Renung-renungkanlah...
Assalamualaikum...
Saya sedang menulis semula setelah menjauhkan diri untuk memberi laluan 'Pesta Buku' yang baru sahaja berlalu. Ketika di lokasi Pesta Buku... ada beberapa orang produser TV yang datang dekat untuk bincangkan novel-novel yang boleh diadaptasikan untuk dijadikan drama TV. Buat masa ini, saya mahu tumpukan perhatian pada penulisan manuskrip novel saya yang sedang berada di skrin komputer, juga projek lain yang sedang saya beri perhatian. Kalau diikutkan, semua novel-novel saya sesuai untuk dijadikan drama berepisod kerana semua novel-novel itu mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Tapi bagi saya, kadang-kadang kita tak perlu gelojoh. Saya tidak suka orang lain menulis skrip untuk novel-novel saya kerana bagi saya, novel-novel saya adalah karya saya dan saya sayang pada karya-karya saya.
Tak kisahlah kalau ada di luar sana yang memandang rendah pada orang macam saya yang menulis 'novel cinta'. Bagi saya, novel-novel berunsur keluarga dan kasih sayang merupakan sebahagian daripada khazanah karya saya kerana saya juga melibatkan diri dalam penulisan genre yang lain. Bagi saya juga, ilmu itu boleh disebarkan melalui pelbagai cara. Begitu juga dakwah, tidak dengan satu cara sahaja. Wallahuaklam. Yang penting, kita pasang niat dan kita cuba sedaya upaya. Kalau kita menulis kerana 'wang', mungkin niat kita akan terlari dari landasan yang betul. Kalau kita menulis kerana mahu jadi popular, mungkin juga kita akan jadi marah kalau kita tak sepopular orang lain. Saya tak perlu beri alasan apa-apa, kerana memang dari kecil lagi saya suka membaca dan menulis.
Seperti yang saya sedang maklumkan di saluran Facebook, buku 'No Room For Doubt' karya Abdullah Aymaz sedang menarik perhatian saya. Sambil menulis, saya juga membaca. Jiwa kita sentiasa dahagakan ilmu, sekalipun mungkin ada yang mengaku 'bijak', tak mungkin segala-galanya kita tahu.
Kadang-kadang kita rasa kita pandai, tetapi kepandaian yang kita ada mungkin tak mampu untuk memahami perkara-perkara yang berlaku dicelah kata-kata yang terbentang. Tidak semua yang datang kepada kita datang dengan jelas dan terang. Banyak yang perlu kita fahami 'between the lines'. Apa pun, sebagai orang Islam yang menumpang dunia fana ini, elok kalau kita sentiasa muhasabah diri. Pastinya kita semua mempunyai kekurangan, kerana yang sempurna itu adalah hak DIA. Subhanallah.
