Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Sunday, October 30, 2011

Nak Hidup Lama?







Salam

Kalau tanya siapa-siapa pun, hampir semua orang hendak hidup lama, maknanya mahukan umur yang panjang. Hanya orang yang kepalanya kurang betul saja yang tak mahu hidup lama. Huhu... apa pun, itu bukan hak kita untuk menentukannya. Hanya Allah SWT yang tahu dan tentukan bila kita akan mati. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa. Kadang-kadang, dah buat semua tu, masih juga tak kesampaian.

Tapi, adakah kita ambil kisah tentang kualiti hidup kita? Maknanya, masa-masa hidup kita yang berlalu ini, adakah ia penuh makna buat kita atau sekadar hidup sahaja?

Weh, confuse lah! Apa ni, nak cakap apa ni?

Susah jugak ek, nak explain apa yang saya nak kata ni.

Pendek kata, apa yang saya nak kata ni ialah adakah kita berasa bahagia dengan hidup kita?

Tapi, bahagia tu apa?

Banyak orang keliru, malah ramai juga yang tak tahu. Kalau kita masih muda, mungkin bagi kita bahagia itu bila kita sedang bercinta. Kalau nak tahu... itu sekadar cerita Hindustan atau drama Korea sahaja. Sebenarnya, bahagia itu berkaitan dengan macam-macam dalam hidup kita, bukan setakat bercinta sahaja. Bercinta hanya sebahagian sahaja, mungkin 10%, mungkin lebih, mungkin juga kurang, tapi kasih sayang antara insan di sekeliling kita itu adalah penting. Bagaimana perhubungan kita dengan mereka yang dekat dengan kita? Adik kita, ibu bapa kita, abang kita, kakak kita, kawan kita, jiran kita, rakan sekerja kita, bos kita, rakan sekolah kita, rakan kolej kita, kawan lama, kawan baru dan macam-macam lagi.

Kalau kita rasa hidup kita dikelilingi dengan kasih sayang insan-insan yang dekat dengan kita, walaupun kita tidak bercinta dengan siapa-siapa, kita akan tetap rasa bahagia.

Kita tanya diri kita, kesihatan kita bagaimana pula? Jangan ingat kalau kita muda, kita tak perlu ambil tahu tentang hal itu. Ini sangatlah merugikan, kerana dari mudalah kita kena jaga kesihatan. Cubalah jangan merokok. Bukan kerana rokok itu macam racun, tetapi ia juga satu kaedah yang membazirkan apa-apa pendapatan kita. Sangat merugikan.

Lakukanlah senaman. Kata orang putih, 'be active', jangan asyik duduk goyang kaki. Memang rugi. Kalau tak tahu nak buat apa pun, bawalah berjalan kaki setiap hari. Tiga puluh minit pun dah okey dah.

Lepas tu, jagalah makan. Jangan main 'tibai' aje. Bila bersarapan, biar makan elok-elok dan puas-puas. Sarapan itu penting. Makan tengah hari dan makan malam, biar kurang. Cuba juga kurangkan makan nasi, kecuali kalau kita memang kena buat kerja berat. Jangan amal minum air bergas. Kalau kita hanya kerja kat ofis, cuba jangan makan nasi terlalu banyak. Takut nasi itu berubah jadi gula dalam badan. Apa pun, jangan terlalu berpantang makan. Makan secara bersederhana, makan semua yang baik-baik, cuma berjaga-jaga.

Jangan biarkan hidup kita terikat dengan apa 'orang kata'. Kadang-kadang kita lakukan perkara-perkara yang kita tak suka. Kita buat kerana kita rasa itulah yang elok dibuat, kerana kita percaya dengan cakap orang. Malah, jangan terlalu terikat dengan 'media'. Kadang-kadang mesej-mesej yang dipaparkan adalah iklan semata-mata, bukan baik untuk kita pun. Soal-soal material lah yang selalu memerangkapkan kita dalam hal-hal yang tidak sihat. Kad kredit, hutang personal dengan bank, beli barang-barang elektronik yang kita tak perlukan, hiburan yang membuang masa kita dan tak menguntungkan, malah banyak lagi perkara-perkara yang merugikan 'kualiti' hidup kita.

Belajarlah untuk relaks pada masa-masa tertentu (misalnya di hujung minggu), pastikan anda cukup tidur, pastikan juga anda bangun awal pagi (baik untuk mental dan kesihatan badan), hubungkan diri kita dengan alam, dengan pokok, dengan binatang, dengan alam sekeliling. Jangan suka membebel, jangan suka bergosip kisah orang, jangan suka jaga tepi kain orang tak tentu pasal, lakukan perkara-perkara baik untuk orang lain. Setiap kali kita baik pada orang, setiap kali itulah jiwa dan hati kita berasa lega. Kita akan berasa lebih bahagia bila hati dan jiwa kita lega.

Rajinlah membaca. Itu adalah satu cara untuk tenangkan hati dan jiwa. Kalau tak suka baca berat-berat, bacalah yang ringan-ringan. Membaca sangat baik untuk otak kita. Kalau umur panjang tetapi otak tak sihat pun, tak guna juga, betul, kan? Kalau kita ada anak, adik dan lain-lain, ajarlah mereka untuk suka membaca. Malah, ajaklah suami dan isteri untuk suka membaca.

Dalam semua hal, paling penting dalam hidup kita, pastikan diri dekat dengan Tuhan. Jangan abaikan solat. Solat wajib itu wajib, tetapi rajin-rajin juga buat solat sunat. Yang wajib itu memang dituntut, tetapi yang sunat itulah perbuatan kita yang menunjukkan 'kasih' kepada Allah SWT. Rajin-rajin berzikir, rajin juga berdoa. Bersyukurlah selalu. Rajin-rajin juga buat solat taubat. Rajinlah bersedekah, tetapi jangan suka minta sedekah. Buatlah amalan sebaik mungkin agar diri sentiasa berasa tenteram dan aman.

Panjang umur atau tidak, itu adalah hak Allah SWT, yang penting kita cuba hidup dengan berasa bahagia, aman, tenteram, suka dan terasa nikmat dan kualitinya. Semoga kita hidup aman dan bahagia bukan sekadar di dunia, tetapi akhirat juga, insya-Allah.

Wallahua'lam.