Assalam
Semoga hidup kita diberkati Allah swt dan akhirat kita dirahmati-Nya. Aamiin.
Kecoh tentang Muslim Rohingya yang dihambaabdikan oleh 'crooks' di Sempadan Thailand dan Malaysia. Terlalu banyak yang dibunuh secara kejam. Kecoh juga tentang kumpulan Rohingya ini yang terapung di atas kapal di lautan luas tanpa tahu mahu ke mana. Walhasil, beginilah jadinya kalau kita dibenci orang. Walaupun ada tempat yang dilahirkan, namun kerana mereka etnik yang berbeza, apatah lagi agama yang tak serupa, maka mereka dizalimi dan menjadi mangsa. Namun, terlalu banyak juga manusia di dunia ini yang melabelkan orang-orang Rohingya ini sebagai satu etnik yang konon-kononnya 'jahat'. Astaghfirullah. Pernah saya bicarakan hal ini di dalam blog ini beberapa tahun yang lalu.
Malah, ada individu-individu di Malaysia yang konon-kononnya 'religious', tetapi mereka berburuksangka pada etnik Rohingya ini. Kata mereka, "Buat apa nak tolong bangsa ni? Mereka ini keturunan jahat." Nauzubillah.
Saya memang berasa sangat pelik kerana memang tahu ramai yang mempunyai sangkaan begitu, seolah-olah kita bangsa Melayu yang beragama Islam ini merupakan Muslim dan Muslimah terbaik di dunia. Kita terlupa bahawa kita juga hamba Allah, serupa dengan mereka juga. Tak kiralah apa kulit dan apa bangsanya. Cuba bayangkan kalau kita juga seperti mereka, dihalau dan dibenci oleh orang-orang di negara mereka? Ke mana harus kita pergi? Bukankah kita juga mungkin akan lari?
Di Malaysia ini tak ada ke orang Melayu yang merogol, mencuri, melakukan maksiat, tak tahu solat dan macam-macam lagi? Malah, memang terlalu ramai yang malas, yang tahu nak minta duit 'free', tak mahu buat apa-apa pun, yang makan dadah, yang merempit dan buang masa, sumbang mahram yang berleluasa... mungkin lagi teruk kot. Tapi kita okey sebab belum ada yang mahu mengusir kita keluar dari negara ini!!!
Kadang-kadang saya memang hairan dengan sebahagian daripada orang kita yang sentiasa berasa terlalu bagus. Tak habis-habis bangga kerana kita merupakan ahli 'sunni' yang seolah-olah merupakan golongan terhebat, hinggakan kita pandang hina dan serong pada orang lain, termasuk golongan Muslim yang lain yang mengaku bahawa Tuhan mereka ialah yang Maha Satu, Allah swt dan Muhammad saw itu adalah Rasul Allah. Tapi bagi kita yang singkat fikiran, kita akan menolak semua Muslim yang lain yang tak sama fikiran dengan kita, atau tak semazhab! Nauzubillah.
Kita tak ambil berat pun yang orang Melayu hari ini terlalu hanyut dengan hiburan, terlalu alpa dan tak ambil kisah, tak peduli pun bangsa dan agama menuju ke jalan lingkup! Malah, para pendakwah dan mereka yang tahu agama juga terlalu lalai dengan 'duniawi' hinggakan mahu dakwah pun mesti dikira 'fulus' yang masuk dulu. Kalau dulu orang makan angin tak ada pula diselitkan dengan aktiviti dakwah, tetapi hari ini, pendakwah mengajak kita 'bercruise' hingga ke Phuket dan ke tempat lain, konon-konon sambil berjalan-jalan belajar juga tentang agama. Adoii... bukankah yang makan angin begitu merupakan orang yang berduit? Jadi yang tak ada duit tak payahlah didakwahkan ke? Atau ini merupakan trend pendakwah hari ini? Semua pun mesti diselitkan dengan hiburan. Kalau tak makan angin, mungkin boleh juga melawak bodoh dan gelak hingga terbahak-bahak!
Beginilah kita hari ini... betapa sedihnya kalau kita semakin hanyut dan semakin terlupa. Negara kita akan dibungkus, walaupun yang ada di atas, termasuk mereka yang mengurus hal ehwal negara merupakan orang Melayu beragama Islam, tetapi kita tak ambil berat pun untuk 'protect' agama dan bangsa. Kita biarkan dan terus lalai....
Semoga kita sama-sama berusaha untuk tidak cepat melatah dan menuduh orang lain sebagai 'bukan religious' dan diri kita pula jangan dibiarkan hingga tidak lagi berjalan di jalan yang lurus. Jangan biarkan kita ralit dengan hiburan hinggakan kita tersesat, takut sekiranya nanti kita juga tak tahu mana nak pergi. Allahuakbar!
Wassalam
Kalau tak betul gaya, mungkin kita juga akan diusir seperti mereka ini.