Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, November 01, 2011

Menangislah Sayang...


Salam, semua

Mungkin itulah yang perlu kita lakukan bila hati berasa sedih, teramat sedih. Luahkan perasaan dengan menangis semahu-mahunya. Itu lebih baik daripada menahannya di dada. Wallahua'lam.

Ada orang, memang mudah menangis. Baca buku yang tak sedih pun boleh menangis. Ada seorang teman baik saya, telah membaca novel kedua saya iaitu 'SEHARUM KASIH'. Katanya kepada saya, "I menangis teresak-esak, sedih sangat." Saya pula jadi hairan, di mana agaknya dalam novel itu yang boleh buat dia rasa sedih begitu. Setahu saya novel itu memang bukan novel yang mempunyai jalan cerita sedih. Kalau ada pun, terlalu sedikit untuk membuat pembacanya menangis. Tapi, kawan saya memang jenis yang begitu, mudah tersentuh hatinya dan murah pula air matanya.

Ada orang, memang suka baca novel sedih. Suka juga tengok filem dan drama yang sedih.

Saya pula, tak mudah sangat nak menangis, tetapi ada perkara-perkara tertentu yang boleh buat saya menangis, misalnya hal kanak-kanak atau hal orang-orang tua. Benda-benda seperti itu boleh buat saya menangis. Cerita cinta payah nak buat saya menangis, kecuali ada perkara-perkara tertentu yang mengingatkan saya kepada sesuatu yang dekat di hati.

Ada orang pula, memang payah benar nak menangis. Benda berat dan menyedihkan pun tak mampu membuat dia menangis. Kalau perkara itu tidak berkaitan secara langsung, tak apalah. Tapi kalau ada kena-mengena dengan dirinya, eloklah kalau dia luahkan rasa sedih dengan menangis. Jangan kita simpan rasa sedih dalam hati. Semakin lama, semakin berat jadinya.

Saya pernah dengar kisah seseorang yang mempunyai masalah rumah tangga. Hidupnya sentiasa tertekan kerana tak sanggup dengan kerenah suaminya. Namun, dia teruskan sahaja tanpa luahkan perasaan di mana-mana. Akhirnya, kelakuannya mula berubah seperti orang 'gila meroyan', tak tentu pasal dia menghentam orang. Kerjanya ialah untuk 'attack' sana sini hinggakan kawan-kawan dan orang sekelilingnya pula lari. Jadi... janganlah kita amalkan 'simpan rasa sedih' hingga memakan diri kita pula.

Sekalipun perkara kecil, luahkanlah. Jangan bebankan perasaan. Kalau mampu menangis seorang diri, lakukanlah. Memang tersangat bagus kalau kita luahkan perasaan pada Allah SWT, terutama setelah kita selesai solat. Berdoalah dan mengadulah kepada Tuhanmu. Insya-Allah, kita akan berasa lega. Kalau kita ada teman yang baik, berceritalah padanya dan menangislah. Kecil atau besar, tak ada masalah yang tak mampu pergi. Begitulah perasaan sedih. Biasanya, rasa sedih akan pergi jauh kalau kita usahakannya. Namun, kalau kita biarkan, kita akan jadi orang yang suka marah-marah, orang yang susah nak mesra dengan orang lain, orang yang tidak fokus (kerana kepala otaknya berserabut) dan tentulah orang yang begini, payah nak ada kawan.

Kalau ada sesuatu yang membuat anda berasa sedih, menangislah...