Tengah hari semalam, saya mendapat panggilan daripada Mahat(Rakan berketurunan Semai. Mahat juga adalah DJ di radio Asyik, RTM). Katanya, "puan... saya dah ada di UKM ni. Di Lestari."
Tanpa membuang masa saya dengan anak saya, Irfan pun bergegas ke UKM. Sebenarnya saya sudah berjanji dengan Mahat untuk pulangkan sebuah CD lama yang berada di tangan saya. CD itu ialah mengenai sebuah rencana puak Temiar di Perak, semasa zaman British dulu.
Sampai sahaja di Lestari, Mahat dan isterinya, Nyo sedang menunggu saya. "Kita ke bilik Prof Dato' Dr. Hood ya? Dia nak jumpa puan."
Sebenarnya saya memang sudah lama mengenali prof. itu, kerana suatu masa dahulu saya pernah bekerja di UKM, dan semua kakitangan akademik UKM yang senior mengenali saya. Sampai di biliknya, kami berbual buat seketika. Prof. Dato' Hood adalah pakar 'Orang Asli'. Dia memang baik dengan masyarakat Orang Asli, dan mengenali ramai individu dari kumpulan itu yang tinggal di Lembah Kelang.
Mahat menghulur kepada saya surat jemputan untuk menghadiri sebuah simposium antara bangsa anjuran Lestari. "Nanti puan datang ya? 13 Mac ni."
"Mesti! Saya tak akan lepaskan peluang. Boleh kami ambil video, Prof.?" Saya bertanya Prof. Dato. Hood. "Anak saya dia nak buat 'footage' untuk dokumentari dia. Kami nak ambil semasa Mahat membaca sajaknya dalam simposium ini."
"Sudah tentu boleh! Puan boleh ambil keseluruhan simposium ini." Jawab Prof.Dato'Hood, memberi kebenaran. "Ah... saya dengar yang puan menulis novel, ya? AURA CINTA? Ada latar belakang kampung Orang Asli? Kenapa puan minat dengan 'Orang Asli' ni?" Dia bertanya lagi. Saya pun bercerita.
Selepas itu saya menjemput mereka untuk makan tengah hari di KRU, UKM. "Jom kita sambung perbualan ini."
Anak saya yang banyak berbual dengan Prof. Dato' Hood. Kata Prof yang segak itu, "saya sudah 35 tahun menceburi bidang ini. Pernah tinggal selama 2 tahun di Tasik Bera. Namun saya berasa hampa, kerana sampai sekarang puak Orang Asli masih terpinggir daripada aliran pembangunan negara. Masalah besarnya ialah 'orang tengah'. Ekonomi hasil hutan Orang Asli tak pernah menguntungkan mereka kerana dipergunakan oleh orang tengah."
Prof. itu bertanya anak saya tentang perancangannya dalam pembikinan filem dokumentari. Prof. itu tertarik dengan apa yang dikatakan anak saya. "Banyak perkara yang boleh kita lakukan. Orang ramai perlu faham perasaan dan hati masyarakat ini." Katanya lagi. "Orang Asli adalah sebahagian daripada kita."
Dalam perbualan itu, saya tertarik dengan kata-kata Prof. Dato'Hood. "Orang kita merasakan bahawa puak Orang Asli merupakan satu jenis species yang perlu ditonton. Mereka tidak tahu bahawa sebenarnya Orang Asli pun sedang menonton kita." Prof. itu ketawa dalam kata-kata sinisnya.
Saya masih teringat kepada perbualan saya dengan Mahat dan isterinya. Saya pernah bertanya Nyo, "kenapa Orang Asli tak mahu menjual produk hutan mereka sendiri?"
"Susah puan." Jawab Nyo. "Orang Melayu biasanya takut nak beli. Tak tahulah kenapa. Mungkin dia orang geli. Maklumlah, mereka beranggapan Orang Asli ni martabatnya rendah sahaja."
Saya terkejut dengan kata-kata Nyo itu. Tapi itulah hakikatnya. Mungkin saya tak pernah merasakan begitu, kerana perasaan saya terhadap Orang Asli adalah jauh beza daripada apa yang Nyo nyatakan. Kalau saya berjalan dan melihat produk yang dijual Orang Asli, saya akan berhenti dan membeli kerana mahu memberi sokongan kepada mereka.
"Anda datang hadir simposium ini nanti. Dengarlah suara-suara daripada mereka yang berkenaan. Irfan... jangan lupa bawa buku ibu awak sekali. AURA CINTA? Saya nak baca." Bicara Prof. Dato' Hood.
"Eh... takkan Prof. nak baca buku saya tu. Itu novel cinta." Saya pula berkata.
"Saya ada 9 orang anak. Saya pun pernah bercinta." Prof.Dato' Hood ketawa.