Assalam
Sempat juga update blog hari ini walaupun saya berasa penat juga kerana semalam berjalan-jalan satu hari dan pulang agak lewat malam. Apa-apa pun alhamdulillah, saya sentiasa bersyukur di atas segala apa yang Allah swt berikan setiap masa dan detik yang ada. Allahuakbar.
Jalan raya sentiasa sibuk, maklumlah cuti sekolah. Hari Jumaat pun sibuk, apatah lagi hari Sabtu.
Setiap hari dan masa, kita sebagai manusia sentiasa mencari. Ada yang cari kekayaan, ada yang cari calon suami atau isteri, ada yang cari jalan untuk dapatkan anak, ada yang cari 'Tuhan', ada yang cari bahagia dan ada yang cari ketenangan. Sebaik-baiknya kita tanya pada diri apa yang kita mahukan. Pasti ada yang jawab mahu semuanya. Tapi... mahukah Allah berikan semuanya buat kita? Cukup baikkah kita ni? Cukup berdoakah kita ni? Cukup amalankah kita ni?
Mungkin kita banyak buat amalan termasuk beramal jariah, tapi cukup baikkah hati kita? Hanya Allah yang Maha Tahu semua itu dan tak semestinya Allah berikan semua kepada kita sekalipun kita lengkap dalam hal beramalan. Itu adalah hak Allah sebenarnya.
Pun begitu, rata-rata manusia lebih gemar mencari jalan pintas untuk dapatkan apa yang mereka idamkan. Mahu sihat, mau kaya, mahu hidup senang, mahu rumah besar, mahu kondo mewah, mahu pakaian berjenama, mahu kereta mewah, mahu macam-macam yang mungkin pada hakikatnya tidak mampu. Namun kerana hati dan perasaan yang besar, maka mereka berusaha untuk cari jalan pintas. Mudah begitu. Bagi lelaki yang makan gaji, mereka akan cuba dapatkan pendapatan lebih dan tinggi melambung dengan cara makan rasuah.
Mungkin mereka fikir okey saja buat begitu... apa salahnya? Hadiah lah tu. Atau mungkin ada yang ambil kesempatan dengan harta syarikat atau harta kerajaan dengan cara 'salah-guna' apa sahaja yang mampu capai. Ada yang memutar-belitkan urusan untuk kepentingan diri mereka asalkan dapat hasil yang lumayan tanpa rasa bersalah atau berdosa hinggakan ada yang sanggup guna wang 'curi' ini untuk menunaikan ibadah haji atau umrah! Bukan hanya lelaki sahaja yang pastas mengambil jalan pintas dengan cara ini, ramai juga puak wanita yang tak segan-silu mengambil jalan yang sama juga. Semuanya kerana dunia!
Namun rata-rata kaum perempuan lebih selesa mencari jalan pintas cara lain pula. Walaupun ada juga puak lelaki yang juga mencari kesempatan di jalan ini. Iaitu mencari pasangan yang sedia berduit! Tak kisah sekalipun lelaki atau wanita calon pasangan itu dah berumur atau dah berkahwin atau tidak, janji mereka mempunyai 'deep pockets' kata mat sallih, bermakna mereka mempunyai wang-ringgit yang banyak untuk 'dibelasah'!
Biasanya juga orang-orang jenis ini mempunyai kulit muka yang sangat tebal tetapi maruah yang sangat rendah, kerana itulah mereka tak segan dan tak peduli, konon-konon sedang berusaha untuk mencari keredhaan Tuhan, konon-konon inilah jalan yang lurus untuk mereka, sekalipun mungkin perbuatan mereka itu akan memusnahkan hidup orang lain! Nauzubillah min zalik.
Janganlah kita ambil ringan, kerana setiap perbuatan dan tindakan yang salah itu pasti akan memakan diri kita jua. Kalau tidak serta-merta, tentu akan datang jua balasannya buat diri kita. Di dunia dan akhirat.
Sebaik-baiknya, kita buat perkara yang baik-baik, tidak hanya pentingkan diri kita sahaja, kita usahakan dengan sebaik mungkin untuk mendapatkan kebahagiaan, kita berdoa banyak-banyak dan jauhkan diri dari sebarang kejahatan. Kita elakkan diri daripada melakukan apa-apa yang Allah swt tak suka, pasti kita akan bertemu dengan rahmat dan barakah-Nya. Aamin.
Renung-renungkanlah... elak daripada rasa sombong pada diri, elak daripada segala kejahatan. Insyaa-Allah kita akan bertemu dengan ketenangan. Wallahuaklam.
Wassalam
Boleh cari ketenangan di padang pasir
