Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, September 26, 2013

Mencari Inspirasi

Assalam

Apa agaknya yang menarik di dunia ini kalau kita perkatakan tentang keindahan alam? Mungkin ada yang suka gunung, ada yang suka tasik, ada yang suka pulau, ada juga yang suka kehijauan fauna dan flora, pasti ramai yang sukakan pantai dan laut. Kalau tanya saya, saya akan katakan semua, termasuk sungai dan air terjunnya. Semua ini mampu tenangkan hati dan jiwa kita, betul, kan? Malah, kalau kita rajin melihat keindahan alam termasuk kehijauan pohon yang menawan, mata kita akan menjadi bertambah baik. Subhanallah.

Saya sedang menikmati suasana keindahan alam, walaupun sebenarnya saya kurang sihat. Begitu juga anak bongsu saya yang dengan tiba-tiba sahaja tak sihat. Namun, kicauan burung-burung yang berterbangan di kawasan laut ini mampu membawa ketenangan yang sedang dicari. Sangat aman di sini, macam bait kata lagu Amy Search, antara lagu kegemaran saya, tiada siapa yang mengganggu. Saya ingin mencari mood untuk menulis, mencari inspirasi, mencari ilham. Harap-harap saya akan jumpa semuanya di sini.

InsyaaAllah, saya akan cuba lakukan aktiviti lain juga, mungkin mencari kampung-kampung yang menarik untuk dilawati, mungkin juga meronda-ronda ke kawasan pulau yang tak dapat saya lihat dari sini. Cuma orang kata, lambaian pulau sedang memanggil-manggil. Nak berenang di kolam renang, saya tak pandai. Mungkin tengok orang lain berenang kot. Tapi yang penting, saya nak relaks, macam budak2 hari ini berkata, "Wat lek wat chill."

Semoga Allah SWT rahmati kita dunia akhirat. Wassalam.


Jangan Biar Hati Jadi Karat

Assalam

Dunia ini sekadar sementara sahaja buat kita, namun sebagai manusia, kita selalu terlupa. Ada ketika kita jadi lalai, mungkin terlalu asyik dengan apa yang orang di sekeliling lakukan. Orang beli kereta baru, kita pun mahu. Orang beli kereta mewah, kita pun tergila-gila teringin satu. Orang buat rumah, kita pun nak besarkan rumah yang dah pun sedia besar. Orang pergi gym nak jaga badan, kita pun kelam-kabut berjogging, nak nampak macho juga. Orang dapat awek, kita pun teringin nak satu... kita tak mahu kalah lah katakan. Kita jadi ralit, leka, hinggakan kita dah tak tahu yang mana betul dan mana yang salah. Bagi kita, apa sahaja yang datang pada hati, pastinya tepat dan betul. Maklumlah kita terlupa pada akhirat, kita hanya ingat dunia.

Semalam, saya berbual dengan seorang insan ni. Kata dia pada saya, "You know darling, Islam is in your heart. It cannot be seen so much outside. Only Allah knows. You can pretend to be religious, but Allah knows what is in your heart." Semuanya di hati kita kan? Kalau hati kita berubah jadi karat, pasti syaitan seronok, lalu ia akan duduk dengan kita dan berbisik-bisik di telinga kita. Syaitan kata, "Ikutlah kata hati karat kau tu... memang bagus... sebab bila hati dah berkarat, kau akan duduk aje dengan aku, tak perlu masuk syurga."

Masa tu, mungkin kita jadi keliru. "Kat syurga ada apa? alah... takkan teruk sangat kalau ikut kata syaitan ni kot. Lagipun... aku kan solat?. Aku nak buat yang baiklah ni... tapi aku ikutlah kata hati karat aku yang kuatkan nafsu aku." Kita mula hidup di awang-awangan, sebab keseronokan datang pada kita, hinggakan kita lupa pada yang lain. Yang tak baik di mata kita dah jadi 'fantastic'. Kita akan beri macam-macam alasan untuk benarkan segala yang tak benar itu. Kita akan tegakkan segala sebab-musabab untuk kuatkan andaian kita itu, hinggakan kita terlupa bahawa kita solat dan sembah itu sepatutnya untuk Allah SWT, bukan untuk syaitan yang merasuk hati kita itu.

Wahai manusia... insaflah kamu dan janganlah kamu terlalu ralit dalam dunia keseronokan kamu itu hinggakan kamu terlupa pada akhirat.

Dalam Islam, hati itu penting, kerana semuanya terletak di situ. Biarlah akal yang baik yang dikurniakan Allah SWT buat kita, kita gunakan dengan bijaksana, bukan dengan tipu daya, yang akhirnya nanti akan musnahkan segala apa sahaja yang kita ada di dunia dan akhirat.

Semoga Allah kurniakan zat 'kesabaran', kuatkan iman dan taat pada Allah yang maha Satu. Bersihkan hati, sayangilah orang-orang yang menyayangi kita, jangan sampai kita hilang kasih sayang itu kerana sibuk kejarkan sesuatu yang mungkin akan membawa kita ke neraka jahanam! Nauzubillah.

Wassalam