Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, July 28, 2009

Indah Membaca



Ini adalah nasihat ikhlas daripada saya. Sebagai penulis dan juga pembaca, eloklah kalau kita baca pelbagai genre buku, bukan hanya 'novel cinta' sahaja. Saya tahu ramai pembaca novel cinta dan juga penulis novel cinta, mereka hanya akan membeli novel cinta sahaja untuk dibaca. Kata mereka,"Tak boleh nak baca benda lain... tak sedap".

Sebenarnya, ia terpulang pada diri kita sendiri. Kalau kita mengajak dan mengajar diri untuk mencuba yang lain, perlahan-lahan diri kita akan menerimanya. Memang tak salah membaca novel cinta, kerana banyak juga novel seperti itu yang memberi kita inspirasi dan motivasi selain daripada pengajaran. Selebihnya, novel cinta merupakan satu cara bagi pembaca untuk berada di dalam dunia 'escapism'.

Namun begitu, hati kita, jiwa kita dan juga pemikiran kita memerlukan lebih daripada itu. Kita perlukan sesuatu yang boleh mematangkan fikiran kita, mengajar kita untuk menambah ilmu, terutama sekali tentang ilmu keagamaan. Kadang-kadang, ada juga novel cinta yang begitu, tetapi biasanya novel cinta yang berbentuk begitu mungkin telah digarapkan terlalu 'perfect', payah untuk diterima akal... tidak 'real'. Mungkin juga kita akan terlebih berangan-angan.

Kita perlukan pelbagai pengetahuan, mungkin tentang ilmu perniagaan, tentang sejarah, tentang semangat... dan macam-macam lagi. Kerana itu juga, ada eloknya kalau kita sama-sama berusaha untuk membaca pelbagai jenis buku untuk menimba ilmu. Jangan kita menjadi orang yang mengongkong diri dengan novel cinta hinggakan kita tak mahu berubah dan tak mahu membaca apa-apa yang lain.

Hidup ini indah dan kerana itu juga kita perlu mengekalkan keindahannya dengan mengumpul segala ilmu yang mampu kita kumpulkan. Kita perlu belajar, tak kira berapa usia kita. Selagi ada umur, selagi itulah kita perlu belajar dan menimba ilmu. Ilmu itu luas dan janganlah kita sempitkannya.

Kata pujangga, "Jadilah diri anda lebih cantik dan lebih indah daripada kebun yang berbunga berkat akhlak dan pekerti anda."

Wallahua'lam.