Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, March 02, 2006

Cerita Lain Pula

Mahu sambung cerita semalam? Mmm....(saya berfikir).
Pagi ini, tak ada mood pula untuk menyambung cerita itu. Entah mengapa, malam tadi saya asyik teringat satu memori silam, yang membuat saya tersenyum berkali-kali. Rasanya elok kalau saya bawa anda kembali kepada cerita lama itu, semasa saya tinggal di Greater Manchester, sekitar 16 tahun yang lampau.
Pagi itu suami saya maklumkan, "hari ini pelajar-pelajar baru, sampai dari Malaysia. Pihak MSD kata pelajar yang akan belajar di Manchester ni ramai, dan tak ada tempat tinggal. Semua famili di Manchester kena ambil beberapa orang untuk tumpangkan sementara, di rumah masing-masing."
"Habis tu... kita pun kena tumpangkan ke?"
"Iyalah. Kita kan ada bilik." Jawab suami saya.
"Okey. Tapi... I tak nak perempuan. Ambil budak lelaki sahaja. Budak perempuan ni... cerewet. Budak lelaki senang sikit. Apa yang I masak, dia orang makan saja. Kalau budak perempuan... nanti payah." Terus-terang saya beritahu suami saya semasa dia hendak keluar.
Kebetulan, saya sudah biasa dengan pelajar lelaki yang selalu melepak di rumah kami. Saya selesa dengan keadaan itu. Lagipun, ketika itu saya ada dua orang anak lelaki (10 dan 6 tahun), dan seorang anak perempuan (2 tahun).
Sebelum suami saya pulang membawa pelajar-pelajar baru itu, dia terlebih dahulu telah menghubungi saya di rumah. Ketika itu, kawan baik saya, F, juga berada dengan saya.
"Eh... I tak dapatlah budak lelaki. Semua dah diambil famili lain."
"Habis tu?" Soal saya balik.
"I kena ambil budak perempuan. Pelajar baru yang tiba ni, ramai perempuan... nak buat macam mana ya?"
"Berapa orang yang kita kena ambil?"
"Empat."
Alamak! Bisik hati saya. Dahlah perempuan, sampai empat orang pula tu. Matilah saya nak melayan kerenah mereka ni. Walaupun kurang puas hati, saya terpaksa terima sahaja. Saya kesiankan mereka kalau tak ada tempat nak tinggal. Bayangkanlah, baru sampai di tempat orang, dan tak tahu mana nak pergi. Saya berfikir lagi. Mungkin satu hari nanti, anak-anak saya juga ada yang merantau. Biarlah saya terima sahaja budak-budak perempuan ini. Lagipun, kata suami saya, "sekejap saja tu. Dua atau tiga hari. Bila dah dapat tempat, dia orang tak duduk dengan kita lagi."
Saya, F dan anak-anak tunggu di ruang tamu. Sebaik sahaja suami saya tiba, muncullah ke-empat-empat gadis (sekitar 21 tahun) dengan membawa beg-beg besar.
"Bestnya rumah ni. Cantik dan panas." Saya masih teringat kata-kata awal daripada M, salah seorang daripada 4 orang pelajar perempuan itu.
Kebetulan juga, rumah kami itu kami telah beli bila mula-mula sampai di UK dulu. Jadi, semestinya rumah kami jauh lebih elok daripada rumah kebanyakan pelajar di sana. Kami ada 4 buah bilik tidur. Satu telah saya jadikan tempat belajar. Tapi kerana kami terpaksa menerima 4 orang tetamu, saya minta anak-anak saya berpindah ke bilik belajar. Dua bilik kami serahkan kepada 'tetamu2' kami itu.
M, A, L dan S telah tinggal dengan kami, lebih daripada sebulan. Sebenarnya, tidak mudah untuk dapatkan rumah sewa yang selesa di Manchester. Walaupun pada mulanya saya agak keberatan untuk menerima budak-budak perempuan itu, tapi setelah tinggal beberapa hari dengan saya, kami menjadi rapat. Saya tidak sampai hati untuk melihat mereka ditempatkan di rumah yang tidak selesa. "Tinggal saja di sini, sampai kamu semua dapat tempat yang baik."
"Tapi Kak T(masa tu saya belum guna nama glamour), seganlah nak menyusahkan Kak T. Makan minum kami lagi."
"Tak apa. Saya ikhlas."
Saya menjadi rapat dengan mereka semua, terutamanya M dan A. Tapi, dengan M, saya betul-betul rapat hingga ke hari ini. Kami selalu berjumpa. Malah, semasa M berkahwin di Taiping, saya dan famili telah ke sana. Sekarang, kami selalu berjumpa... makan tengah hari, dan M rajin ke rumah saya dengan keluarganya. Alhamdulillah.
Bagi saya, kita boleh merancang, tapi TUHAN yang lebih mengetahui. Perhubungan saya dengan M semasa di Manchester dulu bagaikan adik-beradik. Banyak rahsia yang kami berkongsi. Semasa di Manchester juga, kami selalu keluar bersama bagai satu keluarga besar. Saya masih ingat, semasa saya hantar M ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia, saya menangis.
Saya tidak pernah menyesal menerima kedatangan ke empat-empat gadis itu di rumah saya. Malah, itulah hikmah mengapa mereka telah dipilih untuk bertemu dengan saya. Syukur alhamdulillah!
Thank you M... I will always love you, insyaAllah!