

Saya bersetuju kalau ada teman yang mengatakan bahawa skrin komputer merupakan teman baik kebanyakan orang hari ini. Apatah lagi untuk orang-orang seperti saya yang menghabiskan masa di depan komputer. Memang mudah untuk luahkan perasaan di alam maya, di laman-laman web yang popular seperti friendster,Twitter atau Facebook.
Hendak cari kenalan juga di situ. Melalui pelbagai laman web anda mampu untuk mencari teman, terutama bagi mereka yang tak berpasangan lagi. Saya rasa, okeylah kalau laman-laman seperti ini digunakan oleh remaja dan orang-orang muda untuk mencari calon yang sesuai untuk mereka. Sekalipun tidak mudah, namun ia merupakan salah satu saluran yang boleh digunakan. Bagi orang-orang yang berumur matang, okeylah kalau kita gunakan saluran ini untuk menjejak kawan-kawan sekolah, dan teman-teman yang lain yang sudah lama terpisah dengan kita.
Dalam begitu, kita harus berwaspada kerana ramai yang berada di dunia alam maya semata-mata untuk 'abuse' apa-apa yang mampu dilakukan. Ada orang berusia matang dan sudah beranak-pinak berada di situ untuk 'mengurat' anak-anak dara dan juga janda-janda muda, sekadar untuk seronok-seronok sahaja.
Begitu juga dengan remaja-remaja yang 'kurang matang', mereka suka menayang diri untuk dapatkan populariti. Ada yang suka menunjuk-nunjuk, konon-konon mereka adalah 'hot chicks'. Perbuatan ini sebenarnya menjatuhkan maruahnya dan sama macam lelong diri. Ada juga yang letak 'pose-pose' seksi bersama teman lelaki, konon-konon dia sahaja yang ada kekasih hati. Tup-tup dah 'putus' dan semua orang mula mengata-ngata! aduhai...
Ingat tak kisah dalam Kau Laksana Bulan, novel saya yang kelima? Ada saya ceritakan hal ini dan saya lakukan itu untuk mengingatkan anak-anak muda dan juga ibu bapa, jangan biarkan perkara ini menjadi amalan kita.
Ada juga (terutama lelaki) mereka yang suka gunakan perkataan kesat dalam laman-laman web ini. Bermaki-hamun, konon-konon nak tunjuk lagak macho. Tak kisahlah siapa yang dimaki itu, tetapi perbuatan itu melambangkan keperibadiannya yang biadab! siapalah yang nak cari 'pakwe' kurang ajar macam tu, siap mencarut-carut dalam laman web yang boleh dilihat orang ramai. Kononnya nak kenakan orang, pada hal diri sendiri terkena, tetapi tak tahu.
Wal hasil, sebagai pengguna laman web (tak kiralah di mana pun), jadilah orang yang bijak dan gunalah kemudahan alam maya untuk mencari ketenteraman dan kebaikan dan bukannya mencari kejahatan dan menambahkan musuh.
Apa pun, apa yang tersirat di hati itulah yang penting, kerana apa yang tersirat itu Tuhan tahu. Tersurat ramai yang tengok, namun untuk jangka masa yang panjang, eloklah kita menjaga imej kita daripada menjaja sana sini perbuatan kita yang tak elok.
Sekali lagi saya ingatkan anda dan juga diri sendiri agar jangan mengaibkan diri kita di mana-mana. Carilah rahmat Tuhan agar kita dipeliharai-Nya sentiasa.