Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, November 30, 2010

Yang Jadi Idaman Hati


Gambar sekadar hiasan

Salam

Cantik itu subjektif, kan? Ada orang kata si A tu cantik, tapi orang lain pula tak bersetuju. Katanya A biasa-biasa aje. Kata orang pula, B itu menarik, tapi orang lain pula tak kata macam tu. B tu tak nampak di mana menariknya?

Kalau kita cari teman atau pasangan, yang mana agaknya yang boleh menarik perhatian kita? Rupanya ke atau hati budinya?

Oi... hati budi pun, subjektiflah. Ada orang kata, macam ni baik. Macam ni apa? Alah, macam cakap lembut-lembut, tak kasar. Sangat prihatin, sangat bertimbang rasa. Rajin tanya khabar. Hah, yang macam tu lah. Kalau dapat pasangan yang macam ni, rupa yang tak lawa pun akan berubah jadi lawa.

Ya ke?

Lawa tu macam mana, ek? Yang mata bulat ke mata sepet? yang hidung mancung ke yang hidung biasa-biasa. Yang kulit putih ke atau sawo matang, atau kuning langsat atau hitam manis? Yang muka bulat atau muka bujur?

Ada orang (yang belum kahwinlah ni), dah siapkan kriterianya. Hendak yang putih kulitnya, yang muka bulat, hidung dan mata cantik...

Ada tu pulak, hendak yang tinggi, yang slim, yang matanya macam buah badam, kulit 'sun tan', jalan macam model.

Yang perempuan pulak, ada yang nak cari pakwe yang macam 'bintang bollywood', ada tu pulak yang macam bintang Korea. Ada yang nak muka 'comel' ada tu nak yang badan tegap. Adoi!

Memang subjektif.

Tapi... biasanya, apa yang kita cari, itu yang kita TAK dapat.

Kenapa ek?

Sebabnya, Tuhan yang tahu apa yang sesuai untuk kita. Kita sekadar inginkan sesuatu yang jadi impian, tetapi tak semestinya impian kita sesuai buat kita.

Saya kenal lah orang ni... dia pernah kata dia nak cari awek yang jauh lebih muda daripada dia. Yang tinggi dan yang menarik. Okeylah... yang menarik tu, dia dapat. Tapi... isterinya rendah sahaja dan lebih umur dari dia. Namun, itulah yang dia sayang. Hehe...

Kan saya dah kata... kadang-kadang (Selalulah jugak), apa yang kita cari kita tak dapat. Kita dapat yang lain, tetapi jauh lebih baik daripada apa yang kita hendak.

Wallahua'lam.

Monday, November 29, 2010

Siapalah Si Kenit-Kenit Ni?





Salam

A'ahlah, siapalah budak-budak ni?

Kat atas sekali ialah Firas, yang tengah ialah Ali dan yang kat bawah tu... huhu, dua sanggolat. Black and white... hehe. Nabil dengan Yusufia.

Musim Cuti-Cuti




Salam

Memang sibuk di musim cuti sekolah ni. Jalan raya sibuk, kampung-kampung pun sibuk, bandar pun sibuk, shopping complex lagi sibuk. Adoi!

Hujung bulan depan, di musim krismas, saya dan Mimie Afinie, insya-Allah akan berada di Utara. Pada 24 Disember, akan berada di kedai POPULAR Komtar, Pulau Pinang dan pada 25 dan 26 Disember, akan berada di kedai POPULAR Alor Star. Jadi, orang-orang Utara, jom... mailah datang jumpa kami berdua.

Tengah minggu ini (2 Disember), Insya-Allah pada hari Khamis, saya dan suami akan berangkat ke luar negara. Nak relaks and makan angin. Penat, beb! Pagi Khamis saya akan maklumkan destinasi kami. Takut kalau-kalau ada perubahan!

Nampaknya, bulan Disember ni memang banyak jemputan majlis perkahwinan, juga jemputan majlis makan malam syarikat-syarikat. Adoi... kelam kabut lagi.

Okeylah... petang semalam kami ke Felda Jelai, menghadiri majlis perkahwinan anak sepupu saya. Pengantin lelaki bertugas di JPM, Putra Jaya, dan isterinya (Adoi... lupa nak tanya) cantik orangnya. Siap ada lesung pipit lagi (orang Puncak Alam). Majlis perkahwinan di kampung memang seronok, walaupun saya dan suami tiba agak lewat. Tapi... ahli keluarga keluarkan apa-apa saja yang ada untuk pastikan kami merasa. Kami bukan sengaja lambat, tetapi jalan raya sibuk, dah tu hujan lebat. Kami pula keluar rumah agak lambat juga sebab kami kena ke pasar dulu, kalau tak, stok makanan habis pulak.

Saya seronoklah ke sana sebab dapat jumpa kaum kerabat yang datang dari Kedah. Sepupu saya ni berasal dari Sungai Tiang, Kedah. Puak Kedahlah yang ramai datang. Dapat juga jumpa anak-anak saudara sepupu, semuanya dah besar panjang. Insya-Allah, tengah bulan ini ada lagi wedding anak sepupu yang akan berlangsung di Temerloh dan di Rawang.

Hari Sabtu lepas, semasa kami ke KL untuk berjumpa dengan teman yang datang dari Yemen, kami tersangkut juga dalam kesesakan jalan raya. Cadang nak sampai enam petang, pukul tujuh baru tiba. Kami solat maghrib dulu, lepas tu barulah berjumpa. Hai KL... risau betul dengan jalan raya yang sentiasa sesak. Sakit badan dibuatnya!

Hari ni, saya masih sibuk... sibuk ke mengantuk? sebenarnya kepenatan. Itulah... bila bercuti nanti, barulah boleh rehat. Itu pun kot-kot aje. Insya-Allah lah.

Wassalam.

Saturday, November 27, 2010

Perang Dingin


Salam,

Kenapa orang berperang dingin?

Kalau antara negara, mungkin kerana rebutkan sesuatu seperti pulau yang terletak di kawasan sempadan. Atau mungkin juga polisi yang diamalkan oleh negara-negara itu. Mungkin juga kerana kuasa atau pengaruh politik dan macam-macam sebab boleh berlaku.

Perang dingin antara ahli keluarga pula biasanya berlaku kerana 'harta pusaka', kerana 'perkahwinan' dan kadang-kadang adalah kerana pertengkaran. Sebab-sebab ini boleh menyebabkan ahli keluarga, kakak dan adik, abang dan adik, emak dan anak, dan yang lain-lain tidak bertegur sapa. Masing-masing akan mengelak daripada berjumpa. Kalau bertemu pun, tak akan ada apa-apa yang mahu dibualkan. Buat tak reti sahaja.

Perang dingin antara suami isteri juga boleh berlaku. Biasanya suami isteri yang berperang dingin akan berlakon macam okey aje bila ada orang lain yang datang bertandang! Di depan orang biasanya mereka akan buat-buat baik. Tapi bila tak ada orang, mereka tak bertegur sapa.

Sebabnya kenapa?

Macam-macam sebablah... biasalah tu. Mungkin tak sah kalau suami isteri tak bertengkar. Dulu-dulu masa perkahwinan saya masih muda, saya memang teramat sensitif. Tak boleh tersilap langsung. Terus merajuk dan itu merupakan sebab utama mengapa saya berperang dingin dengan suami. Kadang-kadang tu, tak tahu pun sebabnya. Kadang-kadang tu macam tak bersebab, tahu-tahu saya dah merajuk. Huh!

Itu dululah. Sekarang tak ada lagi, insya-Allah. Alhamdulillah, semakin matang semakin saya berubah dan belajar untuk tidak merajuk lagi. Mungkin juga kerana lama dah kahwin, suami saya dah tahu stail saya dan kerana itu dia tidak buat saya merajuk lagi. Hehe...

Apa pun, saya selalu diberitahu tentang hal ini. Perang dingin antara suami isteri. Bagi saya, okey ajelah kalau nak berperang macam tu, cara dingin-dingin saja, bukan bertengkar panas. Yang dingin ni mudah nak dibaiki semula. Cakap baik-baik, pujuk-pujuk, cepatlah lembut hati. Bukan susah pun. Yang susah bila merajuk berpanjangan. Bertambah susah kalau tak mahu dipujuk. Nasihat saya kepada suami isteri yang masih muda umur perkahwinannya, agar jangan besarkan benda-benda yang kecil. Jangan keruhkan keadaan yang sudah tak tenteram itu. Carilah jalan untuk berbaik-baik semula. Biasanya bila dah berbaik tu, perhubungan akan jadi lebih mantap! Insya-Allah.

Saya tak cakap pasal siapa-siapa ni, sekadar mengingatkan diri dan juga siapa sahaja yang membaca blog ini.

Selamat bertenangkan diri di hujung minggu. Petang nanti saya nak ke KL, nak jumpa member yang datang dari Yemen. Esok pula, nak ke Felda Jelai, ada majlis perkahwinan.

Wassalam.

Friday, November 26, 2010

Kaki Kelentong


Salam

Kalau kita tengok di kamus Dewan, kelentong ialah sejenis alat bunyi-bunyian yang diguna penjaja untuk memanggil pelanggan. Tapi, kelentong yang saya maksudkan di sini ialah teknik penipuan yang dilakukan oleh manusia dengan menggunakan kata-kata yang boleh memperdaya. Huh!

Bukan semua orang pandai kelentong, tapi kalau ada yang bijak mengelentong, memang menggerunkan. Apa sahaja yang dikatakannya, kita kena berjaga-jaga. Ada orang memang dah jadi hobinya, apa saja pun hendak dikelentong. Ada tu, dah jadi macam hobi. Kelentong secara suka-suka dan tak serius. Yang itu, tidaklah bahaya sangat. Yang menakutkan ialah mereka yang memang dah pakar dan memang suka kenakan orang lain. Saya maksudkan sebagai 'take advantage'. Apa saja, hendak diambil kesempatan!

Kawan baik saya bercerita tentang rancangannya nak beli sebidang tanah yang hendak dijadikan kebun. Tanah yang menjadi idamannya agak murahlah juga dan kawan saya tu dah beria-ia lah nak uruskan. Dia bertanyalah pada saya macam mana nak buat. Saya berikanlah satu salinan perjanjian untuk dia ikut (kebetulan saya dan suami baru lagi beli tanah kebun dan kami uruskan sendiri tanpa peguam). Kawan saya dah bayarlah 'earnest money'. Seterusnya dia buatlah perjanjian dan bercadang nak bayar deposit 10% sementara nak tunggu prosesnya selesai.

