Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, July 23, 2012

Mencari Tempat Indah Untuk Novel

          Masa saya ke Terengganu - cantik, kan?

Salam semua

Pagi ini macam tak ada mood nak berceloteh. Begitulah kita, kan? Ada kala mood naik tinggi menggunung, ada ketika pula, mood jatuh merudum. Mood saya tak adalah jatuh merudum, cuma keletihan sikit. Walaupun awal pagi, mood saya belum datang lagi. Tapi tak apalah... mungkin pagi ini saya lagi seronok nak berkongsi tentang tempat yang saya pernah pergi dan tulis dalam novel saya. Saya bangkitkan hal ini sebab saya dapat e-mel seorang pembaca yang beritahu saya bahawa dia suka novel saya sebab saya banyak membawa dia berjalan-jalan. Bukan hanya di luar negara tetapi di dalam negara juga. Ada tu memang tempat-tempat yang dia pernah tahu, tapi bila saya sentuh dalam novel, mungkin saya berjaya untuk menghiburkan hatinya. Insya-Allah.

Saya ni orang Perak, kan? Jadi banyaklah tempat di Perak yang saya jadikan latar belakang. Bukan apa, kadang-kadang mudah begitu, sebab saya lagi senang bercerita tentang orang-orang yang berasal dari negeri saya. Walaupun saya dah lama tinggal di tempat lain (Selangor, England dan juga Negeri Sembilan), saya tetap mempunyai banyak kenangan di Perak. Ada juga kenangan di Johor, sebab masa saya kecil saya pernah tinggal di Batu Pahat, Johor. Kiranya kawasan Kluang, Batu Pahat dan juga Muar, sangat familiar lah. Bila kahwin pula dengan orang Johor Bahru, adalah juga rasa-rasa Johor tu dalam diri saya. Namun begitu, ada banyak tempat lain di Malaysia ni yang saya sangat suka. Misalnya saya suka Kuala Perlis dan Kuala Kedah di Utara. Saya juga suka kawasan tepi pantai sepanjang Pantai Timur, dari Kelantan ke Pahang. Saya sangat menggemari kawasan pedalaman, terutama yang ada perkampungan orang asli.

Sebenarnya saya sangat suka untuk berkongsi rasa tentang tempat-tempat yang saya minat dengan mereka yang membaca novel saya. Mungkin inilah satu cara saya untuk memberi pengetahuan tentang tempat-tempat itu kepada pembaca terutama mereka yang masih muda. Masa saya remaja dulu, itulah yang membaut saya teruja bila membaca, kerana saya akan berkenalan dengan tempat-tempat baru. Bayangkanlah, dula saya baca tentang Scotland dan bila akhirnya saya sampai di sana, saya teringatlah pada buku-buku yang saya baca dulu. Gambarannya sangat sama dengan apa yang saya lihat dan rasa.

Insya-Allah, itulah yang cuba saya lakukan, berkongsi pelbagai perkara dengan pembaca yang suka membaca novel dan buku-buku saya. Anda semualah penghibur hati saya. Bila saya menulis saya selalu teringat pada pembaca saya. Alhamdulillah, semoga kita diberkati Allah swt di bulan Ramadhan ini.

Wassalam.