Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, July 03, 2007

Hendak Ke Phnom Penh?

Pagi semalam, saya mendapat panggilan daripada seorang pembaca. Kebetulan dia pernah menghubungi saya sebelum ini, ia itu selepas habis membaca Aura Cinta, novel ke empat saya. Kali ini, semasa dia menghubungi saya, saya sedang berada di luar bank. Talian kurang jelas.
"Puan Aina... saya nak beli nopen." Itulah yang saya dengar pada mulanya. Ingatkan saya pembaca itu mahu mencari 'nopen' saya, Semalam Kubermimpi.
"Ada di kedai rasanya..." saya menjawab.
"Bukan puan..." Katanya lagi. "Saya nak pergi Phnom Penh."
"Cambodia?"
"Ya. Saya baru habis baca Bunga-Bunga Kemboja. Saya tertarik dengan novel ini dan tempat yang puan tulis tu, jadi saya pun dah buat tempahan untuk ke sana."
"Bila puan nak pergi?"
"Jumaat ni. Saya akan duduk di hotel yang sama juga macam dalam novel puan tu, di Holiday Villa."
Saya tergamam buat seketika. Bagaikan mimpi. "Betul, puan?" saya tanya lagi, masih kurang pasti. Pembaca saya itu bekerja di Putra Jaya, seorang pegawai atasan.
"Betul. Saya bercadang nak ke Chraing Chamres, ke Killing Fields, Russian Market, Istana Diraja... semualah. Kalau saya naik 'tut-tut' tu, okey, ya?"
Puaslah saya memberi cadangan tentang apa yang boleh pembaca saya itu lakukan di sana, termasuk lawatan ke Siem Reap. Tentunya saya tidak sangka ada pembaca yang begitu ghairah dengan tempat yang saya tulis di dalam novel. Biasanya ramai juga pembaca saya yang mencari tempat-tempat yang saya tulis di sekitar Malaysia ini. Misalnya Pekan Rabu di Changkat Jering, Taiping ( Sesuci Cinta), Sungai Dua, Seberang Perai (Setulus Janji), Kampung Gajah (Seharum Kasih), Pos Betau, Kuala Lipis (Aura Cinta), Kota SeriEmas, Nilai (Kau Laksana Bulan), Kopi Stesen Keretapi, Kluang (Bunga-Bunga Kemboja).
Biasanya, pembaca saya memberitahu saya bila mereka ke sana. Ada satu panggilan di Radio RMKL (KLFM sekarang) dari seorang pembaca Seharum Kasih, memberitahu DJ ruangan sastera, bahawa beliau sedang atur untuk ke Dubai, kerana tertarik dengan apa yang saya tulis tentang tempat itu dalam novel SK. DJ itu memberitahu saya selepas itu.
Begitu juga saya dapat berita dari seorang teman yang mengatakan bahawa temannya di Singapura telah ke UK dan Spain, untuk mengujungi tempat2 yang saya nyatakan dalam Sesuci Cinta.
Saya terharu bila ada pembaca beritahu saya yang mereka teringin untuk ke tempat-tempat seperti yang saya gambarkan dalam novel. Semasa saya muda dulu, perasaan itu ada pada saya setiap kali saya membaca buku yang ada gambaran tentang tempat-tempat, terutama di luar negara. Bila akhirnya saya berjaya ke tempat-tempat itu, saya terasa seperti masuk ke dalam buku yang pernah saya baca itu.
Semoga pembaca saya, Puan Zahira ( dia akan ke Phnom Penh bersendirian) menghayati ilmu dan keindahan yang ada di negara Kemboja itu.