

Semalam, saya telah menemuduga watak hero untuk manuskrip novel baru saya. Oh ya, memang bukan mudah. Watak hero saya kali ini memegang jawatan yang sangat unik, mungkin boleh saya katakan 'real hero' punya job! Beliau sedang berada jauh di tempat lain. Kerana itulah saya terpaksa menghubunginya untuk dapatkan info yang tepat. Kalau tersilap, payahlah. Lagipun... memang saya tak pakar sangat tentang kerjayanya itu, walaupun sejak dulu lagi saya memang suka sangat dengan apa yang dilakukan itu.
Wah, misteri, kan? Kalau saya cakap sekarang, tak best lah! potong steam.
Apa pun, ini yang saya nak katakan kalau nak menulis. Kumpulkan fakta, jangan main tembak-tembak aje. Sekalipun nak buat cerita bertema cinta, janganlah buat cerita cinta ala-ala syok sendiri. Mesej mesti ada, jalan cerita mesti buat orang tertanya-tanya. Watak-watak yang dipilih mestilah interesting, bukan biasa-biasa. Kalau boleh, cari tempat latar yang lain juga, agar pembaca terhibur dengan sesuatu yang baru. Pastikan ada terselit unsur humor, tapi janganlah buat lawak bodoh. Warna-warnikan penulisan anda!
Jangan menyinggung pembaca dengan menunjuk ajar mereka... seolah-olah penulis bagus sangat. Jangan menyinggung pembaca dengan menggambarkan cara orang berpakaian dengan watak mereka yang jahat atau baik. Perkara-perkara ini memang penting kerana kalau kita menyinggung pembaca, mereka akan membenci buku kita. Kalau terjadi begitu, kita tak dapat pun nak menyampaikan mesej apa-apa kepada mereka.
Ini lagi satu komen saya. Ramai yang menulis tetapi tak mahu menyemak hasil kerja mereka. Tulis sekali, dah cukup. Lepas tu terus hantar pada penerbit. Kalau kita buat macam tu, itulah yang nak kena reject tu. Lebih elok kalau dah habis tulis, kita semak berkali-kali sekalipun kita rasa tulisan kita tu dah bagus sangat. Lepas tu, suruh member yang kaki membaca, tolong bacakan manuskrip kita tu. Dengar komen ikhlas dia. Kalau dia kata manuskrip kita tu biasa-biasa aje, maknanya tu tak baguslah tu. Kalau dia kata best giler, barulah kita boleh yakin yang manuskrip kita tu ada harapan.
Apa pun, lepas dikembalikan manuskrip kita tu, semak lagi. Pastikan ejaan tak banyak silap, tanda soal, segala-gala tanda dibetulkan. Format betul. Spacingnya betul. Biar manuskrip kita itu kelihatan cantik dari segi penulisannya agar yang membaca nanti tak rasa penat dengan kesilapan yang banyak! kalau kita tak semak dan betulkan kesilapan, bermakna manuskrip kita tu banyak salahnya. Penyemak tak suka membaca manuskrip yang bahasanya tunggang-langgang. Malah, manuskrip yang begitu melambangkan 'ketidakseriusnya' penulis itu!
Okeylah, setakat itu dulu. Nanti bila ada mood saya sambung lagi. Selamat mencuba!