Assalam
Memang tak mudah untuk pelihara anak kita. Tapi itu memang dah jadi tanggungjawab, kan? Kalau tak nak bela anak, maknanya janganlah kita beranak. Betul kan? Kalau dah beranak tu, kenalah bela anak elok-elok. Tak kiralah sama ada kita lelaki atau perempuan.
Sekalipun mungkin satu hari nanti anak kita tak peduli pun pasal kita, namun kalau kita dah punyai anak itu, kita kenalah jalankan tanggungjawab. Belalah anak-anak dengan cara yang terbaik yang kita mampu. Tak mungkin kita tak mampu kerana apa jua sekalipun, Allah sediakan kita rezeki. Banyak rezeki, merasalah macam-macam, kalau kurang rezeki, maka kuranglah mungkin. Tapi rezeki itu bukan maknanya soal material, makanan dan benda-benda seperti itu sahaja, tetapi pelbagai kebaikan yang lain, termasuklah anak-anak kita, budi bahasa mereka, amalan mereka dan macam-macam lagi.
Kalau kita bela anak kita dengan baik, insyaa-Allah jadilah mereka orang yang baik-baik. Bila dah dewasa, terpulanglah mereka nak jadi orang yang baik atau tidak, nak amalkan agama cara yang baik atau tidak, kerana tanggungjawab itu dah lepas daripada kita, kecuali kalau anak kita perempuan dan tak punyai suami atau mungkin anak kita itu cacat atau punyai kekurangan.
Memang tak mustahil selepas kita bersusah payah untuk anak-anak, bila besar mereka jadi manusia yang tak pedulikan kita. Biarkanlah sahaja, kerana tanggungjawab kita dah lepas. Rezeki kita tetap diberikan Allah swt, sekalipun mungkin anak kita tak kisahkan kita, mungkin ada orang lain yang akan ambil berat tentang kita. Kerana segalanya adalah urusan Allah swt.
Tapi... bila kita ada anak, janganlah kita tak ambil peduli. Sibukkan hal lain, sibukkan aktiviti personal kita, sibukkan cari duit, sibukkan hal dunia... hinggakan tak sedar anak-anak kita dah jadi golongan yang tak ada akal dan hati perut. Nauzubillah minzalik.
Sedih kalau kita dengar cerita anak-anak yang dah jadi jahat macam setan!
Dalam pada itu, ada juga ibu dan ayah yang gemar ambil kesempatan. Nak suruh anak-anak jadi terbaik dengan harapan itulah tiketnya nak masuk syurga! Suruh anak-anak jadi hafiz dengan harapan esok-esok kita masuk ke syurga kerana anak kita itu hafal al-Quran. Jadi... dalam usia yang muda lagi, kita dah campak anak-anak kita biar duduk di asrama atau pondok, hinggakan anak-anak kita hilang rasa kasih dan sayang dengan ibu bapa sendiri!
Sedih juga bila kita dengar cerita-cerita yang begini. Seolah-olah ibu bapa lupa tanggungjawab mereka untuk besarkan anak-anak dengan cara yang terbaik, tetapi lebih yakin pada orang luar sekalipun mereka itu ustaz atau ustazah untuk membesarkan anak-anak kita di luar rumah kita sendiri. Kesian anak-anak ini kerana mereka masih budak dan dalam usia yang muda sudah tak merasa lagi kasih sayang ibu bapa mereka!
Mungkinkah orang-orang sekarang berfikir cara yang berbeza?
Mahukan anak-anak jadi yang terbaik, tetapi sebagai ibu dan bapa mereka lupa tanggungjawab untuk jadi ibu dan ayah yang terbaik juga! Nauzubillah minzalik.
Kalau sayang anak-anak, tak payahlah kita berikan segala-galanya hingga anak-anak terlupa pada kesusahan, tetapi jangan pula lupa bahawa apa jua sekalipun, kasih sayang ibu bapa itu tak boleh dibeli di mana-mana!
Sayangilah anak-anak kita sekalipun satu hari nanti mereka lupa untuk sayang kita! Itu adalah kerja Allah swt, yakinlah pada-Nya.
Wassalam.