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, January 05, 2011

Pernah Tak Terfikir?


Salam

Okeylah pagi ni saja nak bersembang tentang benda yang berkaitan dengan 'material'. Bukannya apa, pada jam 5.30 pagi saya dah ke lapangan terbang kerana hantar cik abang saya pergi ke Trengganu. Semalam ke Jay Bee. Mujurlah rumah tak jauh dari airport. Sebab tu kot kami pindah ke sini. Sangat praktikal.

Masa hantar tu, macam-macam yang saya fikirkan tentang kehidupan hari ini. Semuanya mahal belaka. Tak ada yang murah lagi. Masa saya budak-budak dulu, rasanya taklah teruk sangat. Lagipun saya tinggal di kampung. Biasanya kami makan sayur free. Tanam sendiri dan ada kebun sayur tak jauh dari rumah kami. Ayam pun biasanya makan ayam sendiri. Kalau nak beli, ikan dengan daging. Buah-buah tempatan pun ada di keliling rumah.

Sekarang ni, hidup kita di kelilingi material. Tak ada ongkos semuanya jadi sukar. Termasuklah kasih sayang. Ada duit, orang sayang, tak ada duit, terbang melayang!

Inilah yang saya nak tanya ni, terutama bagi mereka yang masih single. Pernah tak terfikir apa akan jadi kalau anda bertemu dan memilih untuk berkahwin dengan orang yang kurang duitnya? Sanggup tak? Atau anda rasa terbeban kalau bercinta dengan mereka yang koceknya ringan?

Sanggupkah anda menunggu, bertatih-tatih untuk melangkah ke depan? Sabar tak? Cukup tak sayang anda tu hinggakan anda tak kisah kalau dia berduit atau tidak?

Hari ini, rata-rata manusia akan menjadi kawan kita bila mereka rasakan yang kita akan membawa untung kepada mereka. Dah payah nak jumpa kawan sejati, yang sayangkan kita kerana hati budi. Dah tak ada orang nak taat pada ikatan persahabatan semata-mata. Sebaik sahaja dia menganggap yang kita tak berduit, maka 'Bye-bye lah...' yang diucapkannya.

Entahlah... kadang-kadang saya rasa risau teramat sangat kerana hidup kita dikelilingi hal-hal material. Orang menghantar e-mel kepada kita kerana mahukan sesuatu dari kita. Jarang yang hantar kerana sayang kepada kita semata-mata. Adoi...

Tapi, alhamdulillah saya masih mempunyai teman-teman dan pembaca-pembaca yang sayang pada saya... sentiasa hantar e-mel kerana seronok nak bersembang.

Beginilah hidup kita, wang menjadi isu pertama. Tidakkah nanti kita akan berasa letih dan bosan?

Agaknya lebih seronok jadi kaum asli yang tinggal di dalam hutan, yang tak ambil kisah sangat pasal 'wang' ni. Ada okey, tak ada tak apa. Masih ada lagi kasih sayang.