Assalam dan selamat menghayati hari Jumaat yang mulia, semoga kita diberkati Allah SWT.
Seperti biasa, bila masuk sahaja bulan Syawal, kita akan kesibukan bagaikan tak henti-henti dengan aktiviti hinggakan kita tak punyai masa untuk urusan peribadi. Di bulan Syawal, banyak majlis perkahwinan yang diaturkan dan banyak juga majlis 'Open House' setiap hujung minggu.
Saya terpaksa tangguh segala apa yang mahu saya lakukan kerana terpaksa beri laluan untuk majlis-majlis ini. Kalau tidak libatkan diri, takut ada yang berkecil hati. Jadi... layan sahajalah.
Dalam berkata hal-hal ini, jom kita lihat di dunia-dunia Islam yang lain, yang sedang berdepan dengan kekalutan. Mungkin kita berasa hairan kenapa dunia Islam jadi begini, tapi bagi saya, ilmu itu sangat penting. Kalau tiada ilmu yang cukup, maka manusia akan jadi bingung dan syaitan mudah merasuknya. Sesama Islam, mereka sanggup berbunuhan dan kita di sini janganlah pula pandai-pandai aturkan teori itu dan ini. Sebenarnya kalau manusia masih tidak ada ilmu yang cukup, mereka akan terus menjadi jahil. Malah, mengikut sejarah sekalipun, sebaik sahaja Nabi besar kita Muhammad SAW mangkat, sudah tercetus kekecohan dan tentunya ini menunjukkan betapa manusia ini sangat lemah. Sebagai umat Islam, kita wajib kembali kepada ilmu di dalam al-Quran kerana ilmu itulah yang mampu membuat kita jadi insan yang berjiwa kental dan sayangkan agama kita ini. Tidaklah kita sanggup untuk berperang sama sendiri. Kalau umat Islam bertelingkah kerana apa jua sebabnya, pasti orang lain akan mengambil kesempatan.
Fikir-fikirkanlah. Dalam hal ini juga, kita jangan terlalu leka dan percaya pada segala yang diedarkan di Internet, kerana Internet juga mampu menjadi bahan untuk memporak-porandakan silaturahim kita sesama Islam. Wallahuaklam.
Wassallam.