Tapi malangnya, mamat tuan tanah tu boleh pula tak nak sain perjanjian. Dia kata bila dah bayar semua baru nak sain perjanjian. Kawan saya pun menggelabahlah. Saya kata mana boleh macam tu. Semua orang yang beli tanah mesti ada perjanjian. Mana boleh kita bayar 10% harga tanah tapi tak ada perjanjian apa-apa. Geran tanah pula masih dengan tuan tanah. Bahaya tu.

Mamat tuan tanah (Seorang lelaki muda dan kebetulan dia pula cacat-lumpuh)tu masih berdegil. Dia kata tak nak sain apa-apa. Last-last kawan saya kenalah tarik diri. Macam mana nak beli tanah kalau tuannya tak nak buat perjanjian. Duit orang hendak, tapi berjanji tak hendak. Dalam Islam pun, kalau kita ada janji untuk jual beli, kita juga kena lakukan secara bertulis. Tak boleh main cakap mulut aje. Air liur memang tak laku.

Mamat tu boleh main ambil aje duit kawan saya tanpa rasa apa-apa. Pada hal dah tak jadi nak beli tanah tu dan semuanya kerana salah dia juga. Yang malangnya juga, mamat (tuan tanah tu), boleh keluarkan kata-kata kesat pada kawan saya melalui e-mel. Huh, punyalah kurang ajar! kesian kawan saya.

Sebenarnya, kawan saya ni dah berkali-kali kena kelentong macam ni. Dulu pun kami pernah bayar untuk beli tanah di kawasan Ulu Langat. Lepas tu, tuan tanah kelentong. Saya dapat balik duit saya, tapi kawan saya tu sampai sekarang tak dapat apa-apa. Saya dapat balik pun sebab pakai peguam, kalau tak, mungkin 'burn' jugak. Yang peliknya, sekarang ni tuan tanah (yang di Ulu Langat tu) selalu iklankan program percutian di atas tanah yang kami pernah bayar tu! kalaulah orang lain tahu yang tuan tanah tu kaki penipu.

Saya dan suami, kami memang gerun bila tiba masa nak beli 'property'. Berkali-kali kami kena tipu. Insya-Allah, sekarang ini dah pandai nak urus supaya jangan kena tipu lagi. Tak tahulah kenapa, ada manusia yang memang tak jujur dan tak kisah pun kalau dapat kenakan orang lain. Mereka seronok dapat ambil duit (free) orang dan tak rasa bersalah kalau makan duit orang dengan cara menipu! Nauzubillah.

Thursday, November 25, 2010

Kenapa Marah-Marah?



Salam

Pernah tak kita rasa hairan apabila berada di suatu kawasan dan sedang mencari-cari makanan untuk minum petang. Pusing punya pusing yang kita jumpa hanyalah peniaga-peniaga yang jual pisang goreng. Tak ada benda lain!

Kita cuba lagi, tapi tak juga jumpa-jumpa.

Kita nak buat macam mana? Nak marah ke, pada orang yang jual pisang goreng tu? Takkan kita nak pergi jumpa penjual-penjual tu dan nak kata, "Eh, pasal apa jual pisang goreng, ya? Jual lah benda lain. Jual lah kuih pau ke, mee goreng ke, roti sandwich ke... apa-apa lah yang bukan pisang goreng!"

Mesti peniaga tu akan berkata, "Iyalah... buat masa ni, inilah rezeki saya. Saya pun tak tahu kenapa orang kat sini tak jual benda lain untuk makanan petang. Agaknya benda lain kurang laku. Orang kat sini memang suka pisang goreng. Saya buat ni, tak pernah tak habis, insya-Allah."

Kita jadi nak marah. 'Apalah! jual lah makanan lain yang lagi glamor dari pisang goreng. Macam dah tak ada idea lain dah.'

Isy, isy, isy... nak marah buat apa? kalau tak suka pisang goreng, tak payahlah marah-marah. Tak usah beli dan tak usah makan. Tak usah pedulikan orang yang jual atau orang yang beli pisang goreng tu. Kita boleh saja masuk restoran dan cari makanan lain. Boleh beli piza, boleh suruh mamak kedai gorengkan mee atau apa-apa saja!

Inilah cerita dunia buku di Malaysia. Memang ramai betul yang tak puas hati dengan lambakan novel-novel bertema cinta di pasaran hari ini. Ada yang bertanya kepada saya, kenapa agaknya jadi begini?

Huh! nak jawab pun dah jadi malas sebenarnya. Maklumlah ramai yang beranggapan kalau penulis hanya mampu menulis novel bertema cinta, penulis itu tidaklah bijak mana. Kenapa penulis tak tulis novel-novel bertema lain dari cinta?

Agaknya teorinya sama juga macam orang jual pisang goreng tadi. Penjual jual pisang goreng sebab laku dan penggemar pisang goreng memang banyak.

Tapi... macam cerita pisang goreng ni lah, kalau marah sangat orang jual pisang goreng, kenapa yang marah ni tak nak usahakan untuk jual benda lain? Pergilah jual cucur udang. Buatlah mi kari atau mi sup, jual waktu petang. Mesti ada yang datang untuk beli. Janji masakannya sedap. Lepas tu nanti janganlah kompelin kalau ada orang lain nak terus jual pisang goreng!

Manusia perlukan pilihan. Sediakanlah pilihannya. Kebetulan mungkin, atau dengan teori-teori tertentu, pasaran novel bertema cinta lebih mantap di negara ini. Saya percaya kerana pembaca perempuanlah yang rajin membaca novel. Malangnya, selain daripada penulis wanita, penulis lelaki juga suka menulis novel cinta. Ada yang mengguna nama pena perempuan. Malah, ada yang bertaraf 'ustaz' juga turut menulis novel cinta... tapi cerita cinta Islami lah...

Habis tu, kita nak marah pada siapa?

Kita janganlah marah-marah sangat. Sebenarnya membaca novel bertema cinta ini banyak juga kebaikannya, terutama untuk wanita. Jiwa mereka lebih tenteram. Hati mereka lebih relaks. Membaca novel adalah satu terapi.

Kalau anda tak suka novel bertema cinta, usahakanlah untuk tulis benda lain. Pasarkanlah. Jangan takut untuk menulis, kerana itu lebih baik daripada terus marahkan orang lain yang menulis novel cinta!

Wallahua'lam.

Wednesday, November 24, 2010

I Love You Kuala.



Salam

Pernah suatu ketika dahulu ketika saya masih remaja, saya rasa bagaikan tak mungkin suatu hari nanti saya akan tinggalkan kampung halaman saya. Kuala Kangsar. Pekan kecil itu merupakan tempat saya dilahirkan dan juga dibesarkan. Walaupun semasa kanak-kanak kecil, saya juga pernah tinggal di Batu Pahat, sekitar lima tahun mungkin. Tetapi sebaik sahaja saya mula bersekolah, saya sudah berada kembali di Kuala Kangsar.

Saya dibesarkan dengan loghat Perak yang kuat. 'Kome', 'mika', 'teman', 'gemo', 'getik' merupakan bahasa seharian saya. Apabila dewasa, saya hampir tak tahu nak bercakap dengan gaya bahasa 'standard'. Huhu... betapa kuatnya penangan Sungai Perak.

Sungai Perak juga merupkan tempat main saya dan ahli keluarga yang lain. Semasa saya kanak-kanak, saya rapat dengan sepupu-sepupu tiri saya (kedua-duanya sudah pulang ke rahmatullah) selain daripada adik beradik saya sendiri. Kami sering ke sungai pergi menangkap ikan. Kami pernah ke 'Lubuk Mat Anjing' (kawasan perairan yang bahaya) untuk menangkap ikan. Saya pernah ikut kawan naik bot kecil merentasi Sungai Perak semasa musim banjir. Masa tu, rasa macam nak mati dah, kerana bot bergoyang hampir terbalik! Tapi cerita pasal naik bot yang macam tu, kami (Saya dan suami serta anak-anak) pernah naik bot di kawasan Taman Negara (Sungai Tembeling) ketika air sedang deras. Memang rasa macam nak terbalik! Cukup menggerunkan.

Kalau nak tahu, saya memang sayang sangat pada sekolah saya (dulunya GEGS) yang sekarang ini bernama Sekolah Menengah Raja Perempuan Kelsom. Saya suka naik ke atas menara sekolah dan berangan-angan seolah-olah berada di zaman Hugh Low (British Residen di negeri Perak). Sebab itu mungkin saya menulis novel kanak-kanak yang berjudul 'Rahsia Bukit Residen'.

Saya juga suka ke tepi sungai di kawasan tengah bandar. Seronok tengok orang menjual produk-produk negeri Perak seperti labu sayung dan produk-produk rotan dan besi. Saya juga seronok makan laksa Kuala (Rasanya lain daripada di tempat lain), suka makan cendol (best in the world), suka juga makan pau. Paling suka ialah makan apam daun pisang dan putu Perak. Memang tak jumpa di tempat lain.

Patutlah dulu-dulu saya tak boleh nak bayangkan tinggal di tempat lain selain dari Kuala Kangsar!

Aduhai... sayangnya tempat tu.

Sekarang ni, kami balik juga ke sana. Masih singgah di Double Lion untuk beli roti dengan kaya. Tapi jarang-jarang tidur di sana. Kalau tidur pun, tidur di hotel sahaja. Kami anak-beranak memang suka singgah di Kuala. Suami saya dan anak sulung memang sekolahnya di sana. Jadi, bila balik Kuala, rutin kami untuk mengelilingi pekan Kuala, kawasan istana dan juga sekolah-sekolah kami, termasuk sekolah suami dan anak!

Terlalu banyak kisah manis dan indah yang menjadi nostalgia. Cerita-cerita ini saya selalu ceritakan kepada anak-anak. Cara itulah saya dapat hidupkan semula kenangan indah yang terpaksa saya tinggalkan.

I Love You, Kuala.

