Assalam
Secara jujurnya, memang banyak orang suka dengan hadiah. Bila dapat sesuatu, tak kira berapa harganya, pasti si tukang yang dapat tu akan tersenyum luas, apatah lagi kalau hadiah itu merupakan sesuatu yang berharga. Misalnya sebuah kereta mewah. Bertambah luaslah senyuman mungkin sampai ke telinga.
Saya juga suka hadiah tetapi biasanya saya akan berasa bangga kalau hadiah itu datang daripada orang yang saya sayang seperti pasangan saya, anak-anak saya dan juga teman-teman yang rapat. Biasanya juga, saya lebih suka memberi daripada mengharapkan sesuatu daripada orang lain. Mungkin saya dah biasa begitu.
Bila kita sentuh tentang hadiah, biasanya juga lelaki suka beri hadiah pada wanita ketika mereka mahu mengambil hati. Bila berkawan, mungkin mula-mula itu mereka suka buat begitu, konon-konon memang mereka merupakan orang yang baik hati. Tetapi ada juga yang memberi hadiah sekadar untuk 'impress' sahaja. Tetapi bila dah terlalu biasa, mereka akan lupa tentang hal itu kerana mungkin selepas waktu tertentu, mereka tidak rasa perlu lagi untuk ambil hati. Apatah lagi kalau dah bosan. Langsung tak payah ambil hati!
Pun begitu, hadiah yang istimewa tidak semestinya datang dengan barang atau apa-apa yang berbentuk material, kerana semua itu kadang-kadang sekadar 'menunjuk-nunjuk' sahaja. Misalnya, bila hari lahir orang tertentu atau kanak-kanak, ada kala orang memberi hadiah kerana terpaksa buat begitu kerana memberi hadiah sudah jadi trend atau 'adat' orang kita.
Mungkin kita harus melihat semula pada perasaan kita kalau kita jenis yang 'hard up' pada hadiah. Doa itu merupakan satu hadiah yang mulia. Doa untuk kawan lebih baik daripada hadiah dari segi material. Misalnya kawan yang sedang berdepan dengan masalah, kadang-kadang doa kita mampu untuk membantunya, setidak-tidaknya membantu memberi semangat.
Hadiah terbaik untuk anak-anak adalah ilmu dan pelajaran. Tanpa ilmu dan pelajaran, anak-anak tak mampu untuk ke mana pun. Kalau kita berikan rumah besar atau wang-ringgit setinggi gunung, namun kalau anak tak berilmu, segala-galanya akan musnah jua.
Hadiah termulia seorang isteri untuk suaminya adalah satu kesetiaan. Kalau seorang isteri itu tidak setia pada suaminya, tak guna pun ada isteri! Namun ramai isteri yang tak setia. Nama sahaja sudah menikah, namun 'kekasih' masih disimpan lagi. Secara senyap-senyap, kekasih menghubunginya. Si suami pula (macam bodoh) percaya bulat-bulat konon-konon si isteri berbudi tinggi!
Begitu juga sang suami. Hadiah terbaik buat isteri adalah penghargaan, penghormatan dan kasih sayang buat sang isteri. Semua ini mampu dilafazkan melalui perbuatan harian, bukan dengan menipunya. Seorang isteri yang sudah banyak berkorban sepatutnya dihargai dan dihormati, tidak pula dengan sengaja melukainya atau tidak berlaku jujur.
Hadiah terbaik untuk diri sendiri adalah kejujuran. Tanpa kejujuran, hati kita mampu dirasuk syaitan!
Begitulah seterusnya. Senyuman itu juga merupakan satu hadiah. Kemaafan juga boleh dijadikan hadiah, terutama kepada musuh kita yang mungkin sudah menyakitkan hati kita. Wallahuaklam.
Renung-renungkanlah, semoga hidup ini lebih baik untuk dunia dan akhirat kita, insyaa-Allah.
Wassalam.
Ramai yang gilakan hadiah yang macam ni kot
Atau mungkin yang macam ni.