Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, July 10, 2013

Sambung Cerita S.A.


                       Sekadar hiasan

Assalamualaikum.

Selamat berpuasa untuk semua yang berkunjung ke mari. Pagi ini, saya bercadang untuk sambung kisah S.A. yang pernah saya ceritakan di entri tarikh 3 Julai, 2013. Sebelum itu, saya ingin maklumkan bahawa esok pagi, saya akan berada di program 'Assalamualaikum' TV Al Hijrah, jam 8.00 pagi. Kalau anda ada kesempatan, jomlah tonton!

Okey, kisah S.A. yang saya ceritakan tidak berakhir di situ sahaja. Katanya kepada saya, "Masa saya budak-budak, saya teramat rindukan sebuah keluarga yang mampu memberi kasih sayang kepada saya dan adik beradik. Kami terlalu dahagakan kasih daripada seorang ibu dan ayah, tapi kami payah nak rasa semua itu." Mungkin kerana itu, bila sahaja S.A. bertemu dengan F, S.A. jatuh hati dan sangat senang dengan keluarga F yang menyayangi dirinya seadanya. Dalam usia yang muda (ketika masih menuntut di luar negara) S.A. buat keputusan untuk menikah dengan F. Ketika itu, S.A. masih berada di luar negara, begitu juga F (mereka berada di negara yang berbeza) Masing-masing pulang bercuti dan langsung menikah di Malaysia. Selepas itu, masing-masing sambung belajar.

Akhirnya, S.A. pulang ke Malaysia dan mula berkhidmat, begitu juga dengan suaminya F. S.A. merasa kebahagiaan kerana keluarga F sangat menyayanginya terutama ibu mertua dan ibu saudara suaminya. Ibu mertua S.A. mengisi ruang kosong di hatinya dan katanya, "Mak mertua saya layan saya macam puteri. Saya sayang sangat keluarga F."

Saya melihat foto F, memang sangat segak orangnya. Malah, sangat bersesuaian dengan S.A. yang mempunyai lesung pipit di kedua pipinya. Kata S.A., suaminya itu sangat baik hati dan kebetulan, S.A. sangat sibuk dengan tugasnya. Memang saya faham, jawatan S.A memerlukan tumpuan dan masanya. "Saya selalu sibuk... nak buat macam mana, dah memang kerja saya."

S.A. berkahwin dengan F selama lebih empat tahun bila tiba-tiba sahaja dia mendapat panggilan telefon daripada suaminya itu. Katanya, "S.A.... saya tak mampu untuk menyayangi awak lagi kerana sekarang ini hati saya sudah berada dengan A."

A merupakan kawan lama F. Kata S.A. mungkin suatu ketika dahulu, F pernah meminati A, tapi tak menjadi. A sudah pun berkahwin dengan orang lain dan merupakan isteri kedua. Mungkin juga A sedang berdepan dengan masala rumah tangga, dan F dijadikan tempat mengadu. Tahu-tahu, mereka sudah berada di alam percintaan. Kerana itu,  F terpaksa melepaskan S.A. Maka remuklah hati dan perasaa S.A.

"Saya jadi bingung sekejap. Saya tak tahu pun yang kedua-dua mereka sedang ada 'affair'... saya tak sedar. Bila tahu, saya rasa macam nak mati aje..."

Ibu mertua S.A. mengamuk bila tahu yang F mahu mencerai S.A. dan dia tidak mahu menerima A. Namun apakan dayanya. A bercerai dengan suaminya dan baru baru ini berkahwin dengan F. A sudah mempunyai seorang cahaya mata.

"Saya tak ada anak, sebab F kata dia belum bersedia untuk pikul tanggungjawab sebagai ayah. Tahu-tahu dia berkahwin dengan A dan terima anak A dengan baik. Hancur hati saya... sebab saya tinggal seorang diri."

Sudah tiga tahun S.A. berpisah dengan suaminya itu dan kini, dia hidup bersendirian. Kisah S.A., bagaikan episod dalam sebuah drama, tetapi itulah realiti hidupnya.

"Saya tetap bersyukur kerana Tuhan izinkan saya merasa sebuah kebahagiaan walaupun sekadar sementara sahaja. Lagipun... apa yang abadi di dunia ini? Tak ada, kan? Semuanya sementara. Tapi... saya harap suatu hari nanti, hati saya akan terbuka untuk terima orang lain pula."

Saya sangat bersimpati pada wanita muda ini. Banyak ujiannya, namun hatinya tetap cekal.

"Banyak lagi orang lain yang jauh lagi susah daripada saya. Susah-susah saya pun, masih ada kerja yang baik. Ada bumbung, ada makanan yang cukup, ada kenderaan sendiri... alhamdulillah. Jauh lagi baik dari dulu. Cuma kadang-kadang saya berasa sunyi dan kosong."