Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, November 29, 2012

Drama Rumah Sebelah

Salam,

Beginilah hidup kita, kan? Kadang-kadang sunyi sepi macam tak ada apa-apa, tetapi bila kita tak menjangkakannya, sesuatu pula yang terjadi. Sebenarnya hidup kita ini penuh dengan drama, kalau tak hari-hari pun, sekali-sekala mesti terjadi.

Semalam, saya keluar rumah bersama jiran yang juga merupakan seorang kawan. Nama dia Mook (dia ni chinese) dan mula-mula Mook kata, "Eh baik kita keluar awal sikit sebab petang selalu hujan," tapi saya pula masa pagi tu sibuk di laman rumah jadi malas nak keluar awal sangat. Saya kata, "Kita keluar pukul 2 lah, lepas solat zohor. Senang sikit. Masa tu pun tak adalah hujan biasanya."

Pukul dua, saya pun bersiap-siap dan keluar rumah. Kami menghala ke Alamanda, Putrajaya. Di sana, kami berjumpa dengan seorang lagi kawan (juga jiran) yang bernama Sury (yang ni Melayu). Kami lakukan urusan kami sekejap, lepas tu Mook ajak makan sebab dia kata dia belum makan tengah hari. Kami pun pergi ke Food Court sebab Mook kata nak makan nasi. Kami duduk bertiga dan makan dan minum. Elok habis saja makan, kami pun nak bangunlah. Tiba-tiba Sury dapat phone call. Ada jiran (nama dia Puteri - seorang guru sekolah) telefon Sury. Kata dia di kawasan rumah kami sedang hujan lebat dan ada rumah yang kena sambar petir dan sedang terbakar bumbungnya. Kata cik gu tu, "Saya tak tahu rumah yang mana satu, tapi nampak macam dekat rumah Dayang." Kami pun bergegas bangun. Sebelum itu, ADT (alarm rumah) ada call Mook, beritahu yang rumahnya berbunyi alarm, tapi kami tak kisah sebab tahu mungkin petirlah tu.

Sury cuba call Dayang (kebetulan Dayang pun ada di Alamanda bersama anak-anaknya). Tapi payah nak dapat, jadi Sury kata, "Tak apalah, I pergi cari Dayang." Saya dan Mook sudah bangun dan Mook pula called kawan kami Alia yang berada di rumah, "Alia, tolong tengok rumah siapa yang terbakar kat kawasan kita tu."

Saya pula called rumah saya. Rumah Dayang di belakang rumah saya. Saya bercakap dengan ibu saya sebab adik saya tak boleh bercakap (dia pekak) dan saya suruh mak saya tengok di luar. Tapi mak saya kata hujan lebat sangat, tak nampak apa-apa. Sekejap lagi, kami dapat call lagi. kali ini dari Alia, dia kata yang dia sudah berada di depan rumah saya kerana rumah yang terbakar itu adalah rumah sebelah rumah saya (rumah kawan saya yang kini berada di Mexico). Saya pun kelam-kabutlah. Kebetulan, saya letak kereta anak saya kat rumah kawan saya tu. Saya juga merupakan orang yang bertanggungjawab untuk jaga rumah kawan saya. Saya dan Mook kelam-kabut, terus pergi ke parking untuk balik. Di Putrajaya pun dah mula hujan. Saya bersyukur yang saya tak adalah panik sangat. Cuma bimbang bila Alia beritahu kami yang ibu saya lembut lutut bila dengar yang rumah kawan saya disambar petir dan sedang terbakar bumbungnya. Saya risaukan ibu saya. Kebetulan menantu saya sedang berada di rumah ibunya (juga jiran saya dan baru balik dari kerjakan ibadah haji), jadi saya minta menantu saya pergi ke rumah saya. Cik gu Puteri sudah pun panggil bomba dan walaupun hujan lebat, jiran-jiran sudah pun ke rumah kawan saya itu.

Dalam perjalanan, saya membaca semua ayat-ayat yang saya hafal, tentunya lebih pada ayat Kursi. Bila saya baca sahaja Bismillah, Mook pun baca sama. Agaknya Mook panik sangat. Saya tak kata apa pun, hanya tersenyum dalam hati. Bila tiba di rumah, saya legalah jugak, walaupun terbakar, tidaklah melarat. Masa tu abang-abang bomba dah ada dan sudah matikan api. Cuma rumah tu jadi kotor dan ada lampu yang pecah, dindingnya kotor giler dan basah di bahagian atas. Elektrik pun tak ada. Pagar rumah kawan saya tak boleh buka sebab tak ada elektrik, mujur ada pintu pagar kecil di tepi yang boleh buka secara manual. Apa pun, saya belanja abang2 bomba untuk makan dan minum. Kesian tengok dia orang. Polis pun ada sama, mengambil laporan dari menantu saya.

Alhamdulillah, saya lega kerana mempunyai ramai jiran-jiran yang peka dan ambil berat. Apa pun, kami telah melalui saat-saat mencabar jiwa, bagaikan satu episod drama. Syukur ibu saya okay. Cucu saya pun okay (Firas), dia takut tengok polis masuk rumah kami (Polis ada machine gun lagi). Saya dah pun beritahu pada kawan saya yang berada di Mexico. "Don't worry your house is in a mess, but okay!"

Wassalam.