Assalam
Sejak kebelakangan ini hari mendung. Jerebu pun bukan main lagi. Agaknya cuaca di sini sama mendung dengan keadaan negara yang sedang kalut dalam pelbagai hal termasuk politik dan ekonomi. Saya tak mahu huraikan hal ini kerana saya sendiri bukan pakar dan kalau boleh saya juga tak mahu sebarkan sesuatu yang tak pasti akan kesahihannya. Kalau tak betul, mungkin ia akan merupakan satu fitnah. Apa-apa pun, semoga negara kita dilindungi Allah swt.
Hari ini saya nak bualkan tentang iklan yang sering tersebar sana sini di merata-rata saluran dan media. Kalau kita tengok, memang banyak betul iklan syarikat Melayu yang ada kena-mengena dengan kecantikan dan kesihatan. Trend sudah berubah. Kalau dulu-dulu, orang yang berketurunan Cina yang sangat ambil berat tentang kecantikan dan kesihatan. Perempuan Cina (sampai hari ini) akan berbelanja tinggi untuk ke salon kecantikan, buat rambut, buat muka dan macam-macam lagi. Kesihatan juga begitu. Semua orang nak sihat dan ramai juga yang takut mati. Kalau boleh, nak hidup sampai bila-bila.
Sekarang ini, orang Melayu pun dah ikut trend itu. Sangat ambil berat tentang kecantikan. Kalau boleh nak kulit putih gebu. Tak nak ada jerawat dan nak kekal nampak muda sampai bila-bila. Kesihatan juga begitu, takut kalau kena penyakit dan takut sangat-sangat kalau mati. Kerana itulah produk kesihatan dan kecantikan menjadi-jadi. Selain daripada itu, produk Islami juga sangat laku. Segala macam pakaian berhijab dan segala macam tudung menjadi kegilaan kaum wanita di negara ini. Wal hasil ramai yang berbelanja tinggi kerana nak ikut trend hari ini. Ada tu memangnya tak mampu, tapi nak juga bergaya sakan, nak juga nampak cantik.
Oleh kerana apa yang disukai masyarakat Melayu di negara ini, maka keluarlah macam-macam iklan untuk menangkap orang ramai membeli produk mereka. Masing-masing mengaku yang produk mereka yang terbaik dan terbagus! Macam-macam cara nak mainkan minda masyarakat agar membeli produk mereka. Kalau dah hari-hari tengok benda yang sama, mestilah terasuk juga, kan? Dari tak percaya mungkin jadi percaya. Betapa mudahnya untuk mempengaruhi minda kita.
Begitulah berjayanya iklan. Kalau ikut sahaja trend, benda yang kurang pun akan jadi terbaik. Kalau tak berani untuk keluarkan modal iklan, maka produk juga mungkin tak laku.
Tapi kita sebagai pengguna, jangan lupa untuk menilai produk dengan baik, jangan mudah terpengaruh. Kadang-kadang apa yang dioffer itu hanyalah fatamorgana sahaja, sekadar ilusi yang mempengaruhi fikiran kita. Pujuk rayu iklan mampu untuk mencairkan kita, tetapi tak semestinya apa yang kita dapat nanti merupakan sesuatu yang kita betul-betul mahu! Kadang-kadang akibat percaya, kita akan menyesal kerana produk yang kita dapat itu sebenarnya membawa keburukan kepada kita bukan sebaliknya.
Apa yang kita perlukan ialah kebijaksanaan untuk membuat penilaian, bukan sekadar hati cair yang mudah dipengaruhi.
Berjaga-jagalah!
Wassalam
Sekadar hiasan
