Keindahan Alam - Berehat dan Membaca di sini...

Followers

Thursday, February 24, 2011

Bertemu, Berjumpa, Bermesra...



Salam

Pernah tak terjadi kepada anda, ketika berjumpa kawan lama, tiba-tiba sahaja semuanya sudah berbeza? Dulu dia mesra, tetapi kini tidak lagi. Dulu banyak bicaranya, kini hampir dah jadi bisu. Malah, kalau boleh dia mahu sahaja buat-buat tak tahu. Konon-konon tak pernah pun kenal diri kita ini.

Kenapa agaknya ini boleh berlaku? Hormon dia berubah ke? Atau ada benda yang terjadi padanya? atau mungkin ada sesuatu yang tak kena tentang kita?

Apa pun, perkara seperti ini sering terjadi. Terutama apabila kita dah lama sangat tak jumpa.

Pernah dulu semasa saya di kampus UM, saya rapat dengan seseorang. Selepas kami graduate dan selepas beberapa tahun, kami terserempak semula. Saya baru pulang dari England, tetapi teman yang saya berjumpa itu bercakap dengan saya mengguna bahasa slanga (Inggeris) yang terlebih-lebih. Pada hal teman saya tidak pula ke mana-mana, tetapi tinggal di Malaysia. Saya berasa pelik dengan kelakuannya. Tapi, selepas itu kami terus hilang mesra. Macam ada yang tak kena.

Jumpa lagi beberapa tahun selepas itu. Masih saya berasa janggal dengannya. Kalau difikirkan memang tak tahu kenapa boleh jadi begitu, kerana suatu ketika dahulu, kami memang rapat dan mesra teramat sangat.

Baru-baru ini, terdengar lagi cerita tentangnya. Tetapi entahlah kenapa, saya takut untuk beria-ia. Takut keadaan masih seperti itu juga. Sudah berubah jauh daripada apa yang pernah saya rasai.

Malah, ada juga seorang teman lagi. Pernah tinggal sebilik dengan saya. Saya dah kahwin lama dan dia masih lagi anak dara. Kini, pangkatnya besar, gelaran juga sudah ada. Tetapi, masih seperti teman yang seorang lagi, dia juga sudah berbeza. Kalau bercakap dengan saya, bahasanya terlalu formal.

Tidak seperti teman saya yang seorang ini. Malah, dua orang sebenarnya. Juga rakan semasa di Universiti Malaya. Kedua-duanya sudah berpangkat besar dan ada gelaran. Seorang berkahwin dan seorang lagi tidak. Namun, alhamdulillah... kedua-duanya masih rapat, masih mesra dan tidak pernah formal dengan saya.

Beginilah kita. Bertemu, berjumpa, bermesra... satu hari nanti, tak tahu apa pula ceritanya.

Wallahua'lam.