Mungkin orang muda hari ini, tak tahu pun tentang kewujudan 'TELEGRAM' dalam sistem komunikasi yang ada. Ini merupakan satu sistem yang terpenting sebelum adanya Internet dan juga telefon bimbit. Buat suatu masa dahulu, telegramlah merupakan cara terpantas untuk menghantar mesej penting.
Saya ingat suatu masa dahulu, kalau ada telegram yang dikirimkan, hati pasti akan jadi berdebar-debar, takut ada berita buruk yang dikirimkan. Kecualilah kalau kita sedang menantikan sesuatu, misalnya tentang ketibaan seseorang itu! Hah... mesej yang macam tu, memang mendebarkan juga!
Saya masih ingat lagi suatu cerita yang benar-benar telah berlaku. Semasa itu, saya baru lagi berkhidmat di UKM... masih muda lagi. Seorang rakan rapat (Macam adik angkatlah), tiba-tiba saja berubah hati. Tak jadi nak menikah dengan tunangannya. Katanya dia telah dipaksa dan hatinya tak ada pada si gadis yang tinggal jauh itu. Suka tak suka, terpaksalah dia menghantarkan telegram untuk menyampaikan berita yang pahit bagaikan racun itu. Saya teringat lagi pada wajah 'Mr. Postman' yang terpaksa menghantar mesej itu. Aduhai... memang tak enaknya!
Semalam, saya baca sebuah novel mat salih. Pakwenya mengirimkan telegram yang menyampaikan mesej cinta. Katanya kalau hantar SMS atau e-mail... tak adalah bukti dan kenangan untuk disimpan. Aduhai... romantiknya. Bayangkanlah bila anda terima telegram yang menyatakan, "Aku rindukan mu bagai nak gila... dan kaulah cinta hatiku..." Mesti nak simpan telegram itu sampai bila-bila. Nak tunjukkan pada anak cucu.