Keindahan Alam - Berehat dan Membaca di sini...

Followers

Thursday, October 13, 2011

Biar Pijak di Bumi Nyata


Salam semua

Bagi saya agak pelik juga bila dengar cerita tentang orang yang baru kahwin ni. Memang kita sering dengar ada orang takut nak kahwin sebab melihat keadaan hari ini yang tak putus-putus memaparkan kisah keruntuhan rumah tangga. Cerai sana, cerai sini, mana lagi dengan kisah kecurangan suami atau isteri, kes dera, kisah orang tak beri nafkah, kisah isteri pemalas dan kuat membebel. Semua ini boleh buat orang muda hari ini takut nak kahwin!

Tapi, pernah dengar kisah orang yang seronok sangat kerana dapat kahwin? Hinggakan terasa begitu istimewa dengan diri dan pasangan. Terasa bagaikan mereka sudah berada di pintu syurga, walaupun baru sahaja beberapa minggu menikah? Huh, hebat tu!

Hari ini, memang ada pasangan muda yang terasa bangga sangat-sangat kerana dalam usia muda mereka dah pun berkahwin sedangkan orang lain yang jauh lebih tua, tak kahwin-kahwin.  "Menyampah gila aku tengok!" rungut seorang teman. "Macam dia orang aje yang kahwin. Pada hal dia tak tahu lagi, ini baru permulaan. Sekarang ni memanglah semuanya manis macam madu. Tunggulah nanti... baru dia tahu, madu boleh berubah jadi pahit macam hempedu!"

Hehe... iyalah... mula berkahwin memanglah macam tu. Tapi, berbulan madu bukan untuk selama-lamanya. Kalau tak jaga betul-betul, nikmat yang dirasai sekarang bila-bila masa pun boleh berubah. Jangan ingat bila kita berkahwin, segala-galanya menjadi 'roses' (kata orang putih lah). Bunga mawar yang kembang itu akan berguguran juga, yang tinggal teguh ialah durinya! Huhu...

Saya sekadar mahu mengingatkan sahaja, supaya pasangan muda jangan hidup dalam sebuah ilusi dan mimpi, jangan ingat bahawa kalau hari ini kita berasa hebat, setiap hari kita akan berasa hebat buat selama-lamanya. Putaran hidup sememangnya ada turun naiknya. Jadi, kita perlu sentiasa bersedia. Walaupun semua orang inginkan 'syurga', tak semestinya hidup di dunia terasa seperti syurga buat selama-lamanya. Kalau kita dah dapat suami atau isteri, jangan gelakkan orang lain yang masih tercari-cari, jauh sekali gelakkan mereka yang gagal dalam rumah tangga. Jangan mempersendakan orang lain dan lupa daratan!

Sama juga nasihat saya buat penulis yang karyanya sudah diterbitkan. Jangan terasa diri terlalu bagus dan mula lupa diri. Sekalipun sudah banyak menulis dan mungkin bukunya meletup-letup, jangan ingat bahawa kita akan berada di atas buat selama-lamanya. Dugaan dan ujian akan datang dan biarlah kita sentiasa pijak di bumi nyata. Kalau nak berangan pun, biarlah berpada-pada.

Bagi mereka yang sedang mencari teman hidup pula, janganlah main 'rembat' siapa sahaja yang lalu di depan mata kita. Biarlah kita berwaspada dan berjaga-jaga. Biarlah kita tahu siapa 'dia' sebelum kita terima sebagai pasangan hidup kita.

Insya-Allah, kalau kita berjaga, berusaha, bersyukur dan tidak tinggi diri, kita akan berasa lega dan tenang fikiran. Semoga kita sama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman yang ada ini.

Wallahua'lam.