Saufiville, Janda Baik
Salam pagi Sabtu
Pagi ini saya akan ke Melaka, ada urusan sedikit, jadi saya akan miss sebuah rancangan di TV3 yang akan menunjukkan 'Saufiville' yang terletak di Janda Baik pada jam 11.00. Malah, saya juga melihat 'Saufiville' telah pun dijadikan latar sebuah drama bersiri di rangkaian TV yang sama, yang diadaptasi dari sebuah novel juga. Huhu... saya sangat suka dengan Saufiville ni, sebuah resort yang terletak di atas sebuah kawasan yang mungkin tertinggi (yang ada bangunanlah) di Janda Baik, Pahang.
Okeylah, mungkin elok juga saya ceritakan pengalaman saya dengan tempat ini. Pada tahun 2009, selepas anak sulung saya dan juga anak kedua saya berkahwin, tiba-tiba sahaja anak ketiga saya (satu-satunya anak perempuan saya) juga menyatakan hasratnya untuk berkahwin. Katanya dia mahu berkahwin di bulan Disember. Saya pun kelam-kabutlah juga, sebab anak sulung dan kedua kahwin pada bulan Ogos di tahun itu. Jadi, kami telah buat keputusan untuk buat majlis yang tidak perlu memanggil terlalu ramai orang, kerana saya baru sahaja menjemput tetamu yang ramai untuk majlis perkahwinan anak sulung. Majlis pernikahan kami rancang untuk aturkan di rumah sahaja, tetapi majlis resepsi nya kami berfikir-fikir juga, sebab tempat-tempat yang disediakan di Lembah Klang semuanya sudah dibook oleh orang lain.
Anak kedua saya pun beri cadangan. "Kenapa tidak kita cari tempat yang unik dan luar biasa?" Tentunya saya bersetuju. Walaupun bulan Disember ialah musim hujan, kami main redah aje dan bercadang untuk cari tempat di Janda Baik. Saya memang selesa di tempat itu kerana saya mempunyai apartmen di Selesa Hillhomes. Jadi, kami pun meronda-ronda di kawasan Janda Baik. Banyak tempat yang kami pergi tengok, semuanya cantik-cantik dan ada sungai. Saya memang sukalah. Bila jam dah pukul 2.00 lebih (tengah hari), kami pun lapar (saya dan anak yang kedua). Kami pun cari tempat untuk makan. Nampaklah satu tanda iklan (saya juga dah baca kat Internet), jadi kami pun cubalah cari. Akhirnya kami jumpa dan saya dan anak saya, Irfan, kami jatuh cinta dengan tempat itu. Itulah Saufiville.
Kami pun tanya tuan punya, sama ada dia sanggup tak buat 'wedding' anak saya kat resort dia tu. Masa tu, tempat itu tidak bersedia lagi, sebab masih ada macam-macam yang belum disiapkan lagi, tapi kami dah tak sabar. Mereka sanggup, jadi kami pun adakan resepsi anak saya di tempat itu. Malah, Saufiville memberi saya ilham untuk create 'Kamillavile' di dalam novel saya 'Selamat Malam Kekasih'.
Okeylah... muda-mudahan anda semua dapat tengok tempat ni kat TV dan kalau ada masa, pergilah ke sana, anda tak akan menyesal, kecuali kalau anda bukan jenis 'adventurous'. Bagi saya, Saufiville sangat unik, romantik dan luar biasa. Makanan yang disediakan di tempat itu juga sedap-sedap!
Wassalam.