Hiasan sahaja
Salam
Alahai, bukannya nak kahwin lagi, tapi kisah orang yang belum kahwin tapi nak kahwin! Okey, kan? Hampir nak masuk musim cuti sekolah, jadi samalah macam masuk musim orang kahwin-kahwin. Seperti biasalah, kan, bila hampir cuti sekolah dan bila cuti sekolah, ramai yang buat kerja kahwin, supaya mudah kaum kerabat dan kenalan yang jauh dapat hadir sama.
Mulai hujung minggu ini (malah, hujung minggu lepas pun dah ada), sampailah pertengahan Jun nanti, kami akan kesibukan. Kami akan ke Johor Bahru (dua kali) insya-Allah dan ke Pulau Pinang juga. Malah, hujung minggu (awal Jun), kami akan ke JB, lepas tu hadir wedding di KL dan terus ke utara pula. Tapi, tak apa. Semua itu adalah kaum kerabat kami juga.
Bila bercerita tentang orang yang nak kahwin ni, saya boleh jadi tersenyum sendirian, sebab kita sebenarnya tak tahu bila jodoh kita tiba, kan? Kadang-kadang, mungkin kerana kita bukan merupakan orang yang boleh dianggap cantik menawan, atau handsome macam hero novel tu, tak mestinya kita susah nak dapat pasangan. Semuanya adalah ketentuan Ilahi. Kadang-kadang, orang yang kita anggap macam biasa-biasa aje, jodohnya pula tiba cepat. Ada tu pula, mungkin kurang pada rupa, tetapi calon pasangannya mungkin handsome giler! Huhu... betul ni beb, bukannya buat cerita. Ada juga mamat yang agak kureng pada rupa, tapi dapat calon isteri yang menarik dan tertarik.
Tak kisahlah dapat pasangan yang macam mana. Itu semuanya luaran sahaja. Yang penting, pastikanlah bakal pasangan kita itu merupakan orang baik-baik. Biar baik hati, kuat imannya, ikhlas sayangnya pada kita.
Entahlah, bagi sayalah, sekarang ini memang susah nak jumpa orang yang betul-betul ikhlas berkawan dengan kita. Banyak yang macam talam dua muka. Tak kiralah lelaki ke perempuan. Kadang-kadang, mereka muncul dengan tiba-tiba dan beriya-iya. Berkawan pun macam ikhlas sungguh-sungguh. Kita pun layanlah. Tahu-tahu, mereka sudah berubah dan jadi musuh kita. Tikam dari belakang lagi! Astaghfirullah... yang inilah yang kita tak suka dan gerun.
Pun begitu, bagi saya, kalau saya tahu kawan saya itu memang jenis ikhlas berkawan dengan saya, sampai mati pun saya tetap berkawan. Susah senangnya juga jadi susah senang saya. Insya-Allah.
