Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, April 14, 2014

Perempuan Jaga Hati Perempuan

Assalam

Sangat normal buat orang perempuan menjaga hati perempuan lain. Ini adalah kerana, sebagai perempuan, kita faham apa yang ada di hati perempuan lain. Biasanya juga, lelaki tidak faham yang itu. Oleh kerana itu juga, kalau kita merupakan seorang ibu, kita akan menjaga hati menantu perempuan kita. Begitu juga bila kita menjadi seorang isteri, kita cuba jaga hati ibu mertua kita. Walaupun mungkin kita tidak setua atau semuda dia, kita tetap tahu apa yang ada di hatinya.

Itu kalau kita berbincang tentang sifat wanita normal, yang tahu dan prihatin tentang hati wanita lain. Perempuan dijadikan Allah SWT sebagai ibu yang mempunyai kekuatan untuk melahirkan. Kekuatan itu tidak diberi kepada lelaki. Masya-Allah. Sebab itulah perempuan biasanya jauh lagi kuat daripada lelaki walaupun pada lahirnya dia kelihatan lemah. Namun dalam banyak hal, lebih banyak lelaki yang lagi lemah daripada perempuan.

Kalau kita jadi seorang ibu mertua kepada menantu perempuan, jauh lagi hebat sekiranya kita mampu untuk menjaga hati menantu kita. Bukan susah pun, sekadar memahami keperluannya. Tak perlulah kita berdengki atau cemburu padanya kerana telah mengahwini anak lelaki kita. Lebih baik kita jadi teman kepadanya. Biar kita berkongsi cerita dan rasa. Biar juga kita buat baik padanya. Kalau kita yang mulakan begitu, pasti menantu perempuan kita juga akan menjaga hati kita, insyaa-Allah.

Sebagai menantu perempuan, kita juga wajib menjaga hati ibu mertua kerana dia adalah ibu kepada suami kita. Kalau kita berkasar dengannya, beban dosa akan jatuh pada suami kita juga. Nauzubillah.

Sebenarnya, sebagai seorang perempuan, biarlah kita menjaga hati perempuan lain, bukan jadi seorang perempuan yang tidak bertimbang rasa pada jiwa dan hati perempuan lain. Kalau kita tidak kisahkan untuk menjaga hati perempuan lain sedangkan kita merupakan seorang perempuan, bermakna kita tidak sensitif dan pastinya suatu hari nanti, kita akan terkena balik. Kalau kita buat orang, semestinya kita akan merasa apa yang orang lain rasa. Subhanallah.

Oleh kerana itu, adalah lebih baik kita menjaga hati-hati perempuan lain agar kita tidak akan dikecewakan. Masyaa-Allah.

Wassalam.




                                                  sekadar hiasan