Tuesday, November 23, 2010

Emak Kami Lupa Daratan...



Gambar di atas sekadar hiasan

Salam

Ada orang bertanya dengan saya, "Nak buat macam mana kalau emak kita lupa daratan?"

"Lupa macam mana?" soal saya balik.

"Lupa yang dia tu bukan muda lagi. Dah masuk lima puluhan."

"Tak apalah kalau dia berasa muda. Tak salah tu." Kata saya lagi.

"Bukan. Bukan macam tu. Maksud saya... mak saya ni ingat dia macam remaja. Sekarang ni emak saya ralit beramin-main SMS. Ralit duduk depan komputer berchatting. Hantar-hantar mesej kat Facebook."

"Eh, saya pun selalu kat depan komputer apa? saya selalu jawab e-mel pembaca dan teman-teman saya."

"Bukan macam tu. Kalau macam tu, tak apalah. Ini tidak. Emak saya berSMS, berchatting dengan lelaki entah siapa-siapa! dia berkenalan kat Internet, lepas tu kelakuan dia mula berubah macam budak-budak sekolah! menyampah kami tengok. Saya, adik saya, kakak saya... kami rasa malu."

"Ayah awak kata apa?"

"Emak dengan ayah dah bercerai. Baru lagi, lebih kurang setahun yang lepas. Ayah kami kahwin lagi satu dan emak tak suka."

"Oh..."

"Kami adik beradik pening kepala. Emak macam kena penyakit angau. Pada hal entah dengan siapa dia berkawan kami pun tak tahu. Kami takut emak nanti kena tipu. Maklumlah, dunia maya ni memang penuh dengan lelaki yang mengambil kesempatan. Sekarang ni emak kami dah tak nak bertudung lagi. Dulu, mak tak macam tu. Dia berubah sejak bercerai. Kami pun tak boleh sebut apa-apa tentang ayah lagi. Emak tak boleh dengar nama ayah. Emak benci!"

"Adoi."

"Kami nak buat macam mana dengan emak ni? nak tegur, emak tak suka. Dia kata itu hal dia, kami jangan masuk campur. Kami pun takut juga, sebab emak yang bagi kami duit. Kami takut emak protes."

"Sebenarnya emak kamu tu sedang protes tu. Dia tak tahu macam mana nak kawal perasaan marah dia." Kata saya lagi.

"Kalau nak protes, protes ajelah. Buat apa mak buat perangai yang memalukan ni! Emak bukannya remaja lagi. Kami yang muda ni pun tak buat perangai macam mak!"

Alahai... memang kesian saya mendengar ceritanya. Iyalah, bukan mudah kita nak masuk campur, lainlah kalau dia merupakan kenalan kita atau adik-beradik kita. Apa pun, keadaan ini mungkin sementara sahaja. Wanita itu sedang berdukacita dan dia tidak tahu bagaimana hendak mengubat hatinya yang sedang sakit itu.

Monday, November 22, 2010

Boleh Beli Semuanya?


Foto sebagai hiasan sahaja


Salam

Pagi ini saya nak bercerita tentang orang-orang yang berduit. Maksud saya 'orang kaya' lah ni...

Mula-mula saya nak cerita tentang seorang teman baik. Dia memang orang kaya. Sejak muda lagi dia dah kumpul banyak harta dan kebetulan dia memang anak orang kaya. Pulak tu kahwin dengan orang berpangkat besar (Syarikat swasta besar). Selama saya kenal dia, memang dia tak pernah susahlah. Rumah sewa berlambak-lambak, termasuk kedai sewa. Tanah lagi, syer lagi dan macam-macam lagi. Barang kemas memang bercupak! Baru-baru ni, kami duduk melepak. Dia pun bercerita tentang kisah anak sulungnya. Kata dia, "I tak tahu nak buat macam mana dengan anak I ni. Gaji banyak, isteri pun gaji besar (anak dan isterinya kerja dengan syarikat minyak), tapi belum cukup bulan, duit dia dah habis. Dapat bonus pun tak pernah nak beli harta, dihabiskan pada kereta. Tak habis-habis modify." Rungutnya. Katanya lagi, "You percaya ke... kadang-kadang, wife dia kena top up duit dia. Dah tu, bila wife bagi dia duit, dia pergi breakfast kat kopitiam yang mahal-mahal, tak nak pulak makan kat gerai atau kat kedai mamak. Kat rumah lagi tak nak. Padahal dah tak ada duit!"

Macam-macam lagi yang dirungutnya. Saya tukang dengar. Last-last saya kata jugak, "Yalah, nak buat apa lagi dia kumpul duit beli harta? kan you dah sediakan macam-macam. Kalau tak dia yang habiskan nanti, siapa lagi?" Sebenarnya saya bergurau dengan teman saya itu. Tapi, itulah realitinya. Anak-anak sekarang, kalau ibu bapa dah kerja teruk-teruk dan dah sediakan semuanya, mereka tak tahu nak hargai. Sebabnya ialah kerana mereka tak pernah rasa susah. Semuanya dah ada di depan mata.

Mungkin, kita perlu berhati-hati semasa nak besarkan anak-anak. Jangan ajar mereka terlalu rasa senang. Kena juga ajar mereka macam mana nak hidup susah. Kalau tak mereka tak faham apa itu susah.

Saya teringatlah kisah ini, yang berlaku sekitar 11 tahun yang lalu. Semasa itu anak kedua saya, Irfan masih bersekolah di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Semasa sukan sekolah, saya hadirkan diri dan di situlah saya bertemu dengan seorang wanita muda ini. Dia berbangsa Cina, sangat cantik orangnya dan profesionnya ialah peguam. Kami bersembang-sembang tentang anak-anak dan kebetulan saya memang tak kenal siapa dia. Kata dia kepada saya yang anak dia ramai (Tak ingat dah, tapi rasanya sekitar enam ke lapan orang). Saya macam terkejutlah jugak sebab biasanya orang Cina moden tak suka beranak banyak. Dia bercerita tentang anak-anaknya yang bersekolah di VI (Victoria Institution) dan dia bertanya pada saya tentang pendapat saya dalam hal membesarkan anak-anak. Kami bual lagi dan kemudian dia menelefon seseorang menyuruh orang itu mengambil botol susu anaknya di dalam kereta.

Semasa itu barulah saya sedar yang disuruhnya itu adalah pemandunya. Saya pun melihat di sekeliling saya dan barulah saya perasan yang wanita muda itu adalah ahli keluarga YTL (saya tengok kad nama yang dia hulurkan pada saya). Saya memang tabik pada wanita itu (Suaminya salah seorang daripada adik beradik YTL, antara syarikat terbesar dan terkaya di Malaysia) kerana dia simple sahaja (Walaupun cantik sangat-sangat), relaks dan 'humble'. Dia cerita pada saya yang dia dan keluarganya tinggal di sebuah rumah besar beramai-ramai (Termasuk ibu mertua dan ipar duai). Ibu mertuanya yang menjadi 'tuition teacher' kepada anak-anak yang ada dalam rumah itu. Mereka juga tak menghantar anak-anak ke sekolah swasta kerana bimbang anak-anak tak mampu untuk hidup macam orang biasa.

Walhasil, begitulah caranya mereka membesarkan anak-anak. Walaupun kaya-raya, mereka pastikan anak-anak tahu erti kehidupan seperti orang biasa. Malah, mereka kuatkan semangat hidup dalam satu keluarga besar. Kalau tidak, macam mana nak uruskan syarikat gergasi yang dipunyai keluarga besar mereka?

Okeylah... bagi saya, apa yang saya lihat itu adalah atu pengajaran. Sekalipun kita rasa kita mampu, kita harus berjaga-jaga semasa nak besarkan anak-anak. Jangan ingat duit mampu membeli segala-galanya termasuk kesenangan. Ada benda, duit tak boleh beli. Sebagai contoh ialah cara kita besarkan anak-anak. Kalau kita tengok orang sekarang, masing-masing sibuk nak hantar anak-anak ke sekolah swasta. Rasa macam ada kelas! Sebenarnya bila kita buat macam tu, kita mengajar anak-anak kita cepat perasan. Mereka akan rasa bahawa diri mereka lebih istimewa daripada orang lain. Mampukah anak-anak ini hidup macam orang lain bila dah besar nanti? Banyak lagi yang ingin saya katakan, tapi biarlah dulu. Mungkin kita boleh sama-sama fikirkan hal ini. Bolehkah duit beli segala-galanya?

Wallahua'lam.

Sunday, November 21, 2010

Bahasa Orang Lain Tak Tahu


Contoh 'Sanggolat'

Salam, semua

Hari ini saya nak bercerita tentang bahasa. Bukan bahasa biasa-biasa tetapi bahasa yang diubah suai mengikut musim, atau bahasa yang ditambah untuk menjadi bahasa baru. Lebih mudah ialah tentang perbendaharaan bahasa atau kosa kata yang dijadikan bahasa slanga. Kadang-kadang, bahasa slanga juga akan masuk dalam kamus. Misalnya perkataan 'cun' yang membawa maksud comel atau cantik. Dulu-dulu kita tak tahu pun pasal perkataan 'cun' ini. Begitu juga 'awek'.

Kalau kita perhatikan, ada perkataan-perkataan lama yang tak pernah digunakan lagi oleh orang hari ini. Misalnya ialah perkataan 'endut' yang membawa erti 'pasangan lelaki atau wanita', atau 'berendut' membawa erti sedang dalam keadaan 'jatuh cinta', macam orang sekarang kata 'pakwe' atau 'makwe'. Biasanya 'endut' ini diguna pakai oleh orang-orang di negeri Selatan. Orang Utara memang tak pakai dan tak tahu pun pasal 'endut' ni. Satu lagi perkataan ialah 'mambang' yang membawa maksud 'awek' atau perempuan muda yang belum ada suami. Kalau kita tengok cerita 'P.Ramlee' ada perkataan ini yang digunakan untuk memanggil 'perempuan'. Sekarang ini, saya memang tak pernah lagi dengar orang sebut pasal 'mambang' ni.

