Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Sunday, April 08, 2018

Akhirnya Dia Pergi Jua

Assalam

Minggu yang baru berlalu ini, merupakan minggu yang tersedih buat saya kerana saya telah kehilangan dua orang ayah saudara. Kebetulan, kedua-duanya merupakan ayah saudara-ayah saudara yang terkahir buat saya yang masih ada lagi. Seorang merupakan adik ibu saya dan seorang ialah adik ayah saya. Pada hari Selasa, saya kehilangan arwah Ami Harun, adik bongsu arwah ibunda saya dan pada hari Jumaat pula, arwah Ami Mustafa saya pulang ke rahmatullah. Ami Mustafa merupakan adik bongsu arwah ayah saya.

Pada hari Jumaat itu, sepupu-sepupu kami di Jakarta telah memaklumkan kepada kami  bahawa Ami Mus sedang berdepan dengan masalah kurang oxygen. Kami sama-sama telah melihat monitor yang berada di tepi katilnya. Malah, kami telah ramai ramai mengajar ami mengucap 'Lailahaillallah' sambil mengaji untuknya secara online. Pelbagai mesej yang kami kirimkan dan kami dapat melihat semuanya secara online. Ami kami menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.13 pagi jam Indonesia. Betapa sedihnya hati ini. Walaupun kami dapat menjangkakan yang ami kami tidak mampu untuk bertahan lagi, namun bila dia pergi, bagaikan remuk juga hati ini. Ami Mius kami merupakan seorang insan yang sangat istimewa. Pada usia 95, kami semua berasa teramat sedih dengan kehilangannya itu. Kami tetap bersyukur kerana ami pergi pada hari Jumaat yang mulia, semoga Husnul Khotimah. Jenazahnya dibawa ke masjid dan sempat disolatkan sebaik sahaja mereka menunai solat Jumaat dan kemudian bawa pula ke rumah sepupu saya untuk disolat sekali lagi oleh semua kaum kerabat yang ada. Famili kami memang besar dan betapa beruntungnya ami kami kerana jenazahnya telah diuruskan anak-anak saudara, cucu saudara dan cicit saudara. Alhamdulillah.

Sepanjang hari itu, saya bersedih hati. Walaupun redha dengan pemergiannya, saya tetap sedih kerana ami kami merupakan salah seorang insan terbaik yang pernah hadir dalam hidup kami. Semoga Allah SWT ampunkan segala dosa-dosanya, rahmati dan berkati rohnya dan terimalah dia sebagai insan soleh untuk ke syurga-Nya. Aamiin ya Rabbal alamin.