
Kenapa saya suka merantau? mungkin kerana banyak yang saya pelajari apabila melihat tempat orang dan bertemu dengan insan-insan yang bergelar hamba Tuhan. Lagi banyak kita berjalan,lagi banyak yang kita belajar. Semasa di Riau baru-baru ini, saya bertemu dengan Ibu Mariam, isteri kepada Pak Buya Karim, teman suami saya yang tinggal di Kerinchi(ini Kerinchi yang dekat dengan Pekanbaru, bukan yang di Jambi) dan semasa berbual-bual dengannya, ada sesuatu yang dikatakan kepada saya yang sangat-sangat berkesan di hati.
Katanya,"Tak semua yang kita doa pada Tuhan, dimakbulkanNya. Kadang-kadang, sekalipun kita berharap sangat,doa kita itu tak menjadi. Janganlah kita berkecil hati dengan Tuhan, kerana Tuhan lebih Mengetahui. Kalau Tuhan tidak makbulkan, itu bermakna ada sesuatu yang tersirat. Lagipun... tak ada maknanya kalau apa sahaja yang kita minta kita dapat. Mungkin lain kali kita tak tahu merasa nikmatnya."
Lama saya berfikir-fikir tentang hal ini. Malah sepanjang perjalanan pulang dari Kerinchi ke Pekanbaru, itu yang saya fikirkan. Ibu Mariam banyak bercerita tentang pengalaman hidupnya. Walaupun dia merupakan anak orang kampung, tidak berpelajaran tinggi, namun dia merupakan seorang wanita yang sangat bijak orangnya. Dialah merupakan tulang belakang Pak Buya Karim dan saya percaya, kerana kebijaksanaan Ibu Mariam, maka Pak Buya Karim menjadi salah seorang yang terkaya di kawasan itu. Tetapi yang penting, kedua-dua mereka sangat rendah diri orangnya dan sangat taat kepada perintah Tuhan. Alhamdulillah.
Semasa saya mengadakan majlis perkahwinan untuk anak sulung saya (Bulan Ogos yang lepas), Pak Buya Karim dan Ibu Mariam turut datang, sekalipun ketika itu Pak Buya Karim kurang sihat. Saya sangat menghormati mereka berdua dan kerana itulah, sekalipun masih lelah, saya dan suami tetap sampai ke sana. Alhamdulillah sekali lagi.