Banyak lagi ekspresi yang diguna pakai pada hari ini seperti 'Tahu tak apa', 'Boleh blahlah', 'Usya', 'Kerek' 'Poyo' 'balak' dan macam-macam lagi, yang dulunya tak ada atau tak popular, kini menjadi bahasa orang muda. Kadang-kadang bahasa seperti ini diperkenalkan oleh mereka yang bergelar 'selebriti' dalam pertunjukan di TV atau mungkin bahasa 'DJ' di radio. Dari situlah anak muda mengambilnya dan mengguna pakai menjadi bahasa harian.

Kadang-kadang, dalam famili pun ada perkataan yang diperkenalkan dan hanya ahli keluarga sahaja yang tahu dan faham. Misalnya dalam keluarga saya, ada perkataan seperti 'Yahanu' yang membawa erti 'bahlul' dan diguna bila nak marah orang luar... hehe. Satu lagi ialah 'Sanggolat' yang bermaksud 'Sang gemok lagi bulat' (dipendekkan) dan selalunya diguna pakai untuk kanak-kanak yang berbadan tembam! Tapi... perkataan-perkataan ini hanya ahli keluarga kami sahaja yang tahu!

Anda ada tak bahasa yang anda tahu tapi orang lain tak tahu?

Saturday, November 20, 2010

Trend Hari Ini


Salam

Mungkin dah jadi trend hari ini. Lelaki lebih suka mencari bakal isteri yang bekerja. Lagi hebat pekerjaannya, lagi baik. Betul ke tu?

Saya percaya kerana keadaan ekonomi hari ini, ramai lelaki lebih suka kalau isteri mereka mempunyai pendapatan sendiri. Yalah, memang tak salahkan mereka. Kalau gaji tak besar, memang tak mampu nak duduk di bandar besar kalau dah ada isteri. Kalau isteri hanya suri rumah, mungkin berat yang mereka rasakan. Mana nak cari tempat tinggal, kenderaan lagi, makan minum, tambang, pakaian, bil api dan air... huh! memang tak cukup.

Tapi... saya dah dengar banyak cerita tentang lelaki yang sengaja cari bakal isteri yang loaded. Sekalipun isteri mungkin jauh lebih tua, tak apa. Janji ada duit. Mungkin dah jadi trend juga, para isteri yang lebih memberi tumpuan kepada perbelanjaan dalam rumah. Yalah, kalau kita tengok trend hari ini, memang tak menghairankan. Perempuan yang banyak masuk universiti. Perempuan juga yang lebih rajin buat kerja dan belajar. Kalau di rumah, ibu lebih menyuruh yang perempuan buat kerja rumah. Antara anak lelaki dan anak perempuan, anak perempuan yang jauh lebih fikirkan tentang ibu dan bapa daripada anak lelaki.

Tak rasa pelik, ke? tapi dah jadi trend hari ini.

Anak lelaki lebih suka melepak. Naik motor bike sana sini dan melepak kat kedai kopi. Sekarang ni lepak kat kopitiam. Balik sampai lewat malam atau sampai pagi. Mak ayah memang tak kisah nak marah. Kalau belajar pulak, asyik tak pass! Huh!

Apa pun... saya tak gemar dengan trend yang macam ni. Saya rasa, sebagai ibu bapa atau abang dan kakak, pastikan anak lelaki kita diajar tanggungjawab mereka sejak kecil lagi. Beritahu mereka yang mereka lebih bertanggungjawab daripada anak perempuan. Janganlah kita biarkan dunia ini jadi terbalik.

Tak kisahlah perempuan kerja atau tidak, lelaki mesti tahu tanggungjawab mereka untuk beri nafkah kepada isteri dan anak-anak.

Wallahua'lam.

Friday, November 19, 2010

Berjaga-Jaga


Salam,

Mungkin ada yang terfikir saya tak dapat tidur malam sebab sibuk jaga si kecil, itulah buat tajuk entri macam ni... hehe, tak adalah. Bukan saya yang beranak kecil, kan? Tolong-tolong jugaklah...

Apa yang saya nak cerita kali ini ialah tentang 'Mat Romeo' yang berada di Internet. Okey aje kalau jumpa 'Mat Romeo' yang tulen, tapi yang paling banyak dalam Internet ialah kaki kelentong!

Sebenarnya saya rasa, dengan adanya Internet, lelaki kaki penipu lebih bermaharajalela sekarang ini. Manakan tidaknya, mudah sangat dapat mangsa. Perempuan memang cepat cair bila berjumpa dengan 'mamat' yang pandai mengayat, tambah pulak guna bahasa 'power', mesti cair habis! Itulah yang saya suruh berjaga-jaga.

Saya tahu ramai yang sedang mencari bakal pasangan hidup melalui saluran-saluran sosial seperti Facebook dan sebagainya, dan di situlah mereka sedang menunggu anda!

Saya dah penat mendengar cerita tentang watak-watak seperti ini, watak 'crook' yang berlakon jadi 'hero'. Ada di antara mereka ini (si lelaki), sudah pun berumah tangga, malah ada yang dah berumur dan mempunyai anak merenyut-renyut. Mereka mencari wanita yang agak 'terlebih sikit' umurnya, berkerjaya dan semestinya ada wang! Mereka memang suka wanita yang macam ni. Kalau ada rumah dan ada kereta sendiri, lagi mereka suka!

Mereka akan buat macam-macam cerita sedih selepas mencairkan hati mangsa. Mula-mula mengayat bagai nak gila, lepas tu berlakon drama 'leleh'. Konon-konon mereka ni dudalah yang dizalimi bekas isteri, dan macam-macam lagi cerita sedih yang digarapkan. Si mangsa pulak, apa lagi... sebab kesian selepas dah cair hati, mulalah menyalurkan apa-apa yang patut. Ada yang sampai berpuluh-puluh ribu...

Yang peliknya, semua ini terjadi melalui alam maya sahaja. Ramai mangsa tak pernah lihat pun bagaimana rupa 'mat romeo' ni. Kadang-kadang mereka menjelma dengan guna gambar orang lain. Ada jugak yang guna nama lain pada mulanya. Lepas tu barulah beri nama betul, kalau tidak, payah pulak nak masukkan duit dalam akaun bank dia.

Malah, ada juga cerita tentang lelaki yang suka mengurat remaja (Budak kolej atau universiti)... mereka suka mencari mangsa yang masih muda, untuk 'lepas gian' dalam Internet.

Jadi, sayang-sayang oi... berjaga-jagalah bila berkawan di Internet!

Jangan sekali-kali meletakkan gambar-gambar anda yang 'sensasi' di laman web sosial seperti Facebook, kerana mereka lebih senang jadikan anda mangsa!

PS:Gambar sekadar hiasan


Thursday, November 18, 2010

Nikmat Dugaan...


Salam, semua

Sejak kebelakangan ini, masyarakat kita semakin bimbang dengan perkembangan atau stail pasangan yang berumah tangga, seolah-olah menjadi trend untuk 'bercerai' walaupun usia perkahwinan masih muda lagi. Perkataan 'perceraian' sudah menjadi sesuatu yang terlalu biasa, apatah lagi surat khabar pun macam seronok bercerita tentang 'perceraian' mereka yang berada dalam golongan selebriti. Di bahagian depan cerita orang kahwin, di sebelahnya pula, cerita orang bercerai!

Tiada statistik tepat, tetapi jumlahnya agak besar di kalangan orang-orang Melayu. Hampir 30% akan mengalami keruntuhan rumah tangga dan jumlah ini mungkin lebih tinggi lagi. Sebab-musabab juga tak dapat dihuraikan dengan tepat. Masalah seperti 'kewangan' menjadi antara isu utama, masalah orang ketiga juga berperanan penting. Masalah keluarga, seksual, kelakuan dan macam-macam lagi yang menjadi isu pergolakan rumah tangga.

Dulu-dulu (masa saya remaja), memang jarang kita dengar orang bercerai-berai ni. Mungkin orang dulu-dulu takut untuk bercerai, terutama orang perempuan. Orang sekarang (perempuan) tak kisah kerana mereka mungkin berkeyakinan yang tinggi dan mungkin juga mereka (perempuan) kebanyakannya mempunyai pendapatan, jadi tak menakutkan untuk berada dalam keadaan 'perceraian'.

Lelaki pula, mereka ada yang tak kisah kerana berasakan orang perempuan boleh cari duit sendiri kalau bercerai pun.

Saya tak mahu menuduh sesiapa pun dalam hal ini, kerana kita sebagai manusia tentu mempunyai kelemahan dan kekurangan. Kekurangan inilah yang kadanga-kadang membebankan dan kita tak mampu berusaha untuk mengatasi masalah yang berdepan dengan kita.

Mengapa kita pilih untuk berkahwin? tentu sebab kita yakin akan bahagia dengan teman yang kita pilih, kan? tapi kenapa di separuh jalan kita ubah fikiran? tentu kerana masalah yang kita tak duga, kan?

Okeylah... sebagai orang perempuan, saya pasti kita tak mahu pilih untuk bercerai, kerana perceraian akan menjejaskan anak-anak (kalau adalah), juga emosi kita. Yang pasti, anak-anak 'perceraian' jarang hidup normal seperti anak-anak yang ada ibu dan bapa mereka bersama-sama mereka. Kanak-kanak, bila berada di rumah, inginkan kehadiran ibu dan ayah dan tanpa ibu dan ayah, mereka akan berasa kurang. Kekurangan itulah yang akan menjadikan mereka seperti tidak lengkap hinggakan ada kanak-kanak akan bersikap pelik (tidak normal). Pun begitu, sekiranya bernasib baik dan sekiranya ibu atau ayah memberi perhatian yang baik, anak-anak tidak akan terjejas sekalipun tidak hidup seperti orang lain (yang mempunyai ibu dan ayah tinggal sebumbung).

Tapi... macam mana nak berdepan dengan masalah rumah tangga? kita semua tahu mustahil orang berkahwin tak ada masalah. Tetapi, tidak mustahil untuk mengatasi semua masalah yang datang kepada kita. Kita tahu Tuhan tidak pernah janji untuk tidak beri kita masalah. Sekiranya kita anggap masalah yang timpa kita sebagai beban, maka jadilah ia beban. Tetapi kalau kita ajar akal dan fikiran untuk anggap ia sebagai nikmat, maka jadilah ia nikmat.

Nikmat? macam mana nak anggap masalah dan dugaan sebagai nikmat?

Bukan susah pun. Sebenarnya, kita akan tahu satu hari nanti bahawa segala dugaan yang datang kepada kita sekarang ini, adalah pengajaran buat kita. Kita belajar untuk terimanya dan kita akan menjadi manusia yang lebih matang kerana dugaan itu mengajar hati kita, perasaan kita, jiwa kita, juga akal kita untuk mencari cara bagi mengatasinya. Itulah yang akan mematangkan segala-galanya. Bukankah itu namanya nikmat?

Okeylah... nanti saya akan sambung lagi. Bukan tujuan saya untuk mengajar, tetapi untuk berkongsi cerita dan pengalaman, semoga ia akan membantu kita untuk menempuhi segala dugaan dalam hidup, insya-Allah.

Apa pun, belajarlah untuk bersabar. Itu adalah kunci untuk mengatasi segala masalah. Belajar juga untuk sentiasa bersyukur.

Wallahua'lam.

Tuesday, November 16, 2010

Salam Aidil Adha


Salam sayang kepada semua pembaca saya,

Alhamdulillah, esok kita akan sama-sama menyambut Aidil Adha. Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan adalah kerana Dia, Tuhan yang maha Esa. Saya juga doakan buat teman-teman, saudara-mara dan juga pembaca setia yang kini berada di tanah suci untuk kerjakan ibadah haji, semoga ibadah yang dijalankan diterima Allah SWT, semoga peroleh haji mabrur, insya-Allah. Kepada mereka yang belum tunaikan ibadat haji, saya doakan agar anda sekelian diberi rezeki, kekuatan, usia dan keimanan untuk tunaikan ibadah tersebut, insya-Allah.

Alhamdulillah, saya telah tunaikan ibadah terebut pada tahun 1998 dan tentunya banyak kenangan manis yang masih berlegar-legar di memori ini. Insya-Allah, kerinduan kepada tanah suci sentiasa ada dan insya-Allah akan kami cuba ke sana lagi untuk tunaikan ibadah umrah.

Esok juga, sama-samalah kita kerjakan ibadah korban, semoga amalan kita juga diterima Allah SWT. Kekalkanlah amalan untuk bersabar, bertaqwa dan bersyukur.

Salam Aidil Adha buat semua.

Monday, November 15, 2010

Tambah Ahli



Salam, semua

Terlebih dahulu, alhamdulillah di atas nikmat yang Tuhan kurniakan buat kami sekeluarga, walaupun memang saya dan suami agak kalut. Hehe... Datuk dan Datin... eh, bukan, Habib dan Lola...

Anak perempuan saya dan anaknya dah ada di rumah, dan saya pun apa lagi, macam orang beranak kecil lah... huhu. Kenalah layan si comel ni... cucu saya yang ini memang kecil aje, tapi bila menangis, boleh tahan suaranya.

Cucu saya yang ketiga pula, lebih besar orangnya. Dilahirkan 3.5 kilo dan namanya pula ialah Syed Ali Fawwaz (bunyi Arab)... hehe. Yang ini rambutnya lebat dan semasa lahir, dia terlilit tali pusat, tapi alhamdulillah okey. Sekarang ini masih di hospital (di Kelang), jadi sebab tu lah saya bertambah kalut hinggakan tak sempat nak update blog.

Apa pun, syukur alhamdulillah. Saya dah lama tak jaga anak kecil, terpaksa minta bantuan menantu (isteri Irfan) untuk mandikan si Firas Aidin... tak pandai dah. Anak saya pula, dia masih tak cekap, maklumlah tak biasa dengan budak-budak. Kebetulan, menantu saya (suami anak perempuan) dah balik ke tempat kerja (di Penang), jadi terpaksalah saya bantu anak perempuan saya. Semalam, menantu saya (suami anak perempuan)agak emosional lah jugak kerana terpaksa tinggalkan baby kecilnya.Huhu...

Dalam kekalutan ni, ada satu cerita lucu yang terjadi pada saya. Pagi tu, saya berhentikan kereta di sebuah stesen minyak kerana nak isi minyak. Saya memang selalu pergi ke stesen ni dan dah biasa dengan pembantu-pembantu yang bertugas di stesen tu (warga Bangladesh). Jadi, macam biasa saya memang suka tegur orang (tanda hormat). Entah apalah hal dengan Bangla sekor ni, dia boleh pulak tersenyum-senyum pada saya. Saya pulak macam biasa, senyumlah balik. Tiba-tiba Bangla tu kata, "Sudah minum ka, adik?"

"Ha?" soal saya, tak pasti dengan apa yang dikatakannya.

"Sudah minum ka, adik?" katanya lagi dengan muka gatalnya.

"Adik?" saya nak tergelak. Dalam pada itu saya jadi geramlah pulak. 'Sewel betul lah Bangla ni. Bangang! ada ke panggil aku adik? mata dia letak kat lutut ke? kalau nak ngorat pun, tengok orang lah. Kot lah panggil akak... satu hal lah!'

Memang melucukan, sebab saya dalam perjalanan nak pergi tengok cucu. Bahlul betul lah Bangla ni!

PS: Terima kasih kepada semua yang hantar email kepada saya. Maaflah sebab lambat balas.

Gambar yang di atas ialah Syed Ali Fawwaz (masa dilahirkan) dan yang dibawah ialah Muhammad Firas Aidin (masa dilahirkan).

Saturday, November 13, 2010

Satu Lagi

Salam

Alhamdulillah, pagi ini saya dapat seorang lagi ahli keluarga. Jadi, dah tiga dah 'followers'. Yang ini juga seorang lelaki. Berderet-deret. Alhamdulillah sekali lagi. Syukran. Tak sempat nak cerita panjang. Insya-Allah di entri yang selepas ini.

Friday, November 12, 2010

Salam Daripada Lola

Salam, semua

Pagi ini, aduhai... alhamdulillah, sangat-sangat dingin. Best! Cuma risau aje takut ada kawasan yang akan dilanda banjir. Apa pun, saya tak nak komplen. Setiap apa yang Tuhan bagi pada kita, ada hikmahnya. Kalau ada tempat senang dilanda banjir, kita kena fikirkanlah sesuatu untuk cari jalan agar kita tidak ditimpa musibah. Jalan yang terbaik ialah untuk berpindah dulu sebelum banjir, atau mungkin buat rumah bertiang tinggi, macam rumah dulu-dulu di negeri Perak yang dibina di tepi kawasan Sungai Perak.

Okeylah... semalam saya memang kesibukan sepanjang hari. Anak perempuan saya, cepat dua minggu dan sudah pun melahirkan anak sulungnya. Seorang bayi lelaki. Kecil sahaja badannya, hanya 2.4 kilo sahaja. Dia lahir jam 12, pada 11.11.10..., bersamaan 4 Zulhijah, 1431, dan hari ini pula adalah hari lahir anak saya (ibu bayi).

Gambar dah ambil tapi tak letak kat komputer lagi. Nama bayi? huhu... Muhammad Firas Aidin. Ingat tak nama siapa tu? Sebahagian sahajalah.

Sepatutnya, menantu saya yang lahir dulu, tapi nampaknya si kecil dah overtake pulak.

Jadi sekarang Lola dah ada dua 'followers'... hehe. Harap-harap lepas ni saya taklah sibuk sangat. Maklumlah... takut kita pulak yang macam beranak kecil. Sebenarnya saya dah lupa dah macam mana nak jaga bayi ni... hehe

Apa pun, terima kasih pada semua, termasuk kerabat dan teman-teman anak saya yang datang melawat 'ibu dan anak comel sedunia' ni... hehe

Insya-Allah, saya akan cuba update blog petang atau malam nanti. Sekarang ni, Adios dulu...

Wednesday, November 10, 2010

Kita Tulis Untuk Apa?


Salam

Hari ni memang lambat saya update blog ni. Sebabnya, saya tak ada di rumah hampir sepanjang hari. Saya ke pejabat KarnaDya dan kemudian ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Berjumpa dengan kawan lama yang ingin kenalkan saya kepada seorang penyelidik Perancis berkaitan dengan sastera Melayu.

Ya memang betul, penyelidik ini memang fasih berbahasa Melayu. Katanya kepada kami, "Kenapa di Malaysia, novel-novel yang ditulis oleh penulis seperti Aina Emir ini dikategorikan sebagai novel popular? bukankah apa yang Aina Emir tulis ini adalah produk sastera, kerana sastera yang sebenar tidak membeza-bezakan penulisan itu sendiri?"

Saya sekadar tersenyum sahaja. "Yalah... itu kata anda, dan itu juga kata saya. Tapi, orang di luar sana (yakni di Malaysia), jauh lebih bijak."

Beliau (mempunyai ijazah kedoktoran)hairan dengan cara kita di Malaysia. Katanya lagi, "Tak kisahlah kalau penulisan itu jenis yang popular atau tidak, tetapi novel-novel ini adalah 'sastera' dan 'full stop'."

Kalaulah semudah itu. Memang dari dulu lagi saya berasa pelik. Kerana hasil penulisan pertama saya (Sesuci Cinta) telah diterbitkan oleh Alaf 21, secara automatik karya saya dilabelkan dalam kategori itu. Kalaulah karya saya itu diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, pasti saya akan dikatakan sebagai 'orang sastera'.

Huhu... memang kelakar cara kita membudayakan karya-karya sastera. Yang pasti, orang luar melihat keadaan ini dan orang di Malaysia masih mempunyai cara tersendiri. Kebetulan, penyelidik berkenaan sudah pun memiliki karya saya, dan kebetulan juga, karya-karya saya pernah dijadikan kajian penyelidik-penyelidik lain (Malaysia) dalam kajian mereka dalam bidang sastera dan juga Bahasa Melayu.

Okeylah, tak apa... mungkin satu hari nanti saya akan tulis untuk diterbitkan di Dewan Bahasa dan Pustaka (sudah ada yang mengajak) dan bolehlah kita lihat sama ada imej penulisan saya mampu diubahkan 'label' nya.

Pada malam ini juga saya ingin berkata sesuatu tentang 'penulisan di blog'. Nampaknya sudah ramai yang gila menulis di blog kerana ingin mendapat pendapatan yang lumayan dari iklan-iklan Internet. Saya rasa memang tak salah kalau nak buat macam tu, tapi janganlah kerana duit semata-mata kita mahu menulis. Serupalah menulis buku. Janganlah kerana duit sahaja kita mahu menulis. Bukan apa, saya bimbang dengan trend 'menulis kerana wang' semata-mata. Bila ini berlaku, mungkin kita akan ketepikan semangat keikhlasan dalam penulisan. Kita akan menulis apa sahaja yang boleh mengajak orang masuk ke blog kita. Dalam hal ini, akan ada yang sanggup buat cerita dan lakukan pembohongan untuk menarik pembaca ke blognya!

Okeylah... sekadar mengingatkan diri saya dan teman-teman. Tulislah dengan hati dan mata kita, agar apa yang kita tulis itu akan mendatangkan nikmat dan perkongsian maklumat untuk kita semua. Insya-Allah.

Tuesday, November 09, 2010

Kadang-Kadang...


Hari ini saya membaca sebuah artikel yang ditulis oleh seorang rakan baik di sebuah akhbar Melayu. Kisahnya ialah tentang perasaan 'terharu' bagi seseorang apabila bertemu dengan kaum kerabat yang sudah lama terputus.

Kadang-kadang, oleh kerana keadaan yang tak dapat kita kawal, mungkin perhubungan dengan sanak saudara terputus dan bila kita berusaha untuk cantumkan semula dan berjaya pula untuk melakukannya, pasti hati akan senyum berbunga. Bertambah terharu lagi apabila bertemu dengan kerabat yang tidak mampu dari segi material tetapi berhati mulia. Bagi mereka yang menghargai perasaan 'suci murni' itu, tentulah berasa sedih. Saya turut terharu membaca artikel itu.

"Tapi, kak..." kata seorang teman yang lain pula, "kadang-kadang memang kita terharu kalau dapat berjumpa semula dengan kaum kerabat yang terputus. Apatah lagi kalau sedara kita tu hidupnya tak sesenang kita. Kalau boleh, kita nak bantu, nak tolong dia supaya dia merasa apa yang kita rasa. Malangnya... kadang-kadang apa yang kita impikan tu tak tercapai."

"Kenapa pulak cakap macam tu?" soal saya.

"Yalah, kak... saya cakap ni sebab saya dah rasa."

"Apa dia?"

"Pernah suatu ketika dulu, saya beria-ia cuba menolong seorang ahli keluarga. Dah lama saya tak jumpa dia, tahu-tahu terdengar cerita yang dia sedang berada dalam keadaan yang teruk. Anak dia memang ramai. Saya ni memang suka bersimpati pada orang terutamanya kalau orang itu ada kena-mengena dengan saya. Dalam Islam pun macam tu, kan kak? kita kena utamakan sedara mara kita kalau ada yang susah. Pulak tu sedara saya ni memang kita semua tahu jenis faham agama. Sejak dulu lagi dia ni suka berguru dan mungkin kerana itulah saya bertambah kesian."

"Aik... cakaplah lagi. Apa yang terjadi?"

"Tu lah, kak... saya yang kesian pada dia. Saya ajak dia kerja dengan saya. Malah, selain dari gaji, saya tak sudah-sudah tolong dia. Bayar hutang lama. Betulkan kereta yang rosak. Bantu bila anak-anak dia nak masuk sekolah. Bantu lagi bila nak raya. Macam-macamlah kak yang saya usahakan. Tiba-tiba, selepas bertahun-tahun kerja dengan saya, rupa-rupanya dia berubah hati. Dia tidak seikhlas yang saya sangkakan."

"Apa yang dia buat?"

"Di belakang saya, dia buat benda lain dalam waktu kerja. Dekat tempat kerja pun, dia asyik tidur bila saya tak ada. Dah tu... dia menghasut pulak pasal saya ni. Konon-konon saya ni jahat. Saya betul-betul terkilan, kak. Sampai hati dia buat macam tu pada saya."

"Habis tu?"

"Mungkin dia dapat rasakan yang saya dah 'fed up'. Dia mintak berhenti kerja. Saya pun tak kisah. Nak buat apa dia kerja dengan saya lagi? Bagi saya mudah sahaja. Dulu saya ikhlas tolong dia dan masa tu dia pun tahu tak ada orang lain yang nak tolong dia. Tapi... iyalah, kak... hati manusia. Sampai masa mereka boleh berubah. Mereka sanggup tikam kita dari belakang. Saya tak kisah pun. Buatlah apa saja yang dia suka sebab saya ada Tuhan dan Tuhan menyaksikan segala-galanya. Siapa yang betul, Tuhan tahu."

Saya sekadar termenung buat seketika. Itulah kadang-kadang...

Puas Ke?



Salam semua

Mungkin tak silap kot, kalau saya katakan bahawa semua insan di dunia ini mempunyai keinginan dan cita-cita. Kita mahukan sesuatu dalam hidup ini. Sesuatu itu pula biasanya dari segi material atau sesuatu yang kita dapat lihat. Misalnya rumah besar, kereta mewah, jawatan tinggi, bisnes yang gah, kuasa kerja, kuasa politik yang hebat, isteri yang cantik menawan, suami yang tampan dan bergaji besar dan macam-macam lagi.

Mungkin inilah yang dikatakan desakan naluri manusia, mempunyai keinginan yang tinggi. Kadang-kadang kita mampu mencapainya, kadang-kadang tidak. Ada ketika, kita menjadi hampa kerana apa sahaja yang kita impikan, tak ada yang menjadi. Kadang-kadang kita dapat hampir semuanya, namun ada ketika selepas mendapatkannya, kita terlepas pula. Walhasil, sebagai manusia, sehebat mana sekalipun kita, kita masih tak mampu mengawal segala-galanya.

Mungkin kerana itu juga, manusia akan terus berdoa kepada Tuhan, meminta itu dan ini, tak putus-putus.

Tetapi kenapa agaknya kita hidup bagaikan tak cukup-cukup? Apa yang kita sudah ada, jarang-jarang kita berasa puas dengannya. Kita akan melihat orang lain di sekeliling kita. Kalau dia ada lebih, kita pun mahu sama. Jarang-jarang kita mahu melihat kepada mereka yang kurang daripada kita. Kalau kita nampak kekurangan pada orang lain, mungkin kita akan berasa puas dengan apa yang kita ada.

Entahlah... pagi ini saya macam merapu sedikit. Mungkin saya nak cari sesuatu yang boleh menjawab segala-galanya. Mungkin nak tanya diri sendiri dan pembaca-pembaca blog saya, kenapa kita susah nak rasa puas?

Betul lah, kalau kita mudah rasa puas, mungkin ada orang akan jadi malas, sebab tak nak berusaha kerana apa yang dah ada tu dah cukup baginya. Yalah, itu dari segi material. Masih banyak lagi hal-hal lain yang berkaitan dengan jiwa, berkaitan dengan perhubungan manusia dengan Tuhan, malah perhubungan sesama manusia yang kita tak mampu hendak uruskan. Bukan ke semua ini boleh buat kita sibuk juga?

Saya juga kadang-kadang berasa pelik dengan sesetengah orang yang suka mengeluarkan kata-kata 'jangan menunjuk' kepada orang lain, sedangkan dirinya juga berada dalam keadaan yang kita boleh tafsirkan sebagai 'menunjuk-nunjuk'.

Haiya... sangat complicated! Agaknya saya banyak sangat membaca... sekarang ni tak terlalu sibuk menulis.

Sejak kebelakangan ini saya selalu masuk blog-blog orang politik, blog mereka yang menggelar diri sebagai 'ilmuwan', juga mereka yang pakar agama. Saya suka membaca apa sahaja yang orang lain menulis. Bagi saya ini adalah pandangan mereka tentang kehidupan.

Macam-macam cerita ada. Apa pun, masing-masing luahkan pandangan dan apa yang mereka rasa. Lain orang, lain pula rasanya.

Insya-Allah, saya sedang belajar untuk mencari 'kepuasan' dengan apa adanya. Semoga Allah SWT mengizinkan saya 'merasa' nikmatnya.

Monday, November 08, 2010

Pilih Untuk Berkahwin



"Rasulullah SAW menyifatkan wanita sebagai amanah Allah SWT. Amanah itu hendaklah dijaga dengan cermat. Misalnya jika kita diamanahkan sesuatu barang dan barang itu rosak di tangan kita, tentu ia akan membabitkan nama baik kita. Sebab itu Rasulullah SAW berpesan supaya bersikap baik terhadap wanita dan sentiasa memesan mereka supaya berkelakuan baik berdasarkan kewajipan suami isteri yang ditetapkan Islam, kita dapat melihat perkahwinan itu hanya digalakkan bagi mereka yang sanggup menunaikan tanggungjawab. Apabila berkahwin, menunaikan tanggungjawab kepada keluarga adalah wajib, sama ada suami atau isteri."

Bukan saya yang tulis artikel di atas ini, tetapi saya petik dari tempat lain (tak ingat dah dari mana). Apa pun, isu yang saya nak bangkitkan ialah tentang 'TANGGUNGJAWAB' yang dimaksudkan dalam sebuah perkahwinan.

Sebaik-baiknya kita adalah mereka yang memilih untuk berkahwin dan tidak memilih untuk terus hidup bujang. Pun begitu, apabila kita memilih untuk berkahwin, kita tak boleh terlepas dari memikul tanggungjawab. Kita tak boleh ambil ringan tentang peranan sebagai seorang suami atau isteri. Tak boleh main 'cincai-cincai aje'. Kalau kita seorang suami, tak bolehlah kita lepas tangan dalam hal tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak dan isteri.

Kalau kita tak mampu, terpaksalah kita usahakan sampai mampu dan kenalah kita beri 'nafkah' mengikut kemampuan kita. Janganlah pula kita beri alasan, konon-konon kita ada hal lain yang lebih penting. Ada lelaki yang mampu pakai kereta mewah, tapi tak mahu beri nafkah kepada anak-anak. Ada juga yang mampu pergi makan angin (berholiday), tapi berkira-kira untuk bagi makan minum anak isteri.

Memberi nafkah kepada anak isteri adalah wajib.

Begitu juga bagi seorang isteri, tak bolehlah kita tunjuk kuasa yang 'lebih' sekalipun mungkin pendapatan kita lebih tinggi daripada sang suami. Peranan sebagai isteri wajib kita jalankan, jangan cuba mengambil alih tugas dan mahu menjadi nakhoda kapal yang sedang belayar. Sentiasa menjaga 'aib' suami dan sentiasa taat kepada suami.

Kalau suami isteri tahu peranan masing-masing, rumah tangga tak akan kucar-kacir. Hidup berumah tangga adalah satu perkongsian yang mulia. Kalau suami isteri hormat pasangan dan amalkan berkasih-sayang (bukan semasa belum kahwin) tak kira pada apa jua usia, insya-Allah rumah tangga akan berdiri teguh. Segala ombak dan taufan, kita akan mampu berdepan.


Walhasil, sebagai insan kita sentiasa perlu tahu akan tanggungjawab kita, perlu ikhlas kepada Tuhan, kepada keluarga, kepada jiran, kepada teman dan seterusnya.

Wallahua'lam.

PS: Gambar hiasan cilok dari Yahoo

Sunday, November 07, 2010

P. RAMLEE...


Salam,

Secara jujur, saya bukanlah merupakan 'hardcore' peminat P. Ramlee, tetapi sebagai rakyat Malaysia, mustahillah saya tidak tahu tentang beliau. Malah, suatu ketika dahulu, semasa saya masih kanak-kanak dan juga remaja, P.Ramlee semestinya sangat popular. Pun begitu, beliau juga pernah jadi 'unpopular' hingga dikatakan bahawa beliau semasa hayatnya pernah 'diboo' oleh penonton ketika naik ke pentas untuk membuat persembahan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Sedih betul bila saya mendengar kisah ini di sebuah rancangan dokumentari.

Malah, P.Ramlee yang pernah mengharumkan nama Melayu melalui karya-karyanya (filem dan muzik), telah hidup menderita di penghujung hayatnya. P.Ramlee meninggal dunia ketika berumur 44 tahun. Terlalu muda, namun mungkin kerana suasana ketika itu, beliau telah pergi dalam keadaan yang mengecewakan dan agak terhina.Pernah dikatakan oleh teman-temannya pada penghujung hayatnya, P.Ramlee hanya makan nasi berlauk telur dan pernah hingga tiada nasi untuk dimakan oleh dia dan keluarga (isteri dan anak-anak). Malah, dia dipinggir oleh semua orang, termasuk rakan-rakan, mereka di dunia filem dan juga pihak media (wartawan). Memang sedih.


P.Ramlee (selepas meninggal dunia lebih 30 tahun yang lalu) diangkat dan dijulang, seolah-olah penghormatan itu telah kita anugerahkan kepadanya ketika beliau masih ada umur. Malangnya juga, P. Ramlee pergi meninggalkan segala karyanya yang tak henti-henti kita tonton di peti televisyen dan lagu-lagu di corong-corong radio, tetapi anak-ananya (semua anak angkat kecuali seorang yang juga sudah meninggal dunia)dan kini cucu-cucunya tidak mendapat apa-apa. Segala hasil karyanya menjadi harta orang lain.

Dalam hal ini, kita sebagai umat Islam tak usahlah mengaibkan beliau dengan berkata apa-apa yang bukan hak kita untuk berkata (dalam hal agama), cuma semoga apa yang terjadi ini menjadi pengajaran buat kita sebagai orang Melayu. Kes P. Ramlee adalah sesuatu yang sepatutnya buat kita berfikir. P. Ramlee dianggap sebagai seorang karyawan Melayu yang genius, dan kita semua tahu bahawa karya-karyanya adalah untuk orang-orang Melayu. Namun, orang-orang yang sama juga yang telah menjatuhkannya dan mereka juga yang meminggirkannya apabila dia memerlukan, dan paling malang, segala hasil usahanya telah membuat orang lain jadi kaya-raya.

Beginilah keadaan orang Melayu, dulu dan sekarang. Tidak banyak beza dengan apa yang dilalui oleh P.Ramlee. Semoga kita sama-sama renung dan fikirkannya.

Friday, November 05, 2010

Perempuan... Kamu Lagi Hebat?



Salam, semua

Dulu-dulu, masa saya budak-budak, hari perayaan (tak kiralah Hari Tahun Baru Cina atau Deepavali) kami pasti akan raikan bersama-sama teman semua bangsa. Masa saya di tingkatan tiga, kami naik basikal beramai-ramai dan pergi ke rumah-rumah teman yang berketurunan India. Memang best, makan maruku, kuih gundu... macam-macam lagilah. Tapi saya rasa, budak-budak sekarang tak macam kami dulu-dulu. Payah nak nampak mereka yang dari keturunan lain yang meraikan hari perayaan teman-teman yang dari keturunan berbeza. Maksud saya, budak sekolahlah. Kenapa jadi macam ni, saya pun tak tahulah!

Sekarang ni sibuk dengan semangat satu Malaysia... tapi tak pasti sama ada semangat tu betul-betul wujud atau sekadar 'pukul canang' sahaja. Apa-apalah.

Apa pun, saya tertarik dengan semangat orang perempuan hari ini, rata-rata yang mahukan sesuatu yang lebih untuk tingkatkan kedudukan orang perempuan dalam hal urusan pentadbiran negara. Orang perempuan mahukan lebih kuasa. Maklumlah, kalau kita perhatikan rata-rata orang perempuan yang lebih ramai masuk universiti. Ada universiti di Malaysia ini, orang perempuannya yang lebih berkuasa dan kerana itu kedudukan orang perempuan menjadi bertambah hebat.

Memang kita tak nafikan itu, cuma soalnya sekarang, apa yang akan berlaku pada generasi kita di masa akan datang? Mungkinkah dalam masa sekitar sepuluh tahun lagi, atau mungkin dua puluh tahun lagi, hampir semua CEO, kebanyakan ahli politik, mungkin hampir semua jawatan penting akan berada di tangan wanita? Huhu... sebagai wanita mungkin saya patut berasa bangga.

Tapi... kenapa saya berasa bimbang pulak? Kenapa? Tak percaya pada kuasa perempuan ke?

Bukan tak percaya, tapi risau. Takut sekiranya kita lupa janji Tuhan buat kita semua. Takut sekiranya kita ralit dengan sesuatu yang kita rasa hebat sekarang ini, dan akhirnya nanti anak cucu kita di masa akan datang menangis tidak berlagu. Nauzubilah.

Renung-renungkanlah dan fikir-fikirlah.

Thursday, November 04, 2010

Kau Tetap Ada


Salam

Petang semalam, memang merupakan 'a busy evening'. Saya telah ke UKM (balik kampung hehe) dan berjumpa dengan teman-teman lama. Sebelum tu, saya ke kedai buku UKM dan sempat beli lima buah buku (tiga darinya buku Allahyarham Prof Datuk Anuar Mahmud). Alhamdulillah, apabila kawan-kawan saya tahu yang saya berada di bahagian pentadbiran (ofis lama), ramai yang mengajak saya ke bilik mereka (Hehe... teman-teman saya semuanya dah berpangkat tinggi - masing-masing ada secretary). Alhamdulillah juga saya bertemu dengan staf-staf lama yang berkata kepada saya yang saya tidak banyak berubah (umur sahaja, dong). Jenuh juga saya mendengar rungutan teman-teman, kerana stres bekerja. Macam-macam cerita yang buat kita terasa stres sama. Adoi!

Okeylah... terus terang saya katakan bahawa saya sangat seronok tidak berada di alam seperti itu lagi. Terus terang juga, alhamdulillah saya berasa lebih bahagia menjadi seorang penulis, sebab mungkin tak ada bos yang boleh mengarah-arah saya! Saya buat apa yang saya suka, tulis apa yang saya mahu dan dekat dengan hati... dan tak ambil peduli tentang apa orang nak kata pasal saya. Suka hati!

Apa pun, bagi saya... hidup di dunia ini bukan untuk mengejar wang. Kalau anda berada di dalam keadaan seperti itu (mengejar wang), saya rasa simpati buat anda. Bagi saya, wang itu adalah rezeki yang Tuhan beri. Kita sebagai insan, harus bekerja kuat dan bekerja dengan ikhlas, niat bekerja juga kerana Allah SWT. Kalau semuanya kita lakukan dengan baik, insya-Allah Tuhan berikan rezeki. Yang penting ialah hati dan jiwa terasa bebas dari cengkaman orang lain, terasa puas dan terasa nyaman. Insya-Allah, kita cuba lakukan terbaik agar kita berasa tenang dan aman dunia dan akhirat.

Detik waktu - jangan kita biarkan berlalu begitu sahaja. Masa adalah seperti air sungai yang mengalir, ia tidak akan berulang lagi.

Bagi orang yang matang seperti saya, saya cuba tidak terlalu fikirkan tentang masalah kerana mustahil masalah tidak datang dan timpa pada diri. Namun, apa sahaja yang datang kepada kita, pasti akan pergi jua. Itulah fitrah alam. Yang paling bahagia ialah kerana kita tahu bahawa Tuhan itu wujud dan sentiasa berada dengan kita, apa sekali keadaannya. Alhamdulillah, ya Tuhanku.

Wednesday, November 03, 2010

Pada Suatu Masa...


Salam dan selamat pagi.

Tak tahulah kenapa, tetapi tiba-tiba sahaja saya teringatkan England. Tempat itu pernah jadi rumah kedua saya buat beberapa tahun lamanya. Banyak pahit dan manis yang saya lalui di sana. Mungkin kerana sejak kebelakangan ini, cuaca agak dingin... hehe, tu yang ingatkan England.

Saya teringat masa mula-mula saya sampai di London buat pertama kalinya. Terketar-ketar sebab kesejukan. First time naik kapal terbang dalam jangka masa yang lama (sekitar 14 jam). Sebelum itu, mujur dah pernah naik kapal terbang, tetapi sekitar dua tiga jam sahaja. Pertama kali juga naik kapal terbang tak berteman dan kebetulan, saya naik British Airways... penuh mat salih, semuanya berbadan besar. Hehe... masa tu saya kecil aje. Tak sampai 45 kilo!

Memang saya kecut perut. Dahlah tak faham sangat slanga British masa tu. First time tinggal di Manchester, saya memang kebingungan. Memang tak faham bahasa yang dituturkan orang di sana. Cara mereka menyebut 'bus' lain, cara menyebut 'upstairs' pun lain (masa tu saya naik bas dua tingkat). Adoi! Geli hati...

Masa tu, saya dan suami tak ada kenderaan sendiri. Kalau nak ke mana-mana, kena naik teksi atau naik bas. Kalau nak berjalan jauh, kami sewa kereta.

Kali kedua saya ke sana, saya dah pun ada anak-anak. Kali kedua ni, saya lebih selesa sebab kami beli rumah dan ada kenderaan sendiri. Bagi saya, kali kedua tinggal di sana lebih seronok dan lebih mencabar. Sebenarnya, kehidupan saya di sana telah banyak mengajar saya, menambahkan pengalaman yang berbeza dan tentunya mematangkan fikiran.

Saya terpaksa berdepan dengan kerenah anak-anak yang terpaksa adjust kan diri untuk hidup dalam dunia mat salih. Begitu juga saya, manakan nak belajar, mana nak masak, mana nak jaga anak-anak. Pernah sekali tu, rasa macam nak berhenti belajar, tetapi alhamdulillah, saya pulihkan semangat dan terus berusaha. Tuhan Maha Kaya, memberi peluang kepada saya dan suami,juga anak-anak untuk merasa sebuah kehidupan yang jauh beza daripada sebelumnya.

Bagi saya, di mana sahaja kita berada, kita bersyukurlah akan segala nikmat Tuhan. Dunia ini luas dan ada segala-galanya, tetapi kadang-kadang dunia juga boleh jadi kecil.

Okeylah, saya nak keluar sekejap lagi ni, nak ke UKM, Bangi. Saya hendak berjumpa dengan teman-teman lama dan juga hendak ke Penerbit UKM - nak beli buku sejarah. Untuk makluman pembaca, saya bercadang untuk cari buku-buku yang ditulis oleh Allahyarham Prof. Datuk Nik Anuar Nik Mahmud, ahli sejarah negara yang baru sahaja kembali ke rahmatullah.

Tuesday, November 02, 2010

Rindu Teman Lama


Salam,

Alhamdulillah... dah lama tak bersembang dengan kawan lama. Hari ini dan hari itu, dapatlah berbual-bual dengan dua orang penulis (rakan lama) yang sememangnya rapat dengan saya sejak saya mula menulis.

Hari itu, bersembang dengan seorang senior yang tinggal di Selangor dan sememangnya dah lama menulis. Saja seronok bertanya khabar. Hari ini juga, bersembang pula dengan seorang lagi penulis yang tinggal di Selatan. Alhamdulillah, kedua-duanya sihat walafiat.

Saya dah lama tidak berbual dengan mereka kerana saya hilang telefon bimbit dan hilang juga nombor mereka. Alhamdulillah, dah dapat balik.

Sempatlah kami berbual-bual tentang penulisan skrip untuk tujuan buat drama atau filem. Bukannya apa, saja nak berkongsi maklumat. Kadang-kadang, sebagai penulis, kami juga jemu apabila menulis atau melakukan aktiviti yang tak banyak beza. Hendak juga mencuba sesuatu yang lain.

Bagi saya, tak penting pun sama ada apa yang saya buat akan mendatangkan hasil lumayan atau tidak. Saya lebih pentingkan kepuasan untuk menulis. Kerana itu juga saya tak putus-putus mencuba sesuatu yang baru. Bagi saya, semua ini adalah bersifat 'challenges' dan tentunya mencabar semangat saya untuk melakukannya.

Pun begitu, saya tak mahulah main redah sahaja. Kadang-kadang, kita nak tulis sesuatu, tetapi yang di hujung sana pula, mahukan sesuatu yang ada 'nilai komersil' dan mungkin kerana itu, mahu mengubah apa yang kita lakukan ini. Saya okey sahaja, asal jangan ubah sesuatu yang saya 'sayang', misalnya sesuatu yang ada kaitan dengan 'nilai agama'. Ini hanyalah sekadar contoh. Bagi saya, kalau saya terpaksa menolak skrip saya daripada diterbitkan kerana isu seperti ini, saya akan lakukannya. Mungkin dalam hal ini, saya agak cerewet. Tapi tak apalah... biasanya saya tak cerewet mana, cuma ada benda-benda yang saya 'sayang' dalam karya saya yang saya tak mahu orang lain usik. Hehe... tak berdosa kot!

Okeylah, berbalik kepada teman-teman saya tadi. Alhamdulillah, sekalipun mereka sibuk, mereka masih aktif lagi. Walaupun dah lama tak berhubungan, kami masih merindui... alhamdulillah. Insya-Allah, biasanya kami akan berjumpa setiap tahun semasa Pesta Buku.

Eh, saya tak pasti lagi sama ada akan berada di tapak Pesta Buku tahun hadapan. Kebetulan, saya sedang membuat perancangan, tetapi tengoklah macam mana nanti. Panjang umur dan murah rezeki, insya-Allah... akan bertemu lagi.

Monday, November 01, 2010

Perempuan Itu Ibu Kita...


Salam

Perlukah kita merendah-rendahkan martabat kaum wanita, atau meremeh-temehkan kaum lelaki, tak kiralah di surat khabar, di majalah, di laman-laman web sosial atau mungkin dalam blog?

Selalu sangat saya terbaca komen-komen yang suka meletakkan kaum wanita atau lelaki seolah-olah mereka merupakan orang-orang yang tak berguna.

Biasanya komen begini datangnya daripada mereka yang 'terkena'. Mungkin pengalaman dengan orang-orang tertentu membuatkan mereka fikir begitu. Wallahua'lam. Ada-ada sahaja yang mereka ingin katakan. Ada ketika, bahasa-bahasa kesat yang mereka gunakan untuk memaparkan kemarahan.

Saya bersimpati kerana bagi saya, sekalipun kita marah pada orang-orang tertentu (mungkin majikan, kawan, musuh, suami, isteri, kekasih), takkanlah sanggup kita mengutuk kaum itu seolah-olah kaum wanita atau lelaki itu tak berguna langsung buat kita.

Kalau kita merupakan seorang lelaki, bukankah kita berkahwin dengan perempuan? mungkin juga kita mempunyai adik atau kakak yang juga merupakan kaum wanita. Mungkin juga anak perempuan. Paling penting, tak kira lelaki atau perempuan, kita dilahirkan oleh ibu, ia itu seorang perempuan.

Begitu juga kalau kita merupakan seorang wanita. Bukankah suami kita lelaki, atau adik dan abang kita juga lelaki, dan yang penting, ayah kita adalah lelaki. Tanpa ayah, mungkin kita tak ada di dunia ini.

Apa sekalipun yang mahu kita katakan, tak kiralah di blog atau di laman sosial, tak perlulah kita menghina atau memburuk-burukkan mana-mana kaum (lelaki atau perempuan). Sentiasalah ingat bahawa kita mempunyai ahli keluarga yang terdiri daripada kaum itu.

Saya sungguh hairan apabila membaca komen-komen penulis-penulis yang aktif dalam laman-laman web tertentu mengguna bahasa kesat (ada yang mencarut), seolah-olah mereka langsung tak guna akal dan tak berakhlak. Sungguh memalukan.

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita.

Dia Juga Malu


Salam

Biasanya pada pagi Isnin, mood kurang elok bagi sesetengah orang. 'Monday blues' mampu membuatkan sesetengah orang mencari alasan untuk ponteng kerja, atau tiba-tiba rasa tak sedap badan... hehe

Janganlah macam tu. Sepatutnya selepas berehat dua atau mungkin hanya sehari, hari Isnin mood kita boleh jadi lagi baik. Maklumlah, macam bateri. Bila kena charge, lagi bertenaga!

Okeylah... pagi ini saya ada mood untuk bersembang tentang perasaan 'kesal' yang saya percaya ramai di antara kita, atau mungkin hampir semua, akan selalu merasakannya. Sebagai manusia, sudah tentu kita tak dapat melarikan diri daripada melakukan khilaf, sama ada kita sedar atau pun tidak.

Ramai di antara kita berusaha untuk lakukan yang terbaik dalam kehidupan kita. Namun, kita tidak dijadikan Tuhan sebagai 'sempurna', tentunya ada kekurangan di sana sini. Tanpa sedar atau tidak, ada dosa kecil dan mungkin dosa besar yang kita lakukan dan kerana itu juga Allah SWT yang Maha Penyayang, setiasa beri kita ruang untuk bertaubat.

Kita sedar bahawa Allah SWT itu Maha Esa dan kepada-Nya lah kita bermohon agar segala amal kita diterima-Nya nanti, dan tentulah segala silap dan salah yang kita lakukan, kita mohon ampun kepada-Nya, insya-Allah, tidak kita mahu mengulangkannya lagi.

Dalam hal ini juga, sudah tentu hanya Tuhan yang akan menghitung dan menghisab segala perbuatan baik atau sebaliknya tentang hambanya. Tidak perlulah kita sebagai manusia duduk mengira dosa pahala orang lain. Sekalipun ilmu agama kita tinggi mungkin setinggi Gunung Everest, tak perlulah kita mengaibkan orang di sekeliling kita dengan melakukan sesuatu yang mungkin menggoreskan hati mereka dalam hal yang kita rasa kita lebih tahu.

Kadang-kadang, kerana ilmu yang kita rasa 'tinggi segunung' itu, maka kita rasa kita berhak mengeluarkan kata-kata yang menyinggung orang lain. Nauzubillah. Mungkin niat kita untuk menegur kerana kita rasa kita lebih tahu, tetapi kita juga perlu ingat bahawa dalam hal tegur-menegur ini, kita kenalah pilih keadaan dan suasana yang terbaik, bukan main ikut suka hati sahaja.

Kalau kita mahu mengikut sunnah Nabi(SAW), ikut jugalah peribadinya yang sentiasa menjaga hati orang lain.

Sebaik-baik menegur orang, janganlah sampai kita mengaibkan mereka kerana perbuatan itu juga adalah keji.

Sama-samalah kita mengingatkan diri kita yang kerdil di dunia Tuhan, semoga kita sentiasa menjaga 'aib' dan 'hati' orang-orang yang berada di sekeliling kita. Orang lain juga mempunyai perasaan malu. Wallahua'lam.