Assalam.
Betulkah lelaki, tak kira apa sahaja jenisnya, pendiam, banyak cakap, baik, nakal, kaya, tak berduit, kacak atau tak kacak, masing-masing setelah berkahwin, akan terfikir untuk berkahwin lagi? Kalau tak berkahwin pun, akan berusaha untuk cari peluang dekatkan diri dengan wanita lain, selain daripada isteri sendiri? Betulkah juga, lelaki sudah dijadikan Tuhan mempunyai keupayaan untuk sayang lebih daripada seorang wanita? Maksudnya, mereka mampu untuk berkahwin lebih daripada satu kalau mereka mahu!
Adoi... pasti sakit hati kaum wanita mendengarnya, tetapi apa yang saya katakan ini mungkin tidak jauh daripada realiti. Dalam situasi tertentu, baik macam mana sekalipun lelaki itu, ada ketika hati mereka berbelah bagi, terfikir juga untuk berkahwin lagi!
Mesti ada yang marah lagi!
Apatah lagi kalau lelaki itu datang daripada keluarga di mana ahli lelaki-lelakinya memang jenis kahwin lebih daripada seorang, maksudnya jenis banyak isteri. Atuk kahwin banyak, pakcik kahwin banyak, ayah kahwin banyak. Ada lelaki akan sentiasa terfikir tentang hal itu, dari muda hingga ke tua. Ada juga yang tak pernah terfikir pun, tiba-tiba bila sampai pada suatu keadaan yang tidak diduga, mereka berubah hati lalu tergerak hatinya untuk berkahwin lagi!
Kadang-kadang, bila kita lihat pada pesona lelaki yang nampak baik, jujur, mungkin juga kelihatan taat pada cintanya pada seorang wanita sahaja, tetapi mampu juga untuk bertukar kulitnya. Tiba-tiba sahaja tergerak di hati untuk mempraktis haknya untuk jatuh cinta lagi, atau untuk berkahwin lagi.
Kalau kita seorang wanita, mungkin kita juga tak boleh tuduh seratus peratus yang lelaki semuanya 'hampeh', kerana kebanyakan hal ini mampu berlaku kerana penglibatan wanita lain yang mampu untuk ubahkan fikiran sang lelaki. Tanpa penglibatan wanita, tak jadilah hal-hal ini, kerana lelaki berubah fikiran juga kerana wanita.
sekadar hiasan
"Kak... suami saya dulu tak macam tu pun. Tiba-tiba dia berubah. Dia mula kesiankan rakan pejabatnya yang dah pun bercerai dengan suaminya. Mula-mula mengadu, lama-lama bersimpati, lepas tu mulalah jatuh cinta... sekarang ni dah nak madukan saya pulak. Perempuan ni, kak... kadang-kadang jahatnya mengalahkan iblis. Ada tu akhlaknya macam sampah dan memang layak masuk tong sampah aje!"
Adoiii... saya tak tahu nak kata apa. Yang saya tahu, hampir semua lelaki akan melalui keadaan ini, tercebak dengan episod untuk jatuh hati sekali lagi! Kadang-kadang bukan jatuh hati pun, sekadar buat suka-suka aje... mungkin nak merasa macam mana kalau kahwin dua! Ada tu, lepas buat terus menyesal gila. Ada juga yang berkata, "Ingat kot seksi sangat, rupa-rupanya seksa aje. Barang pun tak baik, dah lemau. Baik lagi apa yang aku dah ada."
Sama ada menjadi ataupun tidak, biasanya juga bergantung pada lelaki itu sendiri, sama ada mahu teruskan atau sekadar "Biar aku lupakan bab ini, dan fokus pada apa yang aku dah ada ini...". Wallahuaklam.
Jadi orang perempuan, kadang-kadang kita kena ada semangat yang kental untuk tidak berasa gentar dengan apa yang mungkin terjadi dalam hidup kita ini. Lagipun... bukanlah kiamat kot kalau suami kita buat hal! Uh! Lagi satu... yang suka belit tu, bukan hanya lelaki tetapi perempuan pun sama gedik!
Semoga anda semua lakukan apa sahaja dengan mendahulukan agama dan Allah SWT dan semoga kita selamat dunia akhirat. Amin.
