Semasa di tapak Pesta Buku semalam, sempat saya berbual-bual dengan seorang guru sekolah yang datangnya dari Johor Bahru. Cikgu itu datang dengan rombongan sekolahnya dan dia telah membeli dua buah novel saya untuk isterinya. Katanya, dia juga suka membaca. Dia juga memberitahu saya yang dia sedang mencari sesuatu yang boleh membuatkan dirinya lebih teruja. Cikgu ini mempunyai ijazah kejuruteraan tetapi telah memilih untuk menjadi guru. Katanya, selain daripada mengajar, dia mahu lakukan sesuatu yang boleh membuat dirinya rasa 'dipenuhi' tetapi tak tahu apa yang patut dilakukannya. Kami berbual dan bertukar-tukar pendapat.
Saya memberitahunya bahawa dahulu saya juga pernah rasa begitu. Mahu cari sesuatu yang boleh buat diri saya lebih teruja dengan kehidupan. Alhamdulillah, saya percaya saya sudah temuinya. Bagi saya, ini sangat penting buat setiap individu. Ia tiada kaitan dengan wang ringgit sekalipun itu dapat membantu. Tetapi yang penting ialah kita dapat kepuasan dengan apa yang kita lakukan ini. Sekalipun kita terpaksa bekerja kuat, kita rasa berbaloi kerana hidup kita dipenuhi dengan perasaan yang menyeronokkan. Saya seronok apabila saya turut dapat berkongsi perasaan itu dengan orang lain.
Carilah dan penuhilah hidup anda dengan sesuatu yang betul-betul boleh membuat anda teruja.