Setiap kali saya mula menulis manuskrip baru, antara perkara penting yang perlu saya hayati ialah watak-watak yang saya susun untuk hidupkan jalan cerita. Saya perlu rasakan kehadiran mereka sekalipun ia sekadar dalam imaginasi. Saya perlu rasakan hati watak-watak utama dan kerana itu juga saya perlu jadi seperti mereka. Walaupun mereka hidup dalam imaginasi saya, mereka tentunya dekat dengan saya. Nama mereka, apa yang mereka suka lakukan, kerjaya mereka, perasaan mereka dan semua yang ada di sekeliling mereka menjadi penting buat saya. Kawan-kawan mereka kini menjadi kawan saya juga. Adik beradik mereka saya kenali semuanya dan ibu bapa mereka, saya dekati.
Setiap apa yang mereka lalui, seolah-olah dapat saya rasakan juga. Malah, saya yang rasainya dahulu sebelum mereka merasanya. Jalan cerita yang saya lakarkan adalah sesuatu yang saya tahu dan tentunya dekat dengan saya.
Inilah perasaan seorang penulis yang ingin menghidupkan sebuah cerita untuk pembaca-pembacanya. Semoga novel saya, akan terus diterima pembaca sekelian. Insya-Allah.