Kadang-kadang kita tak sedar pun, ada tempat yang cantik dan istimewa dan letaknya tidak jauh daripada kita. Itulah yang saya rasakan tentang tempat yang saya kunjungi semalam... di siang hari. Bergunung-ganang, berbukit-bukau dan dihiasi pula dengan sungai yang airnya bersih.Rumah-rumah Minang. Perkampungan yang comel-comel. Betapa indahnya tempat ini. Saya kagum dan memang bercadang untuk datang lagi. Malah, saya berasa seronok berada di tempat itu, termasuk bertemu dengan orang-orangnya. Rasa macam balik ke kampung saya juga, walaupun kampung saya berada di utara.
Terima kasih kepada para guru dan juga pelajar sekolah berkenaan, yang telah memberi sambutan yang baik kepada saya dan juga krew kami. Semoga segala nasihat dan tip yang saya berikan akan dijadikan modal untuk masa depan mereka, insya-Allah.
Malam tadi pula... dah lama mungkin, saya tak duduk dan bersembang lama-lama dengan suami saya... berdua sahaja. Malam tadi, itulah yang kami lakukan. Kepada mereka yang dah membaca Matahariku... restoran Arab di Hotel Meridean lah menjadi tempat istimewa saya. Siap makan di dalam khemah... macam cerita tu juga. Mungkin sengaja suami saya nak buat macam tu, sebab dia tahu yang saya suka sangat tempat itu. Kami makan-makan... hingga 11.30 malam. Memang makan agak banyak, tapi yang penting, kami berbual-bual, tanpa ada sesiapa dengan kami kecuali waiter yang melayan. Ah, sekali-sekala memang seronok buat macam tu.Terasa muda semula.
Apa-apa pun, saya bersyukur kerana Tuhan izinkan pertalian yang aman damai antara saya dan suami selama tempoh perkahwinan kami. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, sekalipun kami juga pernah dilanda ombak, namun kesabaran yang dikurnikan Ilahi buat kami berdua, telah berjaya menyemarakkan terus perhubungan ini. Alhamdulillah. Semoga Tuhan teruskan zat ini buat kami ke akhir hayat, hingga ke akhirat. Amin.