Assalam
Pagi ini cuaca agak dingin di Nilai. Tadi hujan, walaupun berjerebu, tidaklah panas, alhamdulillah.
Hari ini saya mengemas dan mengumpul segala macam sabun, syampu, lotion, sikat, berus gigi dan macam-macam lagi yang saya rajin ambil dari hotel setiap kali saya berjalan-jalan. Saya jarang guna barangan yang disediakan hotel kerana biasanya saya bawa semua kelengkapan untuk diri saya. Tapi saya suka ambil untuk dijadikan 'souvenir'. Hari ini bila saya kumpul-kumpul, dapat berkotak-kotak. Banyak sungguh dan cadangnya saya nak bersedekah kepada yang memerlukan. Insyaa-Allah jauh lagi baik daripada saya simpan tak buat apa-apa.
Okeylah... beralih kepada judul entri kali ini. Nak berbual tentang rasa 'kesal' yang sering berlaku dalam diri seseorang yang telah melakukan kesilapan dan kesalahan. Banyak orang tak sedar yang dirinya sedang melakukan sesuatu yang 'tak baik' atau sesuatu yang Allah tak suka, atau mungkin sesuatu yang akan menghancurkan rumah tangga atau keluarga, atau mungkin akan merosakkan masa depannya... atau mungkin akan membawanya ke neraka jahanam! Namun apabila tersedar dan menyesal, pasti dirinya mahu lakukan sesuatu untuk menunjukkan rasa kesalnya itu. Paling afdhal, tentulah untuk bertaubat. Kalau sudah melakukan kesalahan atau kesilapan, tetapi tak mahu bertaubat, maknanya dirinya itu tidak menyesal! Nauzubillah min zalik.
Kita tahu kalau seseorang yang sudah melakukan kesilapan atau kesalahan dan mengaku menyesal, kita akan melihat perubahan pada dirinya. Yang penting, dia akan bertaubat. Bermakna dia rajin melakukan solat taubat, minta Allah swt mengampunkannya. Kerana sudah bertaubat, pasti dia tidak mahu mengulangi lagi kesilapannya itu. Malah, pasti dia akan berjaga-jaga. Kalau dulu tak kisah siapa kawannya, kini pasti dia ambil berat untuk memilih kawan. Pasti dia tidak mahu menjeratkan dirinya lagi.
Semestinya juga, ada yang menyesal tetapi tak mahu bertaubat kerana mungkin dirinya tak bersedia untuk tinggalkan perkara yang boleh merosakkan diri dan iman. Mungkin kesalnya tidak seserius mana, hanya mampu berkata di mulut sahaja, sedangkan di hatinya dia tidak rasa kesal sangat. Nauzubillah min zalik.
Kalau orang yang menyesal dan tunjukkan rasa kesalnya dengan bertaubat, maka kita yang di sekelilingnya seharusnya memberi sokongan agar dirinya akan berasa lebih yakin untuk teruskan perjuangan hidup. Manusia sering kali melakukan kesilapan, namun kalau sudah mengaku tidak akan mengulanginya lagi, semestinya kita kena 'respect'! Subhanallah.
Wassalam.