Membimbangkan apabila kita melihat nama-nama yang membawa gelaran DR. sedangkan kita tahu mereka bukan doktor perubatan dan tak pernah pun selesai atau ambil program doktor falsafah, tapi alih-alih, nama dah ada gelaran Ph.D. Entahlah, saya tak tahu nak cakap macam mana, tapi bagi saya, orang-orang yang begini, kalau mengeluarkan buku dan pendapat, buku mereka sepatutnya tak layak dibaca oleh umum dan penda[at mereka tak boleh kita terima kerana mereka ini sebenarnya adalah PENIPU!
Saya mengenali beberapa karakter yang saya sangsi tentang gelaran DR yang mereka gunakan. Entah bila masa mereka membuat Ph.D mereka itu, saya tak tahu. Untuk makluman pembaca blog semua, saya pernah berkhidmat dengan UKM selama 17 tahun dan kebanyakan daripada masa saya di sana ialah untuk menguruskan kakitangan UKM melanjutkan pelajaran mereka. Saya tahu, bukannya mudah (macam kacang goreng) nak selesaikan program Ph.D dengan jayanya. Kebanyakan orang yang saya kenal 'kantoi' Ph.D mereka. Ada yang kantoi di luar negara, tetapi balik buat semula... dan selepas bertahun-tahun lamanya, akhirnya berjaya. Tapi percayalah, memang tak mudah nak selesaikan program Ph.D dengan jayanya.
Saya pernah menemani suami di UK untuk selesaikan program Ph.Dnya itu. Saya tahu betapa perit dan sakit tempoh yang terpaksa dilalui. Mungkin itu merupakan satu tempoh yang paling perit buat kami sekeluarga dan alhamdulillah, suami saya berjaya melepasi segala keperitan itu dan saya juga tahu yang dia layak digelar DR. Suami saya juga mempunyai kelulusan 'Chartered Engineering' dari UK. Semuanya tidak mudah untuk diperolehinya.
Baru-baru ini, saya melihat gelaran DR. pada nama seorang kenalan yang sedang sibuk ke sana ke mari untuk memberi ceramah tentang sesuatu produk yang kononnya dia pakar. Apa yang saya tahu, kenalan saya itu dah lama 'kantoi' dengan programn Ph.D yang dia buat. Malah, dia terpaksa tinggalkan UK kerana kegagalannya itu dan mustahil dalam tempoh yang terdekat, dia sudah berjaya bergelar DR. Sebenarnya saya tak tahu apa tujuannya buat begitu. Tapi, yang pasti dia sedang menipu semua orang!
Berjaga-jagalah kita, jangan terlalu cepat percaya dengan mereka yang bergelar DR. ini. Paling saya terkilan bila melihat ramai di antara mereka ini menulis buku (genre motivasi), seolah-olah dengan gelaran PH.D yang ada pada mereka itu, mereka mempunyai kuasa untuk membincangkan isu yang berkaitan. Saya juga rasa, kerajaan patut mengetatkan undang-undang tentang isu yang saya bangkitkan ini. Ada di antara mereka yang saya katakan ini, biasa kita tengok sibuk di sana-sini, malah kerap juga masuk TV, tiba-tiba dah bergelar DR. Bila agaknya dia mengikuti program Ph.Dnya itu? Takkan Ph.D beli kot?
Ada juga yang saya tahu, dah lama bergelar DR., tapi sebenarnya tak pernah ada pun ijazah Ph.D itu! Tetapi, dari dulu sampai sekarang, dia memberi ceramah, buat buku macam-macam, tapi.... ah, memang dia seorang PENIPU!