Assalam
Hujung minggu yang agak sibuk. Semalam ada empat buah majlis perkahwinan. Tiga di waktu siang dan satu malam. Kami sempat pergi tiga sahaja. Yang satu kena miss. Hari ini pun kami agak sibuk juga. Banyak hal yang perlu diuruskan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
Hari ini barulah berkesempatan untuk update blog. Ini pun dah petang.
Semalam, ketika majlis perkahwinan anak salah seorang kawan sekolah suami saya (di waktu malam), kami berbual-bual dengan member lain yang duduk semeja dengan kami. Semuanya kawan-kawan sekolah suami saya ketika di MCKK. Lebih kurang lapan meja, puak kumpulan MCKK dan isteri masing-masing. Memang mereka sangat rapat. Kalau ada aktiviti sahaja, pasti mereka akan berkumpul dan beri sokongan. Kami para isteri terpaksalah menyesuaikan diri. Kebetulan, kebanyakan kawan-kawan suami saya bergelar 'Dato' tetapi mereka sesama sendiri tak pernah guna title 'Dato'. Mungkin hormat kawan-kawan kot. Kebetulan, ramai di antara kawan-kawan suami saya mengenali saya ketika di sekolah lagi. Maklumlah saya berasal dari Kuala Kangsar Perak dan MCKK terletak di bandar raja itu. Saya juga bertemu dengan suami saya ketika kami sama-sama di sekolah. Ketika itu saya tingkatan lima dan suami saya tingkatan enam atas. Jadi... saya kenal teman-teman suami ketika di sekolah lagi.
Apa-apa pun, kami merupakan salah seorang dari teman-temannya yang mempunyai anak-anak yang dah berumah tangga dan mempunyai cucu-cucu. Maklumlah saya dah suami memang kahwin agak muda, jadi anak-anak kami dah lama dewasa. Sekarang ini kami dah tak sibuk dengan kenduri kahwin anak-anak, tetapi kawan-kawan suamilah yang sibuk tak henti-henti mengurus majlis perkahwinan anak-anak mereka. Malah, minggu depan pun ada lagi. Dalam pada itu, ada juga yang mempunyai anak-anak yang dah besar panjang, tetapi belum sampai jodoh lagi. Adoii...
Semalam juga kami ke Bangi kerana ada dua majlis perkahwinan anak jiran rumah lama kami dan juga anak teman suami ketika di Johor Bahru dulu. Seronok berjumpa dengan jiran-jiran lama kami. Dah lama tak jumpa dan bila jumpa sekali-sekala, memanglah banyak cerita. Alhamdulillah.
Beginilah kehidupan, kan? Inilah yang menyeronokkan kita. Jumpa kawan-kawan lama, jumpa jiran-jiran lama. Yang lama itu tetap berharga dan bermakna buat kami. Syukur alhamdulillah kerana Allah berikan nikmat ini yang tak dapat kami ganti dengan wang ringgit. Suami saya kalau dapat jumpa kawan-kawan lama memang seronok sakan!
Wassalam.