Sekadar hiasan
Salam semua
Dah pun hari Khamis. Semoga kita masih bersemangat untuk teruskan aktiviti harian dan jangan sesekali berasa kesal kerana berada di dunia ini!
Hari ini, itulah yang ingin saya bualkan, tentang rasa kesal yang mungkin tersemat di sanubari. Tentunya kita tak pernah mahu lakukan sesuatu yang kita tak menyukai. Semua orang nak buat benda baik dan yang terbaik untuk diri masing-masing, tetapi kadang-kadang, kita tak tahu benda baik yang kita lakukan itu mungkin sebenarnya tak baik mana pun. Dan kerana itu, mungkin satu hari nanti kita akan berasa kesal. Ada ketika, rasa kesal itu datang teramat sangat hingga mampu membuat kita berdendam dan sakit hati.
Sekali lagi ingin saya khabarkan bahawa dalam blog saya ini, antara entri yang paling popular yang sangat digemari oleh pembaca saya ialah 'Bosan dengan suami'. Saya pernah bincangkan hal ini berkali-kali dan hari ini saya bangkitkan sekali lagi kerana bagi saya, mungkin perkara ini meninggalkan kesan yang mendalam buat 'banyak' orang perempuan di luar sana. Kebanyakan yang membaca entri itu merupakan mereka yang search, bukan 'followers' saya, itu bermakna, ramai yang sedang berdepan dengan hal ini dan tak tahu untuk lakukan apa.
Ramai yang berkahwin kerana mereka sangkakan itulah yang terbaik untuk mereka. Malangnya, selepas tempoh tertentu, rasa sayang kepada pasangan mula hilang dan perasaan benci muncul pada diri. Mesti bersebab, kan? Takkanlah tiba-tiba sahaja nak benci pada pasangan. Mestilah tak normal kalau tak bersebab, kecuali kalau 'anda' terasuk. Memang saya pernah dengar kisah 'isteri' yang tiba-tiba sahaja tak suka pada suaminya, tetapi tak mempunyai sebabnya. Dia merasakan bahawa dirinya terasuk. Tapi, yang ini bukan selalu.
Biasanya, bila isteri membenci suami ialah kerana kelakuan suami itu sendiri. Bila suami tidak tahu berperanan sebagai suami, bila suami tak bertanggungjawab, bila suami mengamalkan perbuatan-perbuatan yang mengabaikan isteri dan macam-macam lagi, isteri-isteri akan berasa bosan dan sakit hati. Tentunya perasaan kesal akan datang. Perkara perkahwinan ini bukannya mudah untuk diselesaikan kerana ia mungkin melibatkan anak-anak kalau ada. Yang pasti, bagi suami-suami yang tak bertanggungjawab, tentunya mereka tak peduli. Bila terpaksa bercerai, mereka akan tinggalkan isteri terkapai-kapai, tak peduli pun sama ada isteri mampu atau tidak untuk menanggung anak-anak. Sedangkan semasa kahwin pun suami yang begini tak bertanggungjawab, apatah lagi bila dah bercerai!
Apa sekalipun yang terjadi, bagi isteri-isteri yang dah bosan dengan suami yang jenis 'tak boleh pakai' ni, memang elok benar untuk kelaur dari perangkap yang mungkin akan terus-terusan begitu hingga akhir hayat. Kalau isteri berasa takut, maka isteri itu akan merana seumur hidup. Kalau berani, mungkin pula dia akan mengambil risiko untuk membesarkan anak-anak seorang diri. Berdoalah dan mintalah petunjuk daripada Allah SWT. Kalau anda rasakan itulah yang terbaik buat anda, 'just walk out!'. Anda akan berasa lega. Jangan dikesali apa jua pengalaman yang anda sudah lalui itu. Ambillah itu sebagai satu pengajaran buat anda. Jangan takut untuk hidup tanpa pasangan kerana jodoh kita juga ditentukan Allah SWT. Yang pasti, banyak lelaki lain di dunia ini yang mempunyai sifat-sifat mulia yang mampu menjadi suami yang baik buat isteri-isteri yang baik, insya-Allah.
Okey saja untuk berasa kesal, tetapi jangan biarkan perasaan itu menghantui hidup kita. Belajarlah untuk bersabar dan bersyukur di atas segala yang baik yang Allah SWT kurniakan buat kita semua.
Wassalam.