Pesta Buku datang dan pergi lagi. Seperti biasa, saya cuba hadir di tempat istimewa itu untuk bertemu dan berjumpa dengan pembaca-pembaca budiman yang datang dari merata-rata tempat di tanah air ini, termasuk dari Singapura, Brunei dan juga Indonesia. Alhamdulillah, setiap tahun, pada musim pesta buku antarabangsa ini, hati saya terhibur kerana mereka yang sudi dan bersusah payah datang untuk bertemu dengan saya, seringkali membuatkan hati saya terharu.
Terima kasih yang tak terhingga saya hulurkan kepada semua, tak kira dekat atau jauh. Bagi saya, anda pembaca saya merupakan orang-orang yang membahagiakan hati saya. Siapalah saya tanpa anda semua!
Tentunya ada peristiwa-peristiwa yang membuat saya terharu dan tersentuh. Saya terharu bila ramai pembaca saya, ada yang pernah saya bertemu sebelum ini, ada yang buat pertama kali, dan mereka ini datang untuk bertemu saya, ada yang membawa cendera hati lagi. Ya Tuhan... saya sungguh-sungguh terharu. Bertambah terharu, bila ada yang datang dan bertemu saya buat pertama kali, bagaikan saudara yang terpisah dua puluh tahun yang lalu, memeluk, mendakap dan mencium saya, membuatkan saya menitis air mata. Betapa terharunya saya. Saya juga sedih bila ada dua pembaca yang menceritakan tentang kehilangan orang-orang yang mereka kasihi. Saya tumpang kesedihan itu.
Namun Saya bersyukur, kerana buat pertama kalinya, terlalu ramai pembaca-pembaca saya yang datang kepada saya sambil memberitahu bahawa bagi mereka, saya menjadi rapat kepada mereka kerana buku-buku saya yang membuatkan begitu. Alhamdulillah.
Saya juga terharu bila ada guru-guru sekolah, guru-guru besar dan pengetua-pengetua sekolah, yang mahu saya datang ke sekolah-sekolah mereka untuk memberi ceramah kepada pelajar-pelajar. Bukan dalam bidang penulisan, tetapi dalam bidang motivasi! Saya terharu! InsyaAllah, akan saya tunaikan permintaan mereka sebagai sebahagian daripada kerja-kerja amal saya.
Selain daripada pembaca, ramai juga penerbit-penerbit lain yang saya temui, dan mereka semua sudah tahu akan diri ini. Begitu juga pembekal dan pengedar buku. Mereka datang untuk berkenal-kenalan dengan saya. Syukur alhamdulillah kerana Tuhan mengizinkan saya dan anak-anak untuk berada dalam persada bisnes buku ini dan membenarkan kami untuk belajar dan mengembangkan bisnes yang kami ceburi ini. Walaupun sebagai penerbit kecil, kami sudah mula dikenali masyarakat dunia buku di tanah air. Alhamdulillah.
Namun... dalam keseronokan yang saya rasai selama berada di pesta buku kali ini, ada juga peristiwa-peristiwa yang membuat hati kecil saya ini terguris dan tersentuh. Mungkin sebagai hamba Allah, manusia kerdil seperti saya yang terlalu jauh dari kesempurnaan, tidak dapat menepis perasaan terguris yang terhinggap di sanubari. Saya terasa dan tersentuh, bila terdengar akan kata-kata yang menyentuh hati, bahawa buku-buku penulisan saya... tidak baik dibaca oleh remaja kerana buku-buku saya itu tidak 'Islami'. Tentu sekali saya tertanya-tanya, apa yang saya lakukan hinggakan ada 'kata-kata' yang tersebar, seolah-olah mahu memberitahu masyarakat pembaca bahawa produk penulisan Aina Emir itu adalah hasil tulisan yang tidak baik. Apakah dosa saya hinggakan saya telah dihukum oleh manusia, seolah-olah mereka sudah tahu bahawa orang seperti saya ini tidak mampu untuk membawa kebaikan kepada para pembaca. Ya Tuhan... ampunkanlah aku sekiranya itu benar.
Apa yang saya mampu lakukan ketika ini hanya berdoa, agar Tuhan tabahkan hati saya, kekalkan keimanan saya dan berilah kekuatan kepada diri ini, agar tidak terbabas dari landasan hidup. Saya tidak akan menghukum sesiapa jua, kerana dalam dunia fana ini, saya dijadikan sekadar manusia biasa yang tidak ada kelebihan dari manusia lain, jauh sekali dari kesempurnaan untuk menghukum orang lain. Apa jua yang saya lakukan, Tuhan tetap tahu dan insyaAllah, akan sentiasa diberi petunjuk kepada saya agar tidak lari dari landasan yang ditetapkan.
Bagi saya, selain daripada mengingatkan pembaca kepada kebesaran Allah SWT, saya juga perlu menjaga hati pembaca yang bukan beragama Islam, juga pembaca-pembaca yang mahu berjinak-jinak untuk mendekatkan diri kepada agama. Saya bukan berlatar belakangkan pengajian agama, namun saya sentiasa meminta nasihat guru-gura agama yang saya kenali, agar apa yang saya tulis tidak menyesatkan sesiapa jua, insyaAllah. Biar Tuhan sahaja yang menghukum saya sekiranya ada perbuatan saya yang tidak diredhai. Sebagai manusia lemah, saya yakin Allah SWT sentiasa mendengar dan mengasihi saya setiap kali saya berdoa dan meminta keampunannya.
Dalam keadaan hati yang terguris itu, saya telah didekati seorang pembaca yang berpurdah. Anak gadis yang sedang belajar di pondok itu, memberitahu saya bahawa dia sudahpun menghafal Al Qura'an dan kini sedang menghafal hadis pula, juga merupakan pembaca setia saya. Saya sungguh terharu bila dia mencium tangan saya dan memeluk saya. Sekali lagi saya menitiskan air mata. Bagi saya, hatinya begitu bersih seindah sepasang matanya yang bercahaya. Dia tidak menghukum saya, kerana seperti saya juga, dia adalah manusia biasa. Itulah lambang Islam, sebuah agama yang suci yang sentiasa membawa contoh yang baik.
Baik atau tidak baik, bukan untuk kita menjaja atau memuji-muji. Biarlah yang membacanya yang membuat penilaiannya. Sebagai penulis, saya tidak pernah meletakkan penulisan saya sebagai sesuatu yang lebih baik atau tertinggi bila dibandingkan dengan orang lain. Itu bukan hak saya!
Apa yang saya katakan dalam blog ini, adalah luahan hati seorang perempuan yang sudah berusia, yang jua lemah dan adakala mudah terasa. Saya cuba berbudi dengan mengharapkan budi saya, sekalipun tidak dibalas, tidak pula ditindas. Namun bagi saya apa sekalipun yang saya lakukan adalah dengan kerelaan hati. Segala yang baik itu datangnya dari Tuhan, segala kelemahan dan kekurangan adalah dari diri saya ini.
Ya Tuhanku... ampunkanlah dosa hambaMu ini.