Assalam.
Di hari baik dan bulan yang baik, seorang lagi kenalan kami meninggal dunia. Allahyarham Faisal adalah orang kampung saya yang rumah ibu bapanya terletak di depan rumah keluarga kami di Kuala Kangsar. Arwah ayah Faisal pula adalah tok guru yang mengajar kami mengaji Al-Quran. Suatu ketika dahulu, anak-anak arwah Pak Majid adalah rakan-rakan sepermainan kami adik beradik.
Al Fatihah buat rohnya, semoga tergolong dalam mereka yang beriman, amiinn.
Allahyarham Faisal kami panggil 'Acai' dan dia jauh lagi muda daripada saya, tetapi telah dikhabarkan mengidap penyakit kronik sejak beberapa tahun yang lalu. Terakhir saya jumpa Allahyarham Faisal ketika berada di tanah perkuburan Kuala Kangsar ketika abang angkat saya, Yeop meninggal dunia. Dia juga turut hadir sama walaupun dalam keadaan yang uzur.
Adik saya Fikri telah pulang ke Kuala Kangsar mewakili keluarga kami.
Semoga rohnya tenteram di alam barzakh. Amin.
Mungkin sangat baik kalau kita sentiasa ingat kepada kematian. Kalau kita lupa, bermakna kita tak akan ambil kisah tentang kebaikan dan amal jariah yang perlu kita lakukan ketika masih bernyawa. Malah, kita tak ambil kisah tentang ibadah yang perlu kita lakukan, apatah lagi kegiatan dakwah yang juga merupakan kewajipan kita. Tambah pula kalau kita masih muda, kita ingat kita akan lambat mati, namun Allah yang mengaturkan segala-galanya. Walaupun muda, kalau dah sampai ajal, kita akan diambil pergi jua. Semoga kita sentiasa beringat, bukan sekadar mengejar harta dunia sahaja. Wallahuaklam. Kerana akhirnya, kita akan ke sana juga.
Wassalam.